indeks literasi kewangan islam malaysia bermanfaat kepada masyarakat islam

KUALA LUMPUR, 10 September (IKIM) – Indeks Literasi Kewangan Islam Malaysia yang pertama kali seumpamanya dilihat tepat pada masanya dan memberikan satu petunjuk berkenaan kecelikan dan literasi kewangan Islam di kalangan rakyat Malaysia. 

Secara umumnya indeks hasil kajian bersama oleh Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK) ini sangat bermanfaat kepada masyarakat Islam dalam menambahbaik usaha yang perlu dilakukan untuk  memperkasakan lagi sektor kewangan Islam di Malaysia. 

YB Senator Dr. Zulkifli Hasan, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) turut memberi cadangan agar masjid dan surau turut dapat dijadikan platform dalam meningkatkan tahap literasi yang kurang di kalangan masyarakat bandar dan luar bandar dengan bantuan ahli-ahli akademik dan pakar yang terlibat serta pemain industri perbankan Islam. 

Dr. Zulkifli Hasan berkata demikian ketika menyampaikan ucapan perasmian Persidangan Indeks Literasi Kewangan Islam Malaysia : Ke Arah Masyarakat Celik Kewangan di sini hari ini.

Indeks ini dibangunkan untuk melihat tahap kesedaran dan pengetahuan masyarakat Islam berkaitan kewangan Islam melalui tiga konstruk utama iaitu pengetahuan, sikap dan tingkah laku. Secara keseluruhan, tahap literasi kewangan Islam masyarakat Muslim ketika ini adalah baik dengan skor 80.2. Pengetahuan berada pada tahap sederhana rendah (69.5), tingkah laku pada tahap bagus (85.6), dan sikap pada tahap bagus (89.4). Hasil pemerhatian akan dijadikan agenda untuk meningkatkan tahap literasi kewangan Islam masyarakat Muslim di Malaysia.

Persidangan dengan kerjasama Permodalan Nasional Berhad (PNB) selaku penaja itu turut dihadiri oleh Pengerusi IKIM, YBhg. Prof. Dato’ Dr. Muhammad Nur bin Manuty; Pro Naib Canselor UKM, YBng, Prof Dato’ Dr. Roslee Rajikan; Ketua Pengarah IKIM, Prof. Madya Dato’ Dr. Mohamed Azam Mohamed Adil; Ketua Pegawai Eksekutif AKPK, Encik Azaddin Ngah Tasir dan Dr. Ahmad Basri Ibrahim, Ketua Pengurusan Syariah PNB

Laporan indeks ini boleh dimuat turun secara percuma dari laman web Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK) www.akpk.org.my

Scroll to Top