Alhamdulillah, Masih Sedar (Bhgn 2)

MATI atau meninggal dunia pasti akan berlaku kepada sesiapa sahaja yang bernyawa. Setiap makhluk akan merasai mati, bahkan Allah SWT menyebut tentang kematian itu adalah perkara yang pasti cuma bila waktunya adalah rahsia Allah SWT. Dalam ayat al-Quran Allah SWT berfirman yang bermaksud “Tiap-tiap yang berjiwa akan merasakan mati. Dan sesungguhnya pada hari kiamat sajalah disempurnakan pahalamu. Barangsiapa dijauhkan dari neraka dan dimasukkan ke dalam surga, maka sungguh ia telah beruntung. Kehidupan dunia itu tidak lain hanyalah kesenangan yang memperdayakan”.

Menerusi rancangan Islam Itu Indah, Ustaz Firdaus Subhi berkata seseorang mukmin yang beriman kepada Allah SWT hendaklah menguruskan kehidupan ini dengan sebaik mungkin kerana setiap satu yang dilakukan akan dipertanggungjawabkan di akhirat kelak. Ketaqwaan akan perintah Allah SWT akan menatijahkan keberkatan dan kasih sayang Allah yang akhirnya mendapat ganjaran Allah SWT di akhirat kelak.

Di akhir zaman ini antara petanda-petanda yang mana akan berlakunya kiamat adalah kematian-kematian yang mengejut orang-orang alim. Antaranya kematian yang disebabkan kemalangan, kesakitan yang pelik dan pelbagai perkara lain lagi yang diluar batasan pemikiran manusia. Oleh sebab itulah, seseorang mukmin hendaklah sentiasa dalam keadaan bersedia dan beriman kepada Allah SWT kerana tidak seorang pun yang akan tahu bila waktunya akan berakhir.

Oleh yang demikian seseorang mukmin diingatkan agar tidak melakukan kezaliman ke atas diri sendiri dengan melakukan maksiat dan keingkaran akan perintah Allah SWT. Begitu juga setiap perbuatan dan amalan di dunia ini hendaklah berdasarkan kepada pedoman al-Quran dan al-hadis supaya dengan kedua-dua panduan ini akan menyelamatkan manusia dari pembalasan Allah di akhirat nanti.

Memetik tafsir ulama Shaikh at-Tantawi, beliau mendefinisikan tentang mereka yang dikategorikan menzalimi diri sendiri adalah mukmin yang melakukan kejahatan-kejahatan melebihi kebaikan. Meninggalkan perkara wajib yang diperintah oleh Allah SWT dan melakukan perkara-perkara yang diharamkan oleh Allah SWT sungguhpun mereka mengucap kalimah syahadah tetapi dalam masa yang sama mengingkari perintah Allah SWT. Mereka ini adalah orang-orang yang akan mendiami neraka jahanam di akhirat nanti.

Adapun neraka jahanam yang dimaksudkan adalah Neraka Jahim iaitu neraka yang diperuntukkan kepada orang-orang beriman kepada Allah SWT tetapi tidak cukup amalannya. Mereka ini adalah terdiri daripada orang yang menzalimi diri sendiri yang akan mendapat pembalasan neraka dari Allah SWT. Setelah menerima pembalasan di neraka baharulah mereka ini dibersihkan di dalam telaga Kausar sebelum dimasukkan ke dalam syurga.

Dunia ini adalah tempat untuk bercucuk tanam, tempat untuk melakukan amalan-amalan bagi mengutip ganjaran pahala di akhirat. Seandainya matlamat seseorang mukmin itu adalah untuk mengejar akhirat pastinya dunia ini menjadi ladang untuk membina sebanyak mungkin pahala. Namun malanglah bagi seseorang mukmin jika ditangannya terdapat kunci kejahatan yang akan menjerumuskannya ke neraka jahanam.

Sebagaimana Allah SWT berfirman dalam surah an-Nahl ayat 97 yang bermaksud “Sesiapa yang beramal soleh, dari lelaki atau perempuan, sedang dia beriman, maka sesungguhnya Kami akan menghidupkan dia dengan kehidupan yang baik dan sesungguhnya kami akan membalas mereka, dengan memberikan pahala yang lebih dari apa yang mereka telah kerjakan”.

Oleh yang demikian, seseorang mukmin itu hendaklah berlumba-lumba memburu pahala dan membuat kebaikan kerana kelompok manusia yang menafkahkan dirinya untuk kebaikan pastinya akan mendapat ganjaran syurga Allah SWT. Justeru, setiap mukmin wajib untuk sentiasa bermuhasabah diri, menuntut ilmu dengan mereka yang fakih dan sentiasa mengisi masa lapang dengan perkara-perkara yang berfaedah. Ini kerana hidup ini cukup singkat untuk dihabiskan dengan perkara yang sia-sia.

Rencana ini telah disiarkan dalam segmen Agama akhbar Berita Harian edisi 9 Mei 2018

 

WhatsApp
Scroll to Top