Berwasiat Sesudah Meninggal Dunia

SAIDINA Thabit bin Qais al-Ansari. Beliau merupakan salah seorang pembesar Khazraj yang terkemuka serta merupakan pahlawan Yathrib yang terbilang. Allah SWT mengurniakan kepada beliau kecerdasan akal, keluasan fikiran dan ketenangan jiwa. Malah, beliau juga dikurniakan dengan lisan yang petah berbicara sehingga menggetarkan jiwa yang mendengar ucapannya. Kisah Thabit ini diceritakan oleh Ustaz Mohd Hazri Hashim al-Bindany menerusi segmen Hayatus Sahabah yang bersiaran di IKIMfm.

Beliau antara yang terawal memeluk Islam di kota Yathrib. Tatkala beliau mendengarkan bacaan ayat-ayat suci Al-Quran yang dibacakan oleh pendakwah awal yang dihantar ke Yathrib, Saidina Mus’ab bin Umair yang membaca al-Quran dengan suara yang sangat indah, saat itulah Thabit bin Qais ini tertarik dengan keindahan al-Quran yang akhirnya Allah SWT bukakan hatinya untuk beriman kepada Allah. Ketika Rasulullah SAW tiba di kota Madinah, Thabit bin Qais dan kaumnya berkumpul beramai-ramai termasuk kumpulan angkatan berkuda menyambut ketibaan Baginda dengan sambutan yang sangat meriah.

Saat berdiri di hadapan Baginda, Thabit berpidato dimulakan dengan kata-kata pujian kepada Allah SWT dan Baginda Rasulullah SAW. Thabit mengakhiri ucapannya dengan berkata “Ya Rasulallah, sesungguhnya kami berjanji taat setia bahawa kami akan mempertahankan engkau sebagaimana kami mempertahankan nyawa kami, anak-anak dan para wanita kami. Apakah yang engkau janjikan kepada kami Ya Rasulallah?” Maka Baginda SAW menjawab “Syurga”. Dijanjikan syurga kepada Thabit bin Qais dan kaumnya pada hari pertama sampainya Rasulullah SAW di kota Madinah. Terpancar kegembiraan di wajah Thabit dan kaumnya mendengarkan kata-kata Baginda SAW lantas mereka berkata “kami berpuas hati Ya Rasulallah”. Sejak peristiwa tersebut, kerana kepetahan dan kelantangan suaranya berkata-kata, maka Rasulullah SAW melantik beliau menjadi jurucakap kepada Baginda SAW.

Thabit bin Qais ini merupakan seorang mukmin yang sangat mendalam imannya. Beliau juga amat takut dengan kemurkaan Allah SWT sehingga beliau sentiasa berjaga-jaga dalam setiap tindak-tanduknya. Pernah satu ketika, Rasulullah SAW melihat Thabit menangis dengan kuat sehingga bergoncang kedua bahunya kerana takutkan Allah. Baginda SAW bertanya “Apa yang telah berlaku kepadamu wahai Thabit?” Tahbit kemudian menjawab “Aku takut akan Allah dan aku bimbang sekiranya aku dibinasakan”. Baginda kemudian meminta penjelasan. Kata Thabit “Allah SWT memerintahkan kita supaya tidak suka kepada pujian terhadap apa yang tidak kita lakukan. Sedangkan aku mendapati diriku ini sangat sukakan kepada pujian. Allah SWT melarang kita tampil di hadapan orang ramai untuk menunjuk-nunjuk dan aku dapati aku suka tampil di hadapan khalayak dengan penampilan yang sangat baik”.

Mendengarkan penjelasan Thabit, Baginda menenangkannya dengan kata-kata yang sangat baik “Wahai Thabit, tidakkah engkau redha untuk hidup dalam keadaan terpuji dan engkau juga akan terbunuh syahid nanti dan akan memasuki syurga Allah”. Saat mendengarkan kata-kata Baginda itu, terpancarlah kegembiraan di wajah Thabit dengan menjawab “Bahkan Ya Rasulallah”. Baginda kemudian berkata “Sekiranya begitu, engkau pasti akan mendapatkannya”.

Saat turunnya ayat al-Quran, surah al-Hujuraat ayat 2 yang bermaksud :

Thabit bin Qais menjuhkan diri daripada majlis bersama Rasulullah SAW kerana beliau merasakan beliau mempunyai suara yang kuat, sekalipun ayat ini tidak turun menegur beliau. Akhlak para sahabat menunjukkan apa pun kejadian dan sesuatu yang berlaku, muhasabah harus kita lihat kepada diri kita dahulu berbanding menghukum orang lain. Ketiadaan Thabit itu dicari-cari oleh Baginda. Rasulullah kemudian bertanya kepada para sahabat “Bolehkah sesiapa mendatangkan kepadaku berita berkenaan Thabit?” Seorang lelaki di kalangan Ansar kemudian pergi mendapatkan berita mengenai Thabit dan dilihatnya Thabit berada dalam keadan yang sangat sedih. Lelaki Ansar itu bertanya kepada Thabit mengenai keadaannya dan kemudian Thabit menjawab “Aku dalam keadaan yang sangat teruk dan buruk”. Lelaki ansar itu lalu bertanya “mengapakah sedemikian?” Thabit berkata “Tidakkah engkau menggetahui bahawa aku mempunyai suara yang kuat dan suaraku sentiasa melebihi suara Rasulullah SAW sedangkan telah turun tegahan untuk meninggikan suara daripada suara Baginda. Maka, aku merasakan seluruh amalku selama ini telah lebur musnah dan tidak ada tempat lagi untukku di syurga Allah dan aku bimbang sekiranya aku dihumban ke neraka”.  

Kembalilah lelaki tersebut kepada Rasulullah SAW dan memaklumkan kepada Baginda apa yang beliau lihat tentang keadaan Thabit. Rasulullah kemudian mengarahkan lelaki tersebut dengan tegas untuk pergi kepada Thabit dan mengatakan bahawa beliau bukanlah ahli neraka dan di adalah ahli syurga. Mendengarkan berita itu daripada lelaki ansar tersebut, Thabit gembira seluruh hidupnya beliau merupakan satu-satunya sahabat yang dijanjikan syurga oleh Baginda SAW sebanyak tiga kali.

Saidina Thabit menyertai seluruh peperangan bersama Bagind kecuali peperangan Badar. Setiap kali peperangan, beliau akan berada di barisan yang paling hadapan dengan membawa panah untuk menjadi perisai dan pelindung kepada Rasulullah. Namun sepanjang hayat Baginda, syahid yang dijanjikan belum tiba kepada Thabit bin Qais. Ketika berlakunya peperangan menentang kumpulan murtad di zaman Saidina Abu Bakar as-Siddiq, Thabit telah dilantik menjadi ketua angkatan perang bagi angkatan ansar. Di dalam kecamukan tenterq muslimin menentang musuh dan tidak bersatunya hati kaum muslimin ketika itu, maka ramai para sahabat gugur syahid, antaranya Thabit bin Qais. Pada ketika itu, tubuh Thabit dilitupi pakaian besi. Kerana luka dan cedera teruk yang menimpa Thabit, kaum muslimin yang melaluinya tidak dapat mengecam adalah beliau tentera muslimin atau sebaliknya. Lalu lelaki yang melintasi tubuh Thabit itu mengambil baju besi yang dipakainya untuk disimpan.

Pada malam berikutnya, seorang lelaki di kalangan laum muslimin telah bermimpi bertemu dengan Thabit bin Qais. Lalu Thabit berkata kepada lelaki tersebut “Aku Thabit bin Qais, sahabat Rasulullah SAW. Apakah engkau mengenali aku?” Lelaki tersebut mengenalinya. Thabit berkata “Aku ingin berwasiat kepada engkau. Hati-hati dan janganlah sama sekali engkau mengatakan ini adalah mainan tidur sehingga engkau mengabaikan apa yang aku pesan. Sesungguhnya, ketika aku terbunuh semalam, seorang lelaki daripada kalangan kaum muslimin telah mengambil pakaian besiku dan membawa pakaian itu ke khemahnya lalu di letakkan di bawah satu periuk dan ditutup dengam pelana kuda. Pada saat ini, pakaian ku itu masih ada pada lelaki tersebut. Oleh itu, aku berpesan kepada engkau untuk pergi kepada Khalid bin al-Walid dan katakan kepadanya supaya menghantar sesiapa sahaja untuk mengambil kembali pakaian ku itu untuk disampaikan kepada keluargaku. Aku juga berpesan kepadamu sekembalinya engkau kepada khalifah Baginda Rasulullah di Madinah, katakan kepadanya bahawa Thabit telah berhutang dan mengatakan bahawa Thabit telah memerdekakan hambanya. Hendaklah khalifah melunaskan hutangku itu dan memerdekakan hamba sahaya ku itu”.

Segala yng diwasiatkan itu telah ditunaikan oleh Khalid bin al-Walid dan Khalifah Abu Bakar as-Siddiq lalu disebut oleh kaum muslimin, tidak pernah kami dengar seseorang yang sudah meninggal tetapi wasiatnya masih diterima. Begitulah kisah wasiatn sesudah meninggal ‘Saidina Thabit bin Qais’.

Rencana ini telah disiarkan dalam segmen Agama akhbar Berita Harian edisi 9 Mei 2017
\"\"
WhatsApp
Scroll to Top