Baik Itu Bukan Pilihan

SETIAP manusia yang lahir ke dunia ini ibarat sehelai kain putih bersih yang suci tanpa noda dan dosa. Namun berbalik kepada manusia itu sendiri bagaimana mahu mewarnai kain kehidupan mereka dengan warna yang putih bersih atau sebaliknya.

Dalam sepotong hadis Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud “Setiap anak itu dilahirkan dalam keadaan fitrah. Kedua orang tuanyalah yang membuatnya menjadi seorang Yahudi, seorang Nasrani maupun seorang Majusi.” (Hadis Riwayat Abu Hurairah)

Hakikatnya dalam diri seseorang manusia, dikurniakan dengan nilai kebaikan kerana nilai-nilai baik itu adalah satu fitrah bagi manusia. Malahan, tidak seorang pun manusia yang tidak suka kepada perkara baik, waima jika ditanya kepada seorang penyamun, tentunya dia suka kepada orang yang tidak menyamun, begitu juga jika seseorang wartawan bertanyakan kepada penjenayah, dia juga akan berkata tidak mahu menjadi penjenayah.

Menerusi rancangan Islam Itu Indah yang bersiaran setiap hari Rabu jam 10.30 pagi, Ustaz Pahrol Muhamad Juoi berkata menjadi baik bukan satu pilihan. Ini kerana setiap manusia hendaklah berusaha untuk menjadi baik kerana hanya orang yang baik sahaja berhak untuk menghuni syurga Allah Taala di akhirat nanti. Bahkan orang yang baik adalah orang yang akan mendapat keberkatan hidup dunia dan akhirat.

Bagaimanapun dalam usaha membina kebaikan dari semasa ke semasa, seseorang mukmin itu tidak akan lari dari menumpuh ujian dan cabaran yang barangkali boleh menggugat usahanya untuk membina kebaikan dalam dirinya. Mukmin yang tidak kental jiwa dan hatinya boleh rebah dan luntur nilai baik dalam diri. Sebagai contoh seseorang yang ringan tangan dan suka membantu orang lain, apabila diuji dengan fitnah, dia mula berubah hati dan tidak mahu lagi membantu orang lain, sedangkan menolong orang adalah perbuatan mulia yang membina kebaikan dalam diri.

Oleh sebab itu, seseorang mukmin itu perlu menuang hatinya dengan ilmu agar ilmu itu dapat membentengkan diri dari terjerumus kepada perbuatan yang tidak baik. Dalam usaha untuk menambahnilai kebaikan dalam diri agar hidup mendapat keredaan allah SWT, Ustaz Pahrol menjelaskan tentang beberapa unsur penting seperti, doa sebagai senjata seorang mukmin, seseorang mukmin hendaklah mencari ilmu dan beramal dengannya, dengan amalan, mendapat bimbingan dan mentor dan bermujahadah terhadap perkara-perkara yang merosakkan kebaikan, dan istiqamah.

Doa adalah senjata bagi setiap mukmin. Sebagaimana sabda Rasulullah SAW yang bermaksud “Doa adalah senjata bagi orang-orang mukmin, tiang bagi agama, dan nur bagi langit dan bumi\”. Ketika manusia tiada lagi harapan bagi dirinya, Allah SWT Melalui Nabi Muhammad SAW mengajar manusia untuk mengangkat doa bermohon kepada Allah SWT.

“Ya Allah, bantulah hatiku untuk mengingatiMu dengan zikrullah dan kurniakanlah hati yang sentiasa bersyukur dengan nikmat-nikmatMu, serta permudahkan aku untuk memperbaiki amalanku”.

Bermohon dan memintalah kepada Allah agar dikurniakan akhlak yang baik, hati yang bersih, mulut dan sopan serta perbuatan yang tidak dibenci oleh manusia lain. Bermohon dengan seikhlasnya kepada Allah SWT dan diiringi dengan usaha untuk menjauhi dari kejahatan pastinya seseorang mukmin itu dapat membentuk diri menjadi insan yang baik pada pandangan Allah dan manusia.

Selain sentiasa berdoa dan bermohon kepada Allah SWT, Ustaz Pahrol berkongsi pandangan iaitu seseorang mukmin itu hendaklah tidak jemu untuk mencari ilmu, kerana dengan ilmu akan mengeluarkan kita dari sebarang kejahilan. Orang yang jahil adalah orang yang kufur. Kejahilan akan membawa manusia kepada perkara-perkara jahat. Justeru proses belajar hendaklah sentiasa berjalan. Seseorang mukmin digalakkan untuk mengutip sebanyak ilmu dunia dan akhirat.

Seseorang mukmin disarankan mempelajari ilmu agama secara berguru dengan sekian banyak kitab yang dinukilkan oleh ulama Islam tersohor supaya dengan pengetahuan agama yang jelas dan mendalam akan mendekatkan diri manusia dengan allah. Orang yang takut akan Allah, pastinya akan takut untuk melakukan perbuatan yang membawa kemungkaran dan kerosakan di bumi ini.

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud “Barangsiapa yang menempuh suatu perjalanan dalam rangka untuk menuntut ilmu maka Allah akan mudahkan baginya jalan ke surga. Tidaklah berkumpul suatu kaum disalah satu masjid diantara masjid-masjid Allah, mereka membaca Kitabullah serta saling mempelajarinya kecuali akan turun kepada mereka ketenangan  dan rahmat serta diliputi oleh para malaikat. Allah menyebut-nyebut mereka dihadapan para malaikat.”( Hadis Riwayat Muslim)

Ilmu dan adab adalah dua entiti yang saling menyokong dan tidak boleh terpisah. Seseorang yang mempelajari ilmu akan turut mengetahui tentang adab-adab yang membina karektor manusia untuk menjadi manusia yang lebih berkualiti. Justeru seseorang mukmin yang baik mempunyai mentor atau guru yang baik juga. Ini kerana peranan seorang guru bukan sahaja mengajar ilmu tetapi turut mengajar tentang adab. Seorang murid yang mempunyai adab yang tinggi pastinya kerana gurunya juga memiliki kriteria yang sama. Oleh itu, seseorang mukmin perlu bijak memilih mentor atau guru yang mempunyai adab yang tinggi untuk dijadikan ikutan agar dapat membina nilai yang baik dalam diri seseorang mukmin.

Menjadi manusia baik bukanlah semudah membalik tapak tangan, pelbagai rintangan, ujian, cabaran dan dugaan yang dilalui oleh seseorang mukmin. Umpamanya dalam usaha untuk menjadi seorang yang sabar, tentu diuji dengan perkara yang mengundang kemarahan, begitu juga jika mahu menjadi seseorang yang jujur, akan diuji dengan perkara yang menyimpang dengan sifat tersebut. Oleh itu, dalam membuat kebaikan atau menjadi baik, seseorang mukmin perlu bermujahadah melawan perkara-perkara yang boleh mencalar nilai baik.

Mujahadah bererti bersungguh hati melaksanakan ibadah dan teguh dengan amalan terhadap Allah SWT. Sebagaimana yang disebut oleh para orang ulama, orang-orang yang berusaha melawan godaan nafsu dan bermujahadah melawan kejahatan pastinya orang yang menang dalam perjuangan hidupnya.

Oleh itu, seseorang muslim yang mengejar syurga Allah tidak akan jemu mencari dan membina kebaikan kerana orang yang baik akan mendapat naungan Allah SWT dan syafaat baginda di akhirat nanti.

Rencana ini telah disiarkan dalam segmen Agama akhbar Berita Harian edisi 24 Februari 2016
Scroll to Top