“Wahai orang-orang yang beriman! jauhilah kebanyakan dari sangkaan (supaya kamu tidak menyangka sangkaan yang dilarang) kerana Sesungguhnya sebahagian dari sangkaan itu adalah dosa; dan janganlah kamu mengintip atau mencari-cari kesalahan dan keaiban orang; dan janganlah setengah kamu mengumpat setengahnya yang lain. Adakah seseorang dari kamu suka memakan daging saudaranya yang telah mati? (jika demikian keadaan mengumpat) maka sudah tentu kamu jijik kepadaNya (oleh itu, patuhilah larangan-larangan yang tersebut) dan bertaqwalah kamu kepada Allah, Sesungguhnya Allah Penerima taubat, lagi Maha Mengasihani.” (Al-Hujurat :12)
Umpama sebiji buah epal yang diperah isinya sudah pasti mengeluarkan pati jus epal, atau sebiji buah oren yang diperah isinya pasti juga akan menghasilkan jus oren. Begitu juga perumpamaan hati seseorang manusia. Jika hati yang bersih akan mengeluarkan kata-kata yang baik dan menyenangkan. Manakala hati yang tidak baik pelbagai persangkaan serta pandangan yang negatif akan diterbitkan dari bibir orang yang hatinya penuh persangkaan buruk.
Menerusi rancangan Islam Itu Indah yang disiarkan di radio IKIMfm setiap Rabu jam 10.15 pagi, Ustaz Pahrol Mohd Juoi berkata, selain sedar tentang pentingnya mempunyai persangkaan baik yang akan membawa mukmin menghuni syurga Allah SWT, seseorang mukmin juga hedaklah mengetahui tentang kesan mempunyai persangkaan buruk kerana manusia yang bersangka buruk pasti tempatnya adalah di dalam neraka.
Jika seseorang yang bersangka baik akan memiliki nilai hikmah yang tinggi di dalam dirinya, orang yang bersangka buruk pula mempunyai hati yang kecil dan tidak ada kejujuran dalam setiap kata-kata serta perlakuan.
Bersangka buruk kepada manusia dan allah SWT kerana hati yang tidak bersih. Manakala hati yang tidak bersih kerana tidak dibersihkan melalui solat, tidak ditenangkan dengan zikir, tidak disucikan dengan puasa bahkan tidak dekat dengan amal ibadah yang akan mendekatkan diri dengan Allah SWT.
Hakikatnya dalam setiap apa yang terjadi di dunia ini adalah mengikut aturan dan kehendak Allah SWT. Bagi manusia yang bersangka baik dengan Allah, mereka menerima ujian dan kesulitan dengan sabar dan solat sebagaimana dianjurkan di dalam al-Quran menerusi surah Al-Baqarah, ayat 153 yang bermaksud “Wahai orang-orang yang beriman! Mohonlah pertolongan (kepada Allah) dengan sabar dan solat. Sungguh, Allah beserta orang-orang yang sabar.”
Namun, bagi mereka yang bersangka buruk dengan janji-janji Allah, setiap ujian dan ketentuanNya disambut dengan hati yang sempit, fikiran yang serabut, kata-kata nista yang buruk, bahkan tidak redha dengan takdir yang disusun oleh Allah SWT ke atas diri manusia.
Sedangkan Allah SWT adalah Tuhan selayaknya menentukan perjalanan hidup manusia yang lebih baik kerana Allah Yang Maha Besar lebih tahu apa yang sebaiknya buat setiap hambaNya. Allah menyusun hidup manusia dengan aturan yang cukup sempurna sebagaimana diciptakan kedudukan langit dan bumi, putaran perjalanan bumi dan matahari, susunan penciptaan alam ini yang menurut aturan yang menjadikan segalanya sempurna dan saling memberi kebaikan antara satu sama lain.
“Dan sesungguhnya kepada Tuhanmulah kesudahannya segala sesuatu, Dan sesungguhnya Dialah yang menjadikan orang tertawa dan menangis. Dan sesungguhnya Dialah yang mematikan dan menghidupkan” (An-Najm: 42-44)
Manusia yang hatinya tidak bersih sering melihat apa sahaja yang berlaku yang tidak kena dengan kehendaknya sebagai sesuatu yang menyusahkan, tidak baik dan tidak elok. Sedangkan kalau hati yang bersih akan dilihat apa sahaja keadaan yang menyulitkan itu sebagai sesuatu yang paling baik menurut takdir Allah.
Justeru, jika seseorang manusia itu selalu berusaha membersihkan hatinya dari kekotoran sifat mazmumah nescaya akan selamat dari kepanasan api neraka. Tetapi jika dibiarkan hati jauh dari suruhan Allah SWT, menuruti bisikan syaitan yang sentiasa menguasai nafsu manusia menyebabkan diri akan tersesat ke jalan neraka.
Oleh itu, seseorang mukmin hendaklah sentiasa menjauhkan diri dari sifat mazmumah seperti hasad dengki, marah, suka mengumpat, fitnah dan sebagainya yang akan menjurus manusia untuk berbuat perkara-perkara yang akan merosakkan hati manusia itu sendiri.
Umpamanya sifat dengki datang dari perasaan iri hati. Umpamanya rasa sakit hati apabila melihat hidup orang lain lebih senang, kaya raya, berharta, mewah dan lihat seperti tiada sebarang kesusahan, sedangkan nikmat kepada manusia itu adalah satu bentuk ujian Allah SWT kepada hambaNya.
Begitu juga rasa cemburu terhadap kejayaan seseorang yang dapat kenaikan pangkat. Sedangkan kedudukan dan pangkat itu bukan anugerah tetapi amanah yang perlu dilaksanakan. Malahan jika amanah itu tidak dilaksanakan seseorang itu lebih besar untuk menerima hukuman dan pembalasan Allah taala.
Oleh itu, jangan hanya meletakkan material sahaja sebagai sebab musabab untuk menjadi lebih baik dan jangan sesekali mengukur kebaikan dan kebahagiaan pada saat mendapat kesenangan sahaja. Hati yang bersih dan selalu bersangka baik adalah dalam pelbagai kondisi kehidupan tidak kita ketika sakit, kecewa, sulit dan derita sekalipun hendaklah sentiasa memandang dari sudut yang positif. Ini kerana hati yang selalu bersangka buruk, walau perkara itu baik sekalipun tetap akan dilihat dari pandangan yang tidak elok. Oleh itu ubahlah pandangan mata hati agar apa sahaja perkara waima yang tidak baik sekalipun berdoalah sebanyaknya agar dihujungnya akan berkahir dengan kemanisan dan segala kebaikan.
Rencana ini telah disiarkan dalam segmen Agama akhbar Berita Harian edisi 16 Mac 2016