Bermusafir : Inspirasi Surah Ibrahim

PELBAGAI seruan dan penjelasan yang diberikan mengenai ayat-ayat Allah SWT yang sentiasa mengajak hamba-Nya untuk berjalan dan bermusafir di atas muka bumi Allah SWT. Melihat keindahan ciptaan Allah SWT dapat mendekatkan kita kepada-Nya dan menjadikan kita hamba yang sentiasa bersyukur.

Ustaz Muhammad Syaari Ab Rahman menerusi segmen Ibrah minggu lalu yang bersiaran di IKIMfm pada setiap Isnin, 5.15 petang berkongsi mengenai ‘Bermusafir inspirasi daripada Surah Ibrahim’.

Surah yang mengandungi 52 ayat ini mengandungi prinsip-prinsip agar orang yang bermusafir itu doanya mustajab. Doa kita ketika kita bermusafir dikatakan mustajab sekiranya hubungan kita dengan Allah SWT sentiasa dijaga. Sekiranya kita bermusafir ke tempat-tempat yang mendekatkan kita dengan kemaksiatan kepada Allah SWT, maka tiada keberkatan dalam pemusafiran kita dan tiadalah dikatakan orang “doakan saya ketika anda bermusafir”.

Musafir ini kita berjalan menjinakkan hati dan membiasakan diri dengan pelbagai cabaran-cabaran yang berlaku di hadapan kita ketika bermusafir kerana kita berada di negara yang berbeza dari segi budayanya, makanan juga tidak sama dan berbeza bahasanya. Pendek kata, banyak perkara yang tidak selari dengan keselesaan kita selama ini. Maknanya mereka yang bermusafir sengaja mencari cabaran-cabaran ini untuk sentiasa mematangkan diri sendiri.

Kedudukan orang musafir ini besar di sisi Allah SWT. Sekiranya tidak besar, masakan Nabi Muhammad SAW diajar untuk bermusafir meninggalkan bumi Makkah. Kata Imam As-Syafie, “Bermusafirlah, kamu akan mendapati pengganti yang jauh lebih baik dan keluasan jiwa akan berlaku kepada kamu.”

Ahli sejarah mengkaji dan mendapati, Nabi Muhammad SAW sebelum diangkat menjadi rasul, Nabi telah mendapat gambaran mengenai wilayah Arab melalui dunia perniagaan yang Nabi ceburi. Sekiranya Nabi tidak menceburi bidang perniagaan, maka Nabi tidak akan mengenali dan memahami masyarakat Arab dan menyukarkan usaha dakwah itu berjalan. Jadi, berbekalkan pengalaman bermusafir membawa barang-barang dagangan, Nabi Muhammad SAW telah mengembara ke 12 buah negara mengikut peta negara Arab pada ketika ini dan ini memudahkan urusan dakwah Nabi Muhammad SAW kerana Baginda memahami bagaimana kisah orang Arab di wilayah Arab.

Maka, Surah Ibrahim ini menarik untuk kita belajar meninggalkan zon selesa dan sekiranya boleh kita mempunyai pengalaman walaupun beberapa hari dan walaupun sedikit. Kenapa surah ini dikatakan mampu memotivasikan orang-orang yang bermusafir? Kerana surah ini memotivasikan Rasulullah SAW untuk bersedia bagi melakukan musafir yang sangat besar, iaitu hijrah.

Sheikh Al-Maududi berkongsi antara situasi para sahabat yang menyebabkan Surah Ibrahim turun kepada Rasulullah SAW. Para sahabat merasakan mereka perlu keluar dari Makkah dan tidak sanggup melihat Rasulullah SAW dihina. Disebabkan rasa inilah surah Ibrahim turun kepada Baginda Nabi Muhammad SAW. Maka Surah Ibrahim mengajar dan memotivasikan Rasulullah SAW kepentingan meninggalkan muka bumi hanya selepas mendapat perintah Allah SWT.

Surah Ibrahim ini membawakan kisah Nabi Ibrahim AS berdoa kepada Allah SWT supaya Allah SWT menjadikan bumi Makkah bumi yang diberkati. Sekiranya diperhatikan, ini merupakan antara doa Nabi Ibrahim AS sebaik sahaja Baginda meninggalkan isteri dan Nabi Ismail yang masih lagi bayi di bumi yang kering kontang. Selain itu, dapat juga kita lihat menerusi Surah Ibrahim ini mengenai perintah Allah SWT untuk Nabi Ibrahim AS meninggalkan bumi Palestin pergi ke Makkah. Kemudian datang pula perintah Allah SWT untuk balik ke Palestin dan meninggalkan anak serta isteri.  Maka surah ini turun kepada Nabi Muhammad SAW sebagai persediaan dan motivasi buat Baginda sebelum berhijrah ke Madinah.

Terdapat beberapa ayat di dalam Surah Ibrahim ini yang merupakan doa Nabi Ibrahim AS antaranya menerusi ayat 37 yang bermaksud : \”Wahai Tuhan kami! Sesungguhnya aku telah menempatkan sebahagian dari zuriat keturunanku di sebuah lembah (Tanah Suci Makkah) yang tidak tanaman padanya, di sisi rumahMu yang diharamkan mencerobohinya. Wahai Tuhan kami, (mereka ditempatkan di situ) supaya mereka mendirikan sembahyang (dan memakmurkannya dengan ibadat). Oleh itu, jadikanlah hati sebahagian dari manusia tertarik gemar kepada mereka, (supaya datang beramai-ramai ke situ), dan kurniakanlah rezeki kepada mereka dari berbagai jenis buah-buahan dan hasil tanaman, semoga mereka bersyukur.

Jika dlilhat daripada ayat ini, permualaannya dimulakan dengan ‘Tuhan Kami’ dan kemudian didatangkan dengan ayat ‘Seunugguhnya aku’. Hal ini disebutkan oleh ulama sebagai ajakan oleh Nabi Ibrahim AS kepada isterinya agar berdoa dengan doa yang sama agar kedua-duanya mendapat kekuatan yang sama untuk menghadapi perpisahan ini.

Selain itu, Allah SWT turut menceritakan tentang kisah Nabi Musa AS di dalam surah Ibrahim ini. Banyak kisah-kisah Nabi Musa AS dipaparkan di dalam Al-Quran. Tetapi, istimewanya kisah Nabi Musa AS di dalam surah Ibrahim ini adalah apabila temanya juga adalah tentang hijrah dan musafir. Tentang hijrah Nabi Musa AS dari Mesir ke Palestin. Hijrah daripada kegelapan kepada cahaya, daripada seksa diperhambakan oleh firaun kepada kmenangan. Kisah ini disebutkan menerusi surah Ibrahim ayat 5 yang bermaksud : Dan sesungguhnya Kami telah mengutuskan Nabi Musa (pada masa yang lalu) dengan membawa mukjizat-mukjizat Kami sambil Kami berfirman: \”Hendaklah engkau mengeluarkan kaummu dari gelap-gelita kufur kepada cahaya iman; dan ingatkanlah mereka dengan Hari-hari Allah. \”Sesungguhnya yang demikian itu, mengandungi tanda-tanda yang menunjukkan kekuasaan Allah bagi tiap-tiap seorang yang kuat bersabar, lagi kuat bersyukur.

Dapat diperhatikan menerusi surah Ibrahim ini terdapat banyak perkataan ‘khuruj” iaitu keluar apabila diperintahkan oleh Alah SWT yang menjadi tema surah ini.

Akhirnya, sekiranya manusia terperangkap di kawasan lama, zon selesa yang menyesakkan dan mencipta ketidakmatangan, maka mengembara dan keluarlah daripada zon itu agar dapat mengecapi perubahan dan dapat kita belajar sesuatu di sepanjang pengembaraan kita.

Rencana ini telah disiarkan dalam segmen Agama akhbar Berita Harian edisi 3 Mei 2016
\"2016-05-03\"
Scroll to Top