Berbakti kepada Ibubapa

DALAM Al-Quraan kita temui beberapa ayat yang menekankan tentang perintah berbuat baik ataupun  berbakti kepada kedua ibu bapa. Misalnya Allah SWT  berfirman “Dan jika keduanya memaksamu untuk mempersekutukan dengan Aku sesuatu yang tidak ada pengetahuanmu tentang itu, maka janganlah kamu mengikuti keduanya, dan pergaulilah keduanya di dunia dengan baik, dan ikutilah jalan orang yang kembali kepada-Ku, kemudian hanya kepada-Kulah kembalimu, maka Kuberitakan kepadamu apa yang telah kamu kerjakan.(Surah Luqman, ayat 15). Bagi seorang anak, berbakti kepada kedua ibubapa adalah hak yang sangat penting untuk diambil perhatian lebih-lebih lagi apabila mereka sudah lanjut usia. Ia tidak terbatas kepada satu atau dua perkara, sebaliknya merangkumi pelbagai aspek

Berbuat syirik atau menyekutukan Allah SWT adalah perbuatan yang sangat dimurkai oleh Allah SWT. Tidak ada kompromi untuk berbuat syirik kepada Allah SWT. Tidak ada tolak ansur dalam menolak segala bentuk syirik dalam kehidupan umat Islam. Syirik itu dosa besar yang tidak akan diampunkan oleh Allah SWT. Sebagaimana Allah SWT dalam Firman-Nya yang bermaksud : “Sesungguhnya Allah tidak akan mengampunkan dosa syirik mempersekutukan-Nya (dengan sesuatu apa jua) dan akan mengampunkan dosa yang lain dari itu bagi sesiapa yang dikehendaki-Nya (menurut aturan Syariat-Nya). Dan sesiapa yang mempersekutukan Allah (dengan sesuatu yang lain), maka sesungguhnya dia telah melakukan dosa yang besar”. (Surah An-Nisaa’, ayat: 48). Oleh itu, Allah SWT menegaskan bahawa seseorang anak tidak wajib mentaati kedua ibu bapa dalam perkara yang berhubung dengan syirik kepada-Nya. Walau bagaimanapun, setiap anak itu  tetap wajib bergaul dan sentiasa menghubungi kedua-dua ibubapanya secara baik. Di sini dapat digambarkan betapa tingginya nilaian Allah itu sendiri terhadap jasa ibu bapa sekalipun mereka ini menyuruh mengingkari perintah Allah SWT.Si anak tidak patut mengikut keduanya tetapi dalam beberapa perkara, mereka wajib menunaikan hak-hak mereka terhadap ibu bapa mereka seperti apa yang dihajati.

Ibu bapa merupakan insan yang paling rapat dan dihormati dalam institusi keluarga. Mereka banyak berkorban dalam membesarkan dan memberi didikan kepada anak-anak. Mereka tidak pernah meminta atau mengharapkan balasan atau bayaran terhadap penat lelah, pengorbanan dan kasih sayang yang mereka berikan. Dalam rancangan Pesona D’Zahra di IKIMfm pada hari Isnin jam 10.15 pagi, Ustaz Muhammad Abdullah Al-Amin menyatakan bahawa terdapat tiga perkara yang menjadi kewajipan dan perlu dipelihara bagi menjamin serta mengukuhkan kebahagiaan antara ibu bapa dan anak. Antaranya, sebagai anak perlulah mempamerkan perbuatan atau sifat yang mulia dengan menjadikan kedua ibu bapa sebagai teman atau sahabat. Umpamanya, melakukan sesuatu perkara yang disukai. Ibu  bapa tentu mengharapkan anaknya melakukan sesuatu yang baik pada pandangan mereka. Melakukan perkara yang tidak disukai oleh ibu bapa bermakna melakukan perbuatan derhaka. Sabda Rasulullah S.A.W. bermaksud: \”Dua kejahatan yang disegerakan balasan di dunia ialah zina dan menderhaka kepada kedua-dua ibu bapa.\” (Hadis riwayat at-Tirmizi).

Seterusnya, satu cara menjaga perasaan ibu bapa adalah bercakap lemah lembut dengan mereka. Ironinya, ada di antara  anak-anak  pada masa kini bercakap kasar dengan ibu bapa mereka. Cara mereka berkomunikasi bersama ibu bapa mereka sama seperti mana mereka berkomunikasi dengan rakan sebaya. Perkataan ah , malaslah ! nantilah ! mudah sahaja terpancul keluar dari mulut mereka, seolah-olah mereka memandang rendah darjat ibu bapa mereka. Jika kita imbas kembali, bagaimanakah cara ibu bapa kita menasihati kita?. Semestinya mereka bertutur secara  lembut. Hal ini disebabkan mereka menginginkan nasihat mereka itu  dapat diikuti oleh si anak. Begitu juga cara yang lebih berkesan  untuk si anak memujuk atau menerangkan sesuatu perkara kepada ibu bapa mereka iaitu melalui tutur kata yang lemah-lembut bukannya dengan cara menengking atau mengherdik mereka.

Mendoakan ibu bapa juga adalah tanggungjawab yang wajib dilakukan oleh anak-anak. Sebagai seorang anak yang soleh dan solehah perlu sentiasa berdoa kepada Allah SWT  agar dipanjangkan usia mereka agar kita sempat mencurahkan bakti kepada mereka.Amalan ini boleh dilakukan selepas solat atau pada bila-bila masa. Sabda Rasulullah SAW bermaksud: \”Apabila meninggal seseorang itu, maka terputuslah segala amalannya, melainkan tiga perkara iaitu sedekah jariah yang berterusan memberi manfaat, ilmu yang memberi kebaikan diajarkan kepada orang lain dan anak yang soleh yang sentiasa mendo\’akan kebaikan kepada kedua ibu bapanya.\” (Hadis riwayat Muslim).

Keluarga yang bahagia adalah antara jaminan kebahagiaan bagi setiap hamba-Nya. Hakikatnya, semua orang inginkan keluarga yang bahagia. Marilah kita bersama-sama menyemai kasih sayang dan mewujudkan keharmonian dalam keluarga sehingga diberkahi dan mendatangkan sakinah.

Sumber Gambar : www.alustaz.com

Rencana ini telah disiarkan dalam segmen Agama akhbar Berita Harian edisi 5 Jun 2017
\"\"
WhatsApp
Scroll to Top