Amanah dan Adil Aset Terpenting Dalam Kepimpinan

PEMIMPIN dan kepimpinan merupakan amanah bagi yang layak dan mengambilnya dengan hak.Tanggungjawab daripada seorang insan kepada khalayak insan. Tanggungjawab tersebut bukanlah suatu kebanggaan mahupun kemegahan. Jika salah tujuannya, hal ini mampu untuk menjadi hina dan penyesalan pada hari kemudian.

Sebagaimana firman Allah SWT yang bermaksud “Wahai orang-orang yang beriman ! Janganlah kamu mengkhianati (amanah) Allah SWT dan Rasul –Nya , dan (janganlah) kamu mengkhianati amanah-amanah yang dipercayakan ke atas kamu, sedang kamu mengetahui (salahnya).” (Surah Al – Anfal, ayat ke 27). Pesanan Allah SWT amat wajar dijadikan sebagai “pemerhati” dan dipahatkan dalam diari harian seorang pemimpin. Tanggungjawab seorang pemimpin bermula dari rumah hinggalah  ke sebuah negara. Mereka yang dipimpin akan menjadikan tingkah laku pemimpin sebagai bekal dan panduan tatkala membuat pemilihan. Tidak dinafkan, pemimpin semakin penting dalam menyatukan dan menangani keperluan serta keinginan yang berbagai ragam dalam kalangan ahli masyarakat. Begitulah pentingnya pemimpin dalam sesebuah masyarakat yang inginkan kelicinan dan kesejahteraan perjalanan hidup di dunia dalam menuju ke  arah alam akhirat yang kekal abadi.

Dalam buku bertajuk al-Siyasah al-Syar’iyyah tercatat amanat untuk pemimpin yang menyatakan bahawa : “Perlulah diketahui dan disedari bahawasanya memimpin manusia adalah termasuk dalam kewajipan terbesar dalam agama.Tidak akan tertegak agama kecuali dengan kepimpinan. Sesungguhnya keperluan anak Adam itu tidak akan tercapai secara sempurna kecuali dengan keadaan berjemaah kerana sifat saling memerlukan antara  satu sama lain,  justeru dalam sebuah jemaah itu sudah pasti memerlukan seorang pemimpin”. Oleh itu, ternyata , setiap inci tugasan kepimpinan itu  berkait secara langsung dengan membangunkan agama. Seorang pemimpin bukan sahaja menyeru rakyat dan seluruh warga yang dipimpinnya agar mentaati Allah SWT dalam urusan ibadah, tetapi juga meliputi segenap aspek dan perincian kehidupan sama ada ekonomi , sosial, politik dan muamalat.

Pemimpin dalam Islam bukanlah satu anugerah kemuliaan yang boleh dimegahkan atau pemilikan kuasa untuk digunakan sesuka hati. Sebaliknya, pemimpin ialah seorang yang memegang amanah daripada rakyat yang dipimpin dan menanggung tanggungjawab daripada Allah SWT untuk memastikan memimpin masyarakat yang dipimpin memperolehi faedah duniawi mahupun ukhrawi daripada kepimpinannya. Oleh sebab besarnya amanah yang perlu dipikul dan besarnya  tanggungjawab yang mesti dilaksanakan, maka Allah SWT telah meletakkan pemimpin sebagai pihak ketiga yang wajib dipatuhi selepas-Nya dan selepas Rasul-Nya. Perintah taat kepada pemimpin ada dinyatakan dalam Al-Quraan yang bermaksud “Wahai orang-orang yang beriman, taatlah kamu kepada Allah, Rasul dan pemimpin daripada kalangan kamu.” (Surah An –Nisa,ayat  59). Syarat asasi bagi pemimpin untuk berjaya menunaikan amanah dan melaksanakan tanggungjawab dengan penuh dedikasi serta akhirnya akan meraih anugerah daripada Illahi ialah keikhlasan, kesedaran dan kesungguhan.

Keikhlasan jiwa mencurahkan tenaga untuk mengatur, menyusun dan menjaga kepentingan masyarakat ialah motivasi terpenting yang akan memastikan tidak berlaku kekecewaan daripada landasan yang benar. Keikhlasan jiwa  mampu menepis dan menyelamatkan pemimpin yang ada demi membolot keuntungan dan mengutamakan kepentingan peribadi daripada melaksanakan amanah dan tanggungjawab. Seterusnya, kesedaran bahawa kedudukan sebagai pemimpin bukan sutau yang boleh dibangga atau dimegahkan, sebaliknya kedudukan ini merupakan suatu bebanan yang amat berat untuk dilaksankan serta menyiapkan para pemimpin dengan hati dan fikiran yang terbuka untuk bermusyawarah, menerima nasihat dan memperbetulkan segala kesialapan yang berlaku. Kesungguhan dalam menjalankan amanah dan melaksanakan  tanggungjawab  akan membantu pemimpin menyusun masyarakat yang harmoni. Kesungguhan pemimpin yang ikhlas membela nasib masyarakat sekelilingnya insyaAllah membolehkan diri mereka menabur bakti kepada masyarakat tanpa mengira waktu.

Di samping itu, individu yang mahu memimpin atau bercita-cita untuk memimpin dan bertindak dalam kalangan manusia hendaklah berlaku adil dan ihsan walapun melibatkan musuh dalam medan perjuangan. Sifat tersebut  ditunjukkan oleh Baginda SAW sewaktu menangani sebarang permasalahan  ketika berhadapan dengan puak Quraisy. Allah SWT menyuruh agar berbuat adil dengan wajar, sederhana dan seimbang . Tidak cenderung kepada  hawa nafsu. Tiada pengaruh emosi  kasih dan benci. Tiada soal kepentingan mahupun mengambil kesempatan. Juga tidak takut kepada yang kuat dan berani kepada yang lemah. Keadilan itu tetap berjalan lurus memberikan sukatan dan pertimbangan yang saksama kepada semua. Kesimpulannya, seorang pemimpin perlu menjaga agamanya , hubungannya dengan Allah SWT dan mengambil amanah menunaikan tanggungjawab menegakkan hukum dan perundangan yang sah daripada Allah SWT serta memimpin rakyat melakukan perkara yang serupa.

Rencana ini telah disiarkan dalam segmen Agama akhbar Berita Harian edisi 19 September 2016
\"2016-09-19\"
WhatsApp
Scroll to Top