ASPIRASI INTERAKTIF DIGITAL 4.0 PUPUK BELIA BERINOVASI BERLANDASKAN SYARIAT ISLAM

SEREMBAN, 25 Okt (IKIM) – Usaha memperkasa jati diri dan daya saing golongan muda dalam era digital terus diperkukuh melalui penganjuran Aspirasi Interaktif Digital 4.0 Peringkat Antarabangsa anjuran Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan (JHEAINS) dengan kerjasama Majlis Belia Negeri Sembilan.

Pengarah JHEAINS Mohd Asri bin Abdullah menekankan kepentingan melahirkan generasi muda yang bukan sahaja celik teknologi, tetapi juga memiliki kekuatan jati diri dan kefahaman agama yang kukuh.

“Kemajuan digital perlu diseimbangkan dengan panduan syariat agar inovasi yang dihasilkan menjadi manfaat kepada ummah, bukan sebaliknya,” kata beliau.

Beliau berkata demikian dalam ucapan pada program tersebut di Dewan Besar, Pusat Dakwah Islamiah Negeri Sembilan, Paroi yang disempurnakan oleh Datuk Mohd Faizal bin Ramli, Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Warisan, Teknologi, Inovasi dan Digital Negeri Sembilan.

Turut hadir Pengarah Pusat Kajian Akidah, Agama dan Keharmonian, Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM) Dr. Mohd Farid bin Mohd Shahran; dan Presiden Majlis Belia Negeri, Saudara Mohd Fairos bin Rosli.

Program sehari itu menghimpunkan lebih 450 peserta belia daripada pelbagai institusi pendidikan termasuk Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Universiti Teknologi MARA (UiTM), Institut Pendidikan Guru (IPG), Kolej Vokasional serta Maahad Ahmadi, Gemencheh.

Menariknya, program ini turut disertai lebih 50 pelajar luar negara seperti dari Indonesia, New Zealand, Mesir dan Singapura melalui platform dalam talian Zoom Meet. Penyiaran langsung menerusi laman rasmi Facebook dan YouTube JHEAINS turut mendapat sambutan menggalakkan dalam kalangan belia tempatan.

Foto: JHEAINS

WhatsApp
Scroll to Top