Al-Imam Al-Hasan Al-Basri

“Wahai anak Adam, sesungguhnya kamu ini seperti hari, setiap kali pergi hari itu, pergilah sebahagian daripada kamu”. Ini antara kata-kata yang masyhur oleh ketua Tabi’in, al-Imam al-Hasan al-Basri (wafat 21H/642M)

MENERUSI segmen Ibrah (Salafus Soleh) yang bersiaran di radio IKIMfm pada hari Isnin jam 5.15 petang, al-Fadhil Ustaz Muhadir Hj Joll berkongsi mengenai seorang tokoh tabi’in yang tidak asing lagi namanya. Beliau lahir di Basrah. Beliau ialah al-Hasan al-Basri. Beliau yang lahir dua tahun sebelum tamatnya pemerintahan Khalifah Saidina Umar r.a merupakan seorang ahli fiqh yang sangat luar biasa, ahli hadith dan juga dikenali sebagai orang yang selalu menasihati orang lain. Beliau tidak mengira tempat mahupun masa untuk mengingati dan memberi nasihat kepada insan lain. Selain di masjid, di pasar juga beliau memberikan nasihat. Nasihat beliau kepada semua golongan, orang awam, ulama’, pemimpin mahupun raja.

Beliau membesar dalam persekitaran yang baik. Ibunya adalah maula (bekas hamba yang dibebaskan namun masih berkhidmat dengan tuannya) kepada Sayyidatina Ummu Salamah, isteri Rasulullah SAW. Pada satu ketika, Ummu Salamah pernah meminta ibu Hasan al-Basri untuk pergi ke satu tempat dan ketika itu, Hasan al-Basri masih kecil. Beliau kemudian menangis meminta susu dan pada waktu itu tiada sesiapa melainkan Ummu Salamah. Ummu Salamah mengambilnya lalu menyusukan Imam Hasan al-Basri. Air susu daripada wanita mulia, Ummahatul Mukminin mengalir masuk ke dalam tubuh Imam Hasan al-Basri yang menajdikan beliau insan yang sangat hebat. Ummu Salamah bukan sahaja memberikan susunya kepada beliau bahkan dibawanya Imam Hasan al-Basri bertemu dengan para sahabat dan mereka mendoakannya. Beliau turut dibawa kepada Saidina Umar al-Khattab dan beliau didoakan khusus oleh Saidina Umar “Ya Allah, dalamkan ilmunya did alam bab agama dan mudah-mudahan dia dikasihi oleh orang ramai”. Dikatakan Imam Hasan al-Basri juga ditahnikkan oleh Saidina Umar r.a. Selain Saidina Umar, beliau juga pernah berjumpa dengan Saidina Uthman ibn Affan.

Imam Hasan al-Basri merupakan seorang yang hebat dan sering dilihat berkumpul bersama-sama dengan insan hebat yang lain. Kata Imam Hazam al-Khuto’I “aku melihat Imam Hasan al-Basri datang ke Makkah lalu beliau berdiri di belakang makam Ibrahim lalu solat di situ. Aku melihat ‘Atok (seorang tabi’in yang sangat agung ketika itu), Taus juga insan yang sangat hebat, Mujahid (ahli mufassirin yang sangat luar biasa) dan Amru ibn Syuaib juga di kalangan nama besar dalam kalangan tabi’in duduk dengannya”.

Keilmuan dan ketokohan Imam Hasan al-Basri hebat dan tidak perlu disangkal lagi. Al-Imam Abu Salamah at-Tabuzaki katakan “aku menghafal daripada Imam Hasan al-Basri lapan ribu permasalahan Fiqh dan Hadith”. Manakala menurut al-Imam Muhammad ibn Saad did alam kitab at-Tabaqat “Imam al-Hasan al-Basri orang yang mengumpulkan semua ilmu, alim yang sangat tinggi, sangat mendalam ilmu agamanya, boleh dipercayai, boleh menjadi hujah, orang yang kuat beramal, orang yang kuat ibadah dan lidahnya fasih”. Saidina Anas ibn Malik pernah mengatakan “kalian tanyalah Imam Hasan al-Basri kerana beliau itu kuat ingatan sedangkan kami lupa”. Bagi al-Matluk Wara’ “Imam Hasan al-Basri sekiranya beliau hadir, seumpama kita ini ingat akan akhirat. Beliau akan menceritakan kepada kita tentang sesuatu seolah-olah kita menyaksikan perkara itu”.

Imam Ali ibn Zaid pernah berkata “saya mendengar daripada Said ibn Musayyib : aku tidak pernah melihat orang seperti Imam Hasan al-Basri dan dia seperti para sahabat”. Menurut Al-Auf “tidak pernah aku melihat orang yang tahu jalan ke syurga melainkan Imam Hasan al-Basri”. Manakala Abi Jaafar al-Baqir katakan “apabila disebut tentang Imam Hasan al-Basri di siai beliau, katanya : itulah orang yang sekiranya dia berbicara, perkataannya seperti perkataan para Nabi”.

Perkataannya dan nasihat beliau merentasi semua golongan termasuk golongan atasan dan pemimpin. Imam Hisham ibn Hasan katakan “adalah Imam Hasan al-Basri ini oeang yang paling berani di zaman beliau”. Terdapat satu kisah tentang keberaniaan Imam Hasan al-Basri ketika berhadapan dengan gabenor, Hajasy ibn Yusuf al-Saqafi yang sangat terkenal. Gabenor ini digeruni oleh orang ramai kerana ketegasannya. Gabenor ini telah mendirikan seniah istana yang megah di bandar bernama Waasit (antara Kufah dan Basrah) dan gabenor ini telah mengajak orang ramai melihat istananya serta meminta orang ramai berdoa akan keberkatan buatnya. Imam Hasan al-Basri apabila melihat orang ramai menyaksikan kemegahan istana itu, lalu beliau menasihato mereka “Wahai manusia, janganlah kamu tertipu dengn binaan yang besar ini. Jangan kamu rasa hairan dengan kehebatan binaannya ini. Tidakkah Firaun dahulupun telah membina yang lebih besar, hebat dan kebih tinggi lagi daripada ini. Maka, Allah SWT pun membinasakannya dan meruntuhkan apa yang dibinanya. Hendaklah kamu ingat akan akhirat. Jangan dunia itu menyebabkan kamu menjadi leka. Setiap yang ada di dunia ini, satu hari nanti akan jadi hina, melainkan taat kepda Aallah SWT, ingat padanya dan beramal soleh”.

Apabila ditanya apakah beliau tidak gentar akan gabenor itu. Katanya “Sesungguhnya Allah telah mengambil perjanjian kepada orang yang alim supaya menjelaskan kepada manusia dan jangan sembunyikan kebenaran itu”. Gabenor yang mendengar kata-kata itu benar-benar marah dan di panggil ke istana. Gabenor berkata “apakah mungkin aku akan bertanya kepada kamu persoalan Feqah?” Imam Hasan al-Basri memberitahu gabenor agar tanyalah apa sahaja. Lalu gabenor berkata “wahai Imam Hasan al-Basri, kamu adalah ketua para ulama’, janganlah kamu haramkan kami daripada kehadiran kamu dan janganlah kamu bakhil dengan ilmu mu. Semoga kamu berjalan dengan aman.”

Melihat kelembutan dan kebaikan gabenor, pengawal istana bertanya, apakah doa yang dibacakan Imam Hasan al-Basri. Imam Hasan al-Basri katakan “Wahai Allah yang memberi akan nikmatku, dan yang menolongku ketika dalam kesusahanku, jadikanlah kemarahannya itu sejuk dan selamatlah ke atas ku sepertimana Engkau jadikan api itu sejuk ke atas Nabi Ibrahim”.

Begitulah kisah kehebatan Imam Hasan al-Basri. Beliau meninggal dunia pada malam Jumaat, 1 Rejab tahun 110 H dan disolatkan di masjid di Basrah.

Rencana ini telah disiarkan dalam segmen Agama akhbar Berita Harian edisi 10 Oktober 2017
\"\"
WhatsApp
Scroll to Top