Masalah Dalam Rumahtangga

ISLAM sangat menggalakkan umatnya berusaha memperbaiki dan mempertingkatkan hubungan silaturahim. Sebagaimana firman Allah swt yang bermaksud: “Sesungguhnya orang mukmin itu bersaudara, kerana itu damaikanlah antara kedua-dua saudaramu dan bertakwalah kepada Allah agar kamu beroleh rahmat.” (Surah al-Hujurat ayat 10).

Setiap individu tidak dapat lari daripada masalah yang kecil mahupun besar. Begitu juga dengan individu yang  berkeluarga. Justeru, dalam rumahtanga, pemilihan individu yang memberikan nasihat dan panduan yang tepat dan bersesuaian perlu diambil kira dalam merungkai segala permasalahan yang wujud antara suami dan isteri. Ini disebabkan bukan sembarangan orang boleh menjadi tempat mengadu masalah. Jika pada diri orang itu tiada  sifat amanah dan adil, ia  mungkin mengundang masalah. Hal-hal sulit melibatkan rahsia rumah tangga yang diadukan kepada orang yang tidak amanah, boleh jadi akan dikongsi dengan orang lain hingga akhirnya tersebar secara meluas. Seorang yang tidak memiliki sifat adil pula akan memberi maklum balas yang dipengaruhi emosi. Ada kemungkinan orang seperti ini akan menjadi penghasut dan pengusut masalah.

Menyambung kembali perbincangan dalam rancangan Pesona D’ Zahra di IKIMfm  yang bersiaran jam 10.15 setiap pagi Isnin, Ustaz Muhammad Abdullah al-Amin  menggariskan lima jenis golongan yang perlu diperhatikan dan dipercayai dalam memberikan nasihat jika sesuatu masalah masih menemui jalan buntu. Golongan pertama adalah  individu yang ariif tentang perihal rumahtangga.  Ilmu Allah amat luas dan mencakupi pelbagai bidang termasuklah ibadat, kewangan,muamalat, sosial, dan lain-lain.  Namun untuk mendapat keredhaan daripada Allah SWT manusia mestilah mempunyai ilmu yang hanya diredhai-Nya yang tidak bertentangan dengan dasar syariah. Belum tentu mereka yang mahir dalam sesuatu bidang  bijak menangani  dengan baik  konflik  rumahtangga .Dalam erti kata lain, tidak semua  mempunyai kemahiran menjadi penasihat   yang berkesn  apabila membantu  individu lain yang  mempunyai masalah melibatkan isu kekeluargaan .

Menerusi sebuah  hadis, Nabi Muhammad SAW  telah bersabda yang bermaksud “Lenyap ilmu itu kerana lupa dan tersia-sianya ilmu itu apabila yang membahaskannya bukan ahlinya.” Oleh yang demikian, sebaik-baiknya berusahalah untuk merujuk kepada mereka yang mahir  seperti pihak jabatan agama, kaunselor bertauliah dan juga mereka yang  lebih berusia dan berpengalaman dalam hal ehwal rumahtangga. Sewaktu sesi  pertemuan  diadakan  dengan pihak terbabit, pengadu dinasihatkan agar ikhlas dan tidak menyembunyikan sebarang  maklumat serta menerima  dengan hati terbuka segala cadangan yang dikemukakan atau langkah susulan yang perlu diambil  bagi  menyelamatkan bahtera ruamhtangga. Seterusnya, apabila diuji dengan  masalah, setiap pasangan juga  boleh merujuknya dengan ahli keluarga terdekat yang memiliki kematangan. Sudah menjadi tangungjawab ibubapa untuk menyokong dan membantu anak-anak mereka dengan menangani situasi ini dengan penuh bijaksana dan diplomasi. Ibu bapa pasangan yang dirujuk haruslah mengambil dan membuat keputusan dengan bijak setelah memikirkan semua aspek kehidupan. Elakkan menjadi penghasut atau mengajar anak mereka  melakukan satu tindakan yang tidak wajar seperti melarikan diri  dari rumah dengan  alasan yang tidak munasabah tanpa  mendapat  restu daripada suami.

Golongan ketiga yang boleh disifatkan sebagai penasihat yang tepat dalam menangani permasalahan rumah tangga adalah kawan-kawan yang  mampu mendamaikan situasi yang dialami. Pujangga pernah berkata, persahabatan yang tidak jujur umpama meniti buih di lautan. Hamparan buih nan memutih, hanya indah di luaran namun melewatinya bererti menuju ke jurang kehancuran .Mencari kawan sejati bukanlah mudah,ramai yang bersama berkongsi suka, namun kurang yang ingin menemani kita meniti duka.  Hargailah kawan-kawan yang mahu melihat kita melalui liku-liku hidup dengan penuh tenang.Kebiasannya golongan ini membangkitkan semangat  kita untuk membuat kebaikan di dunia ini sekaligus jika melakukan kesilapan,dia   akan segera memberi pandangan secara  jujur dan rasional berpandukan Al -Quraan dan sunnah.

Selain itu, Muhammad menyatakan bahawa pasangan suami isteri  digalakkan untuk merujuk permasalahan yang arif. Misalnya, jabatan agama, mahkamah  dan kaunselor berdaftar. Jika diambil pendekatan dengan merujuk dengan pihak sedemikian, maka suami atau isteri tersebut perlu memperbetulkan niat mereka bahawa ia bertujuan semata-mata untuk memperbaiki masalah yang dihadapi dan harus  berlapang dada dengan segala komen yang diberikan. Akhir sekali, rujuklah pada individu yang memiliki latar belakang yang memuaskan dalam mengendalikan urusan  rumahtangga. Mereka diibaratkan sebagai  penasihat dan pendengar yang baik. Malah, mereka mampu menterjemahkan realiti semasa apa yang berlaku dalam rumahtangga serta membantu dalam  berkongsi  tips dalam mengukuhkan keharmonian  institusi keluarga.Sebagai rumusan,  ketika dirundung masalah, berusahalah untuk menjejaki  golongan yang mampu meniupkan semangat positif dan  juga yang sentiasa melihat ke hadapan dalam menggapai  sesuatu yang luar biasa hebat dalam kehidupan.

Rencana ini telah disiarkan dalam segmen Agama akhbar Berita Harian edisi 6 November 2017
\"\"
Scroll to Top