Hak Asasi – Antara Teori Universalisme dan Relativisme

DISEDARI atau tidak, penyebaran faham hak asasi yang bersandarkan kefahaman manusia, sudah berada di arus perdana. Penyebarannya semakin keras dan deras.

Tidak ada yang salah tentang hak asasi. Ia adalah keperluan asas setiap individu. Namun, ia menjadi salah sekiranya tiada elemen ketuhanan dan hanya mementingkan kehendak manusia.

Perlembagaan kita merangkum hak asasi di bawah tajuk kebebasan asasi. Walaupun ada beberapa perbezaan dari segi maksud dan istilah yang digunakan, iaitu \”kebebasan\” dan \”hak\”  tetapi secara dasarnya kita tidak boleh membuat kenyataan umum bahawa Perlembagaan kita tidak menjamin hak asasi.

Ini kerana implikasi kepada peruntukan berkaitan kebebasan asasi sebagaimana ada dalam perlembagaan itu menjadikan hak-hak asasi perlu dijaga, dijamin dan dilaksana kepada setiap yang berhak mengikut kesesuaian perundangan negara.

Dalam aspek perundangan, negara kita masih berpegang dengan kukuh kepada nilai-nilai agama dan budaya dalam hal berkaitan hak asasi. Oleh itu, secara akademik, dalam teori hak asasi, kita menerima pakai teori relativisme, iaitu satu teori yang menerima elemen tempatan, termasuk agama dan nilai budaya serta moral.

Perundangan kita tidak menerima teori universalime walaupun keinginan untuk segelintir warga kita yang mahukan negara menerima teori universalisme atau sejagat dalam hal hak asasi.

Teori universalisme hak asasi ialah teori yang mempromosi idea bahawa hak asasi perlu diseragamkan di serata dunia. Di dalam teori universalisme ini tiada penerimaan kepada keadaan setempat; tidak mementingkan kepercayaan \’agama\’;  tidak ada istilah \’nilai\’ atau \’norma\’ dan budaya. Ia adalah teori ciptaan manusia berdasarkan fikiran dan kehendak mereka sendiri dan merupakan hasil pemikiran Barat dan membentuk penjajahan Barat ke atas dunia timur.

Dari segi pemakaian, kekuatan teori sejagat ini ialah mereka mampu melobi kefahaman mereka di peringkat antarabangsa. Kerana itu, teori ini dianggap sejagat.

Sebahagian besar daripada kita amat maklum bahawa prinsip dan amalan hak asasi Barat adalah bias atau tidak adil; segala isi hak asasi itu ditentukan Barat. Deklarasi Sejagat Hak Asasi Manusia dan triti-triti berkaitan hak asasi dipengaruhi secara penuh oleh puak Barat. Kuasa veto di Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), sebagai badan pengawas hak asasi juga sememangnya dipelopori Barat.

Kini, di peringkat antarabangsa, sebarang ketidakpuasan hati mana-mana pihak terhadap pelaksanaan hak asasi boleh dibentangkan dalam beberapa proses PBB. Walaupun begitu, proses tersebut tidaklah begitu terbuka dan pihak-pihak yang mahu menyampaikan pandangan tentang hak asasi perlu melalui kepayahan melobi sebelum dibenarkan membuat apa-apa pembentangan atau menyampaikan apa-apa cadangan dan pandangan kepada jawatan kuasa berkaitan hak asasi di peringkat PBB.

Dalam negara, suara kita masih lagi padu menyokong perundangan negara dan masih lagi boleh berhujah dengan teori relativisme. Kita hendaklah berusaha membawa suara ini kepada PBB.

Secara teorinya, kita sentiasa boleh berhujah bahawa kita menerima hak asasi dalam konteks relativisme yang mempunyai dua pendirian utama: Pertama, relativisme yang ketat, iaitu tidak ada hak asasi manusia sejagat atau universal. Dan, semua kepercayaan atau agama dan nilai adalah budaya relatif, berkaitan  dengan kesesuaian tempatan. Maka hak asasi hendaklah setiap masa bersandarkan kepada kepercayaan dan nilai tempatan.

Dalam teori relativisme yang kedua, ia lebih longgar daripada yang pertama. Relativisme ini menerima prinsip hak asasi sejagat, tetapi pada masa sama menerima kemungkinan adanya  persamaan dan perbezaan antara nilai tempatan dengan nilai sejagat. Dengan itu nilai tempatan diberikan tempat dalam menerima dan melaksana hak asasi, tetapi apda masa sama meraikan kesejagatan prinsip hak asasi.

Kita mungkin boleh menghujah menggunakan kedua-dua aspek dalam teori relativisme ini untuk Malaysia di peringkat PBB.

Namun begitu, kita perlu lalui proses melobi di PBB dan dari segi realitinya ia amat sukar. Oleh itu peranan Badan-Badan Bukan Kerajaan yang percaya kepada teori relativisme ini amat besar. Usaha ini hendaklah dijana dengan lebih berkesan; kita perlu ke peringkat PBB. Tidak lagi memadai untuk kita sekadar bersuara dalam negara dan kita hendaklah bersatu dan belajar mencontohi antara satu sama lain.

Rencana yang disiarkan ini merupakan pandangan peribadi penulis sendiri
Scroll to Top