Bila Tangan Berbicara

ISLAM adalah agama yang indah. Keindahan dalam ajaran Islam kerana ia datang dari Allah SWT. Islam itu sentiasa benar bagaimanapun yang memberikan wajah yang salah kepada agama adalah kerana kesilapan penganut-penganutnya dalam mengamalkan ajaran Islam.

Menerusi rancangan Islam Itu Indah yang disiarkan setiap Rabu di IKIMfm, Ustaz Azizul Asri Ahmad Tajuddin ketika membicarakan tentang ‘Bila Tangan Berbicara’ berkata banyak hadis dan ayat al Quran yang mengingatkan umat Islam agar menjaga lisan dan lidah dalam mengungkap kata atau ketika berbicara. Ini kerana, melalui kata-kata yang nista, kata-kata yang tidak benar akan menghumban ke dalam api neraka.

Namun pada hari ini, dalam perkembangan teknologi yang canggil dengan pelbagai aplikasi, seseorang manusia bukan hanya berbicara melalui mulut atau lisan, tetapi melibatkan juga tangan dan jari jemari. Seperti sabda Rasulullah SAW yang bermaksud “Seseorang muslim itu ialah apabila seorang muslim yang lain selamat daripada tangan dan mulutnya. Jika dahulu mulut berperanan dalam menyampaikan sesuatu berita atau mengumpat, tetapi hari ini cukup dengan aplikasi dalam telefon atau Komputer, seseorang manusia telah boleh melakukan interaksi dengan orang lain.

Justeru, seseorang muslim mesti sedar bahawa setiap berita atau maklumat yang diterima atau disampaikan hendaklah benar-benar sahih dan jangan terlalu cepat untuk berkongsi sesuatu maklumat yang diterima. Sungguhpun sesuatu berita yang diterima itu benar, tetapi jika ia boleh mendatangkan keaiban atau sebarang fitnah, sebaiknya jangan sesekali memanjangkan maklumat atau berita berkenaan. Kerana perbuatan berkenaan, tanpa disedari boleh mengundang dosa kepada seseorang manusia.

Sebagai contoh, apabila menerima sesuatu berita seperti kes ragut di dalam aplikasi kumpulan Whatssup, maka ramai ahli dalam kumpulan berkenaan yang membuat komen negatif sehingga kepada menghina penciptaan Allah SWT, tanpa disedari walaupun perbuatan meragut itu satu kesalahan dan dosa, tetapi mereka yang turut serta mengata dan mengutuk dengan bahasa-bahasa yang buruk dan kasar juga tidak lari dari melakukan dosa.

Oleh itu, perlu ada sikap berhati-hati dalam menyebar sebarang berita atau membuat ‘komen’ pada sebarang cerita yang diterima. Sesungguhnya seperti yang disebut oleh Baginda Rasulullah SAW, seseorang muslim yang baik akan menjaga lidah dan tangan dari perbuatan yang mengundang dosa.

Pada hari ini, sesiapa sahaja yang memiliki telefon, tidak terlepas daripada terdedah dengan pelbagai berita yang singgah tanpa diundang atau berita yang sengaja dicari. Sehingga terdapat istilah seperti ‘keyboard warriors’ iaitu mereka yang bertindak seolah-olah seperti ‘hakim’ yang membuat hukuman atas segala perkara yang berlaku. Hakikatnya perkara ini tidak sihat bagi pembangunan sesebuah ummah dan bagi pembinaan keperibadian seseorang individu.

Begitu juga dengan individu yang adakalanya sering berkongsi mesej positif dalam media sosial mereka, tetapi dalam masa yang sama membuat ulasan dan komen negatif tanpa ada sempadan dan garis panduan, ini tetap akan mencerminkan keburukan akhlak individu berkenaan.

Walaupun barangkali bagi sesetengah orang yang membuat komen atau ulasan yang agak kasar dan keras di media sosial sehingga menimbulkan fitnah dan hinaan, tetapi sekiranya kata-kata kesat tersebut menghina dan tidak memelihara hak seseorang manusia lain adalah perbuatan yang tidak baik.

Barangkali ada sesetengah pihak mempunyai alasan iaitu mahu menegur perbuatan seseorang, tetapi jika cara teguran itu mendatangkan dosa, sesungguhnya perbuatan tersebut dikutuk Allah SWT. Setiap manusia perlu menjaga hak manusia yang lain. Jangan sesekali menjadi mereka yang gemar untuk membuka aib orang lain kerana perbuatan ini dimurkai Allah SWT.

Ustaz juga berpesan, jangan menjadi orang yang tangannya lebih laju dari fikirannya. Jika mahu membuat sesuatu teguran atau menyampaikan hujah-hujah tertentu, fikirkan secara jelas dan matang, kerana setiap orang bertanggungjawab di atas segala perbuatannya.

Setiap yang dilakukan memberi nilai kepada diri kita. Oleh itu, jadilah orang yang sentiasa memberi dan membawa kebaikan kepada orang lain. Ambil ibrah dan iktibar dari para sahabat  yang sentiasa berlumba-lumba mengejar syurga Allah SWT melalui perbuatan dan amalan baik. Justeru seseorang muslim hendaklah sentiasa bijak dalam menilai perbuatan dan menggunakan lisannya ketika berkata-kata. Berkatalah sesuatu yang baik dan jika tidak diam adalah lebih baik.

Rencana ini telah disiarkan dalam segmen Agama akhbar Berita Harian edisi 3 Mei 2017
\"\"
WhatsApp
Scroll to Top