Bila Dicintai Allah SWT

DALAM riwayat Bukhari dan Muslim menukilkan hadis Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud \”Sesungguhnya dalam diri manusia itu ada seketul daging. Jika daging itu baik, maka baiklah seluruh anggota badannya tetapi seandainya daging itu rosak dan kotor, maka kotor dan rosaklah seluruh anggota badannya. Daging yang dimaksudkan ini adalah hati.\”

Menerusi rancangan Islam itu Indah bersama Ustaz Mohd Meeftah Anuar berkata dalam diri mukmin terdapat seketul hati yang dinamakan kalbu. Hati atau kalbu yang sentiasa ingat kepada Allah SWT, nescaya akan mendapat kerahmatan dan kasih sayang Allah SWT.Bahkan, hati seseorang mukmin yang sentiasa berdetik nama Allah akan juga mendapat perhatian dariNya.

Seseorang mukmin yang kalbunya sentiasa menyebut kalimah Allah, mengingati Allah dan sentiasa menyeru namaNya akan mendapat kenikmatan hubungan dengan Allah SWT. Seseorang yang mencintai Allah akan juga turut dicintaiNya. Nikmatnya seseorang yang mendapat cinta Allah tidak akan terlepas dari segala rahmatNya, setiap doanya akan diperkenankan, setiap waktunya akan diberkati dan setiap hajatnya akan dimustajabkan. Bahkan orang yang dicintai Allah turut akan mendapat kasih sayang dan cinta sesama manusia.

Bukan itu sahaja, Allah SWT jika cintakan kepada seseorang mukmin, DIA akan menyatakan kepada malaikat Jibrail akan mukmin-mukmin yang dicintaiNYa. Manakala malaikat Jibrail pula akan mengumumkan perkara itu kepada penduduk langit yang seluas saujana angkasaraya. Seluruh malaikat di angkasaraya meluahkan cintanya kepada mukmin-mukmin yang dicintai Allah SWT. Begitulah nikmat dan besarnya rahmat seseorang mukmin yang berusaha meraih cinta Allah dan seterusnya berjaya mendapat kecintaan daripada Allah SWT.

Seseorang yang mendapat kemuliaan Allah SWT, dapat dilihat semasa hayatnya di dunia lagi, mereka mendapat penghormatan dari manusia sekeliling mereka. Bahkan pada diri mereka Allah SWT menganugerahkan cahaya keimanan dari segi ilmu dan akhlak. Kita sendiri dapat melihat insan-insan yang ada ciri-ciri dicintai Allah melalui tautan kasih sayang sesama manusia terhadap mereka. Ini dapat dilihat pada diri ulama dan mereka yang menyanjung agama Allah akan dihormati oleh ahli masyarakat sehingga ‘kepergian’mereka dari dunia ini ditangisi kerana sayangnya umat kepada mereka ini.

Mukmin yang mencintai Allah SWT akan mengikuti segala suruhanNya dan meninggalkan segala laranganNya. Manusia yang mengejar cinta Allah SWT akan selalu bermusabah diri dengan melihat sifat-sifat tercela agar dengan menghisab diri akan menjadikannya seorang mukmin yang lebih baik. Selain itu, mukmin yang mahu mendapat cinta Allah akan berusaha beristiqamah dengan setiap amalan yang dilakukan.

Dalam sebuah riwayat diceritakan tentang seorang lelaki yang bertanyakan kepada seorang ulama sama ada dirinya termasuk golongan orang soleh atau tidak? Lalu ulama itu berkata “tunjukkanlah rahsiamu kepada orang-orang soleh, bererti apabila kamu bertemu dengan orang soleh, tunjukkan sikapmu yang sentiasa kamu sembunyikan. Maka apabila mereka rela dengan perbuatanmu, bererti engkau adalah orang soleh”

Ini membawa makna, orang yang berakhlak baik atau soleh akan terserlah perilakunya walau dengan siapapun dan bagaimanapun keadaanya. Justeru, seseorang mukmin yang baik tidak akan hidup dalam kepura-puraan hanya berbuat baik di depan orang soleh dan berlaku buruk di belakang mereka. Seseorang yang ikhlas dengan dirinya dan dengan Allah SWT akan berbuat baik kerana apa yang dilakukan kerana Allah SWT.

Imam al Ghazali berkata “diantara ilmu itu bermanfaat kepada manusia ialah menambahkan rasa gerun dan takut kepada Allah SWT”. Justeru, apabila mendapat ujian musibah daripada Allah SWT diterima sebagai satu ‘teguran’ untuk mendekatkan diri kepada Allah. Dalam masa yang sama seseorang mukmin yang beriman dan soleh akan melihat setiap ujian itu adalah cara Allah berinteraksi dengan manusia agar tidak terlanjur dengan kehidupan yang penuh pancaroba ini. Ini kerana orang yang soleh akan sentiasa dipelihara kemaslahatan dirinya oleh Allah SWT dan sentiasa berada di dalam pengawasan Allah SWT.

Oleh yang demikian, seseorang mukmin yang mahu mendapat kecintaan Allah SWT hendaklah lazimi dii dengan taubat, istighfar, zikrullah, tilawatil Quran, solat fardu dan nawafil serta amal soleh yang lain yang merupakan kunci terbaik ke arah mendidik dan membentuk hati, perasaan dan jiwa ke arah menjadi mukmin yang mendapat hidayah, keampunan dan rahmat Allah SWT.

Rencana ini telah disiarkan dalam segmen Agama akhbar Berita Harian edisi 8 November 2017
\"\"
WhatsApp
Scroll to Top