Bersyukur, Bersilaturrahim dan Bertawakal Amalan Terpuji Dalam Keluarga

DARIPADA Abu Hurairah RA bahawa Baginda Nabi SAW telah bersabda mafhumnya: \”Barangsiapa yang melepaskan seorang mukmin daripada satu kesusahan daripada kesusahan-kesusahan dunia, nescaya Allah akan melepaskannya daripada satu kesusahan daripada kesusahan-kesusahan kiamat. Barangsiapa yang mempermudahkan bagi orang susah, nescaya Allah akan mempermudahkan baginya di dunia dan di akhirat. Barangsiapa yang menutup keaiban seorang muslim, nescaya Allah akan menutup keaibannya di dunia dan akhirat. Allah SWT  sentiasa bersedia menolong hambaNya selagi mana dia suka menolong saudaranya. Ustaz Muhamad Abdullah al Amin dalam rancangan Pesona D\’Zahra yang bersiaran di IKIMfm pada Isnin minggu lalu jam 10.15 pagi berkata ada tiga cara dalam membantu keluarga dengan sikap dan amalan-amalan terpuji antaranya ialah dengan memperbanyakkan syukur, sentiasa menyambung silaturahim dan bertawakkal.

Dan (ingatlah) ketika Tuhan kamu memberitahu: Demi sesungguhnya! Jika kamu bersyukur nescaya Aku akan tambahi nikmatKu kepada kamu dan demi sesungguhnya, jika kamu kufur ingkar sesungguhnya azabKu amatlah pedih\” (Surah Ibrahim : ayat 7).  Setiap detik kita menggunakan nikmat kurnian Allah, amat sedikit yang menyedarinya, apa lagi untuk mensyukuri akan kurnian itu. Sesungguhnya Allah pemberi nikmat sebenar yang menjanjikan tambahan nikmat kepada mereka yang bersyukur dan azab seksa amat pedih bagi mereka yang kufur. Mungkin sahaja selama ini kita menjalani kehidupan tanpa ada rasa syukur, atau rasa syukur yang amat sedikit.

Manusia sering merasakan bahawa apa yang dimiliki adalah hasil usaha dan menjadi hak mutlak mereka. Kerana itu apabila sesuatu keinginan tidak dapat dicapai atau diperolehi kita mudah berasa kesal. Malah mungkin juga kecewa, lalu menyalahkan takdir dan mencari-cari kesalahan orang lain. Itu adalah akibat kurangnya  rasa syukur dalam diri manusia. Syukur, inilah satu perasaan yang jarang melekat di hati kita. Malah kita kerap kali lupa dan alpa. Mulai sekarang, ketahuilah bahawa sebenarnya kita adalah orang yang sangat bertuah, baik dalam pelajaran, keluarga, ekonomi, politik mahupun dalam kehidupan sehari-hari. Maka sewajarnyalah untuk kita syukuri.

Menerusi perbincangan bertajuk ‘Bantu Keluarga Dengan Sikap’ Muhammad turut menekankan peri pentingnya  menyambung tali silaturrahim kerana Allah SWT. Banyak cara untuk mengukuhkan tali  silaturrahim. Misalnya dengan cara saling zirah-menziarahi , saling memberi hadiah, atau dengan pemberian yang lain. Amalan-amalan sebegini perlu dilakukan secara berlemah lembut, berkasih sayang  dengan penuh wajah berseri.   Silaturahim juga menyebabkan seorang hamba tidak akan putus hubungan dengan Allah SWT di dunia dan akhirat.

Satu lagi amalan terpuji dalam membantu keluarga ialah dengan memiliki sifat tawakal  Dalam definisi mudah tawakal itu ialah penyerahan hati yakni seluruh jiwa dan raga kepada Allah ke atas sesuatu perkara yang bakal berlaku. Tawakal tidak berlaku dengan hanya menyerahkan segalanya pada Allah SWT  tanpa sebarang usaha. Setelah kita mengecapi kejayaan hasil usaha daripada bertawakal , sebagai umat Islam kita dituntut untuk  tidak bermegah atau riya’. Harus diingatkan kejayaan dan kemewahan hanyalah bersifat sementara. Allah SWT Maha Berkuasa dan mampu menariknya semula bagi insan yang tidak mensyukuri terhadap segala pemberian-Nya.

Yakinlah bahawa bahawa segala perancangan Allah adalah yang terbaik untuk diri kita. Jika Allah memberikan selain dari apa yang kita pinta, berlapang dadalah menerima takdir Allah. Ingatlah bahawa segala janji yang Allah SWT taburkan kepada hambaNya pasti akan ditunaikan pada masanya. Sebagai contoh janji Allah dalam Surah At-Taalaq ayat ke 2-3 yang turut dikenali sebagai ayat seribu dinar  di mana Allah SWT menjanjikan pertolongan kepada hamba-hambaNya  yang bertakwa.

Rencana ini telah disiarkan dalam segmen Agama akhbar Berita Harian edisi 1 Ogos 2016
\"2016-08-1\"
WhatsApp
Scroll to Top