Belajar Sepanjang Hayat

PROF. Madya Dr. Syarifah Hayaati Syed Ismail dalam rancangan Tarbiyah yang bersiaran di radio IKIMfm Jumaat lepas jam 10.15 pagi berbicara tentang “Belajar Sepanjang Hayat”. Beliau memulakan dengan pepatah Arab yang berbunyi: “dua perkara yang manusia tidak akan puas (kenyang) untuk mendapatkannya iaitu mencari ilmu dan mencari rezeki”. Walaupun di ambang kematian, ada yang masih lagi memikirkan tentang hartanya. Kenapa kita tidak kenyang dengan ilmu? Kerana sepertimana yang disebut dalam al-Qur’an dalam Surah al-Kahfi ayat 109 yang bermaksud: “Katakanlah: sekiranya lautan menjadi dakwat untuk menulis kalimat-kalimat Tuhanku, sungguh habislah lautan itu sebelum habis (ditulis) kalimat-kalimat Tuhanku, meskipun Kami datangkan tambahan sebanyak itu (pula) lautan lagi”.

Maksudnya, sekiranya seluruh lautan itu digunakan sebagai dakwat untuk menulis segala yang diketahui oleh Allah SWT bermula daripada al-Qur’an sebagai asasnya, nescaya habis seluruh lautan pun tidak akan habis ilmu Allah SWT. Inilah juga hakikatnya yang kita sendiri alami apabila semakin kita belajar, semakin kita merasakan alangkah banyaknya yang kita tidak tahu. Tiada orang yang belajar yang merasakan dirinya sudah tahu semua perkara, bahkan sebaliknya bagi seorang pelajar akan sentiasa dirinya masih banyak yang perlu dipelajari dan kerana itulah mendorongnya untuk terus belajar.

Dalam dunia akademik pun, perkara sama berlaku walaupun seorang itu bergelar professor sekalipun, semakin dia belajar selagi itulah dia merasakan masih banyak dia belum ketahui. Sebab itulah menuntut ilmu itu hukumnya wajib, khususnya ilmu-ilmu yang bersifat Fardu Ain, iaitu ilmu Fekah, ilmu Aqidah dan ilmu Tasawuf. Dulu kita tidak pernah mendengar Solat itu juga mampu menjadi terapi untuk kesihatan diri, tetapi dengan kajian demi kajian maka telah kita temui bahawa Solat itu amat baik untuk kesihatan, bukan sahaja ia tuntutan agama atau perintah Allah SWT, tetapi dari segi fizikalnya juga ada kebaikan.

Untuk mendapatkan keberkatan ilmu, apa sahaja yang dipelajari maka hendaklah diniatkan untuk diamalkan dan dengan cara itu ilmu menjadi berkat. Ilmu itu juga memilih kepada siapa yang ingin berkawan dan di dada siapa ia ingin duduk. Ada orang yang ilmu ingin “berkawan” maka dia akan melekat kepada orang tersebut, tetapi jika ilmu itu melihat orang tersebut tidak beramal dengan ilmunya, maka ilmu tersebut akan meninggalkannya.

Seorang tabi’ini bernama Said bin Jubair yang belajar daripada sahabat antaranya Abu Hurairah dan Abdullah ibn Abbas RA. Rasulullah SAW sendiri mendoakan kepada Abdullah ibn Abbas RA yang berbunyi maksudnya: “Ya Allah berikan kefahaman mendalam tentang agama, dan berikan kepadanya kefahaman al-Qur’an yang mendalam”.  Ayat ini sering dibacakan kepada anak-anak yang baru dilahirkan, dalam majlis-majlis tahnik, atau “pecah mulut”.

Said bin Jubair pernah berkata bukan kita belajar itu hanya kerana dirinya tidak tahu sahaja, tetapi kita belajar di sebalik kita merasakan sudah tahu. Orang alim itu bukan orang yang merasakan dirinya sudah memiliki ilmu pengetahuan, tetapi orang alim itu ialah selama orang itu terus belajar. Pada ketika dia berhenti belajar, maka pada ketika itu dia bukan lagi menjadi orang alim.

Belajar bukan semestinya secara formal, masuk universiti atau menghadiri kelas tetapi kita belajar dengan orang yang tidak tahu, belajar dengan persekitaran dan alam sekitar. Imam Shafie RA pernah menyebut detik jatuhnya seseorang itu ialah apabila merasakan dirinya sudah hebat, lalu kalau seseorang itu merasakan dirinya telah alim dan cukup ilmunya maka tunggulah saat kejatuhannya.

Imam Ahmad RA pernah mengatakan kebaikan ilmu itu tiada tandingannya apabila ilmu yang dicari itu diniatkan untuk menghilangkan pertama sekali ialah menghilangkan kejahilan dan kebodohan diri sendiri terlebih dahulu. Inilah manfaat yang terbesar sekali bagi seorang yang menuntut ilmu iaitu membetulkan kejahilan diri sendiri. Kedua, ialah diniatkan untuk membantu mengajar orang lain. Ketiga, diniatkan walau sedikit yang kita peroleh untuk beramal dengan ilmu yang kita telah pelajari. Kita tidak akan mampu mentarbiah diri kita sendiri sekiranya kita tidak ada keinginan untuk terus belajar.

Sebab itu ada riwayat yang menyebut “jadilah orang yang berilmu, atau (jika tidak mampu) maka jadilah orang yang belajar, (tetapi jika tidak mampu) jadilah orang yang mahu mendengar ilmu, atau orang yang menyukai ilmu. Dan janganlah engkau menjadi orang kelima maka kamu akan celaka” (HR Bayhaqi). Lantaran itu kita melihat ramai para Sahabat RA yang meninggal di luar Tanah Arab kerana menyebarkan ilmu dan berdakwah kepada orang ramai di seluruh pelusuk dunia. Pernah diriwayatkan juga bagaimana seorang penuntut ilmu yang datang jauh pergi ke Damsyik untuk menemui Sayyidina Abu Darda’ di Damsyik untuk mengesahkan hanya satu hadith sahaja yang diriwayatkan oleh Abu Darda’ RA. Hari ini ada pelbagai cara untuk belajar, termasuk belajar melalui radio IKIMfm seperti hari ini.

Rencana ini telah disiarkan dalam segmen Agama akhbar Berita Harian edisi 11 Ogos 2017
\"\"
WhatsApp
Scroll to Top