SETIAP individu pasti mempunyai kelebihan dan keupayaan tersendiri. Begitu juga di kalangan para sahabat Nabi SAW. Ketika di zaman Baginda Nabi SAW, Saidina Amru bin al-Asy pernah dilantik menjadi ketua angkatan tentera ketika peperangan Dzatus Salalsis dalam kalangan sahabat-sahabat agung , Saidina Abu Bakar dan Saidina Umar. Menerusi perang tersebut berlaku ketegangan antara Saidina Umar dan Saidina Amru kerana terdapat beberapa perkara ynag dilakukan oleh Saidina Amru yang kelihatan janggal dalam kalangan para sahabat.
Menerusi segmen Hayatus Sahabah yang bersiaran setiap Isnin di IKIMfm pada hari Selasa jam 5 petang, al-Fadhil Ustaz Mohd Hazri Hashim al-Bindany berkongsi sambungan kisah kehebatan Saidina Amru bin al-Asy. Ketika di dalam peperangan Dzatus Salasil, Saidina Amru telah melaksanakan beberapa perkara. Antaranya beliau tidak membenarkan pasukannya menyalakan api sekalipun mereka dalam kedinginan. Beliau juga telah mengimamkan solat Subuh dalam keadaan berjunub dan beliau hanya bertayammum. Perkara lain yang beliau lakukan ialah menghentikan angkatan perang saat telah menang dan tidak membenarkan mereka mengejar musuh yang lari. Setelah kemenangan di dalam peperangan tersebut, Saidina Amru telah menghantar utusan untuk memaklumkan kemenangan kepada Baginda Nabi SAW. Setibanya Saidina Amru bersama pasukan tenteranya di Kota Madinah bersama-sama harta rampasan perang, Baginda telah meminta Saidina Amru memberikan penjelasan mengenai perkara janggal yang dilakukan oleh Saidina Amru.
Saidina Amru kemudian katakana “Ya Rasulallah, aku tidak menyalakan api sepertimana angkatan musuh menyalakan api kerana apabila kami menyalakan api, kami akan mendedahkan kepada musuh bilangan angkatan kami yang sedikit. Saya menghentikan angkatan tentera bagi mengejar musuh kerana saya bimbang sekiranya mereka lari ke arah bukit, ia merupakan helah dan perangkap musuh yang telah bersedia di sebalik bukit dan akan meyerang balas akhirnya ditewaskan. Maka, saya mengambil tindakan yang lebih berhati-hati.” Mendengarkan jawapan itu, Baginda tersenyum dan mengiyakan bahawa Saidina Amru seorang yang berhati-hati.
Kemudian, Baginda bertanya mengenai solat subuh yang diimamkan oleh beliau. Saidina Amru lantas menjawab ‘ketika itu aku berada dalam keadaan sejuk dan jika aku mandi akan memusnahkan aku. Beliau kemudian menyebut ayat 29 Surah An-Nisaa.” Mendengar penjelasan Saidina Amru, Baginda kemudian ketawa dan membenarkan perkara itu.
Ketika di zaman pemerintahan Khalifah Abu Bakar, telah berlaku gejala murtad yang berleluasa. Fitnah murtad itu cuba dipadamkan dan Khalifah Abu Bakar telah menggerakkan angkatan tentera yang diketuai oleh Saidina Amru. Angkatan tersebut telah dihantar kepada kaum Bani Amir untuk menyelesaikan kumpulan yang cuba meninggalkan agama Allah SWT. Saat beliau tiba, Ketua Bani Amir, Kurrah bin Hubairah yang telah bercita-cita meninggalkan Islam ada di situ dengan berkata “Sesungguhnya orang-orang arab tidak senang dengan apa yang telah kalian tetapkan daripada pengambilan harta-harta mereka sebagai bayaran zakat. Sekiranya kalian hapuskan zakat, pasti orang arab akan terus menyokong kalian.” Saidina Amru kemudian menjawab “sekiranya kalian enggan membayar apa yang telah ditetapkan oleh Allah SWT dab rasul-Nya, maka kalian akan diperangi.” Beliau mula memerangi kumpulan itu sehingga berjaya mengembalikan mereka kepada Islam dan ketaatan kepada Khalifah Abu Bakar.
Ketika di zaman pemerintahan Khalifah Umar al-Khattab, Saidina Amru telah dilantik menjadi jeneral angkatan perang yang telah diutuskan oleh Saidina Umar. Saidina Amru berjaya mengepung kota Baitul Maqdis sehingga ketika itu, artabun, ketua angkatan Rom dan tenteranya telah berputus asa dan tidak mampu bertahan akibat pengepungan tersebut. Akhirnya tentera Rom menyerah kalah dan menyerahkan kota Baitul Maqdis kepada tentera muslim. Ketika hendak menyerahkan kunci Baitul Maqdis kepada kaum muslimin, ketua agama Nasrani ketika itu enggan menyerahkan kunci kepada Saidina Amru dan ingin kunci itu diserahkan kepada Saidina Umar. Lalu Saidina Amru tekah menulis surat menjemput Saidina khalifah untuk datang dan terima kunci tersebut. Peristiwa itu berlaku pada tahun ke-15 hijrah. Apabila Khalifah Umar mengingatkan tentang peristiwa pengepungan oleh Saidina Amru itu, Baginda berkata “kita telah kalahkan artabun Rom dengan artabun Arab (Saidina Amru).”
Allah SWT berikan usia yang panjang buat Saidina Amru bin al-Asy. Saat beliau sakit dan hampir-hampir meninggal dunia, beliau mengatakan sesuatu kepada anaknya “aku hidup dalam tiga keadaan. Pertama, aku merupakan orang yang telah kufur kepada Allah dan kalaulah ketika itu aku meninggal, pastilah aku akan dicampakkan ke dalam api neraka. Kedua, aku telah berbai’ah kepada Rasulullah SAW dan telah memeluk Islam sehingga aku menjadi manusia yang sangat malu kepada Rasulullah SAW. Aku tidak pernah bertentang mata dengan mata semenjak aku memeluk Islam kerana rasa malu dan menyesal atas kesalahan-kesalahanku yang lalu.” Saidina Amru menambah lagi “telah berlaku banyak perkara dalam kehidupanku setelah wafatnya Rasulullah SAW. Aku tidak tahu lagi bagaimana kehidupanku di akhirat nanti.” Beliau kemudian berkata ‘Ya Allah, Engkau telah memerintahkan kami, ada perintah-perintah-Mu yang kami tinggalkan. Ya Allah, Engkau telah menegah kami dan ada tegahan-tegahan Engkau yang telah kami langgari. Ya Allah, kami tidak mampu kecuali mengharapkan keampunan dan pasrah kepada rahmat dan rahim-Mu ya Allah.” Beliau kemudian meletakkan tanggannya di leher dan menadahkan wajahnya ke arah langit lalu berkata “Ya Allah, aku tidak kuat, maka aku memohon pertolongan-Mu. Ya Allah, aku tidak ada lagi pembantu, maka aku memohon bantuan daripada-Mu. Ya Allah, aku bukanlah orang yang membesarkan diri dan aku juga merupakan orang yang sentiasa beristighfar memohon keampunan-Mu Ya Allah. Maka, ampunilah aku.” Diulangnya perkataan itu sehingga akhirnya beliau meninggal dunia.
Benarlah kata-kata Saidina Abdullah ibn Mas’ud “sekiranya kalian ingin mengambil iktibar dan pengajaran dalam kehidupan ini, ambillah pengajaran daripada orang-orang yang telah meninggal.”
Rencana ini telah disiarkan dalam segmen Agama akhbar Berita Harian edisi 19 Februari 2018