Mati Yang Pasti

ANAS Ibn Malik RA meriwayatkan Rasulullah SAW bersabda, “Siapa yang suka bertemu dengan Allah, Allah juga suka untuk bertemu dengannya. Siapa yang tidak suka bertemu dengan Allah, maka Allah juga tidak suka untuk bertemu dengannya.” Seorang mukmin yang berada di dalam sakaratul maut akan mendapat khabar yang gembira bahawa dia diredhai oleh Allah SWT melalui pelbagai petanda, iaitu didatangi malaikat yang bercahaya wajahnya umpama matahari, berpakaian serba putih, malah ada di antara golongan mukmin yang mampu melihat kenikmatan syurga yang bakal diperolehi sehingga mereka tidak sabar untuk menemui kematian.

Sebagaimana perkongsian oleh Ustaz Hj. Mohd Meeftah Hj. Annuar melalui slot Mau’izati di IKIMfm, bagi mereka yang tidak beriman ketika hidupnya akan menangis kerana tidak suka akan mati, malah Allah juga akan menjauhkan dirinya daripada rahmat serta akan menyiksanya. Pada hakikatnya manusia yang gembira untuk kembali menghadap Allah, sebenarnya adalah mereka yang terlebih dahulu dipilih dan disukai oleh Allah SWT yang memiliki sifat rahman, rahim dan mengurniakan taufik dan hidayah kepada hamba-Nya. Sesungguhnya manusia yang disayangi Allah, mereka akan disibukkan dengan sentiasa berzikir dan melakukan amal kebaikan, namun sebaliknya bagi mereka yang jauh daripada rahmat Allah, sentiasa dipengaruhi bisikan untuk melakukan dosa dan maksiat.

Imam Abu Laith al-Samarkhandi pernah menyebut, siapa yang yakin akan mati maka seharusnya dia bersiap sedia menghadapinya dengan melakukan amal salih. Bagi mereka yang sentiasa mengingati mati, setiap perkara dan amalan akan dilakukan dengan bersungguh-sungguh, malah segala kemaksiatan, termasuklah perbuatan menyebarkan fitnah dan berita-berita palsu akan ditinggalkan kerana ia tidak memberi apa-apa kebaikan untuk dirinya sedangkan tidak diketahui bilakah kematian itu akan berlaku. Pelbagai hikmah disebalik rahsia bilakah berlakunya kematian dan di antaranya ialah bagi mengelakkan timbulnya huru-hara di dalam kehidupan manusia dan melatih mereka sabar menghadapi ujian yang dihadapi di dunia kerana sesungguhnya siksaan dan cabaran di dunia jauh lebih ringan berbanding di akhirat kelak. Maut juga adalah sebahagian daripada siksa akhirat kerana setelah menemui ajal, manusia akan merasakan betapa azabnya alam akhirat.

Manusia yang dikehendaki Allah untuk diberikan hidayah, maka akan dilapangkan dadanya untuk menerima Islam malah merindui majlis-majlis ilmu yang mendekatkan dirinya kepada Allah SWT. Namun bagi mereka yang disesatkan, Allah menjadikan dadanya sempit dengan Islam dan tidak langsung berminat dengan syariat dan al-Quran, malah membenci para alim ulama. Di antara tanda-tanda mereka yang menerima cahaya Islam termasuklah perlakuan mereka yang meninggalkan tempat-tempat yang penuh dengan penipuan dan menjanjikan keseronokan yang sementara. Sesungguhnya perkara-perkara yang mendatangkan dosa hanya mendatangkan kepuasan yang sementara kepada si pelaku, sedangkan akhirnya perbuatannya itu akan menghantui sepanjang hidupnya, termasuklah ketika menghadapi sakaratul maut, di azab ketika di alam barzakh sehinggalah tibanya Hari Akhirat kelak, sekiranya mereka tidak bertaubat di atas dosa yang telah dilakukan tersebut.

Azab Allah yang paling menakutkan bagi setiap manusia ketika hidup di dunia ialah tidak dapat berhenti dan meninggalkan perbuatan melakukan dosa. Oleh itu sentiasalah bermuhasabah dan menyesali setiap kesalahan yang dilakukan agar kita tidak tergolong di kalangan manusia yang menerima azab akibat keengganan untuk kembali bertaubat kepada Allah. Kekalkan diri untuk beristiqamah dengan amalan salih dan ikhlaskan hati untuk menerima dan melakukan kebaikan agar dapat merasai manisnya berada di dalam majlis ilmu dan kekal berada di jalan menuju syurga Allah.

Rencana ini telah disiarkan dalam segmen Agama akhbar Berita Harian edisi 10 Mei 2018

 

Scroll to Top