Al-A’raf dan Mereka yang Ditinggalkan Disana

PERJALANAN hidup manusia tidak dinilai dengan ukuran dunia, dengan memiliki kenderaan mewah atau rumah yang besar, jawatan dan pengaruh yang hebat belum menentukan kejayaan di hari Akhirat kelak. Kejayaan bagi orang mukmin  ialah apabila dipesongkan dari neraka dan melalui perjalanan yang lancar untuk menuju syurga sebagaimana yang diajar oleh para nabi, rasul serta al-Quran. Kehidupan manusia juga akan melalui fasa di alam barzakh dan seterusnya dibangkitkan semula di Padang Mahsyar di dalam keadaan kosong serta tidak mengetahui bagaimana berakhirnya nasib setiap manusia. Manusia akan dihisab oleh Allah iaitu dihitung segala amalan yang dilakukan ketika hidup di dunia dan kemudian dimizankan, amalan yang baik akan diletakkan di sebelah kanan manakala amalan buruk berada di sebelah kiri serta ditimbang amalan ini. Timbangan berat disebelah kanan membawa manusia ke syurga, namun jika sebaliknya maka ke nerakalah dia. Tetapi apabila ditimbang di antara kanan dan kiri kedua-duanya seimbang, keadaan ini dikenali sebagai al-a’raaf.

Firman Allah di dalam surah al-A’raf, ayat 46-47: “Dan di antara keduanya (Syurga dan neraka) ada tembok \”Al-A\’raaf \”(yang menjadi) pendinding, dan di atas tembok Al-A\’raaf itu ada sebilangan orang-orang lelaki yang mengenal tiap-tiap seorang (dari ahli-ahli Syurga dan neraka) itu, dengan tanda masing-masing. Dan mereka pun menyeru ahli Syurga (dengan memberi salam, katanya): \”Salaamun Alaikum\” (salam sejahtera kepada kamu). Sedang mereka, sendiri belum lagi masuk Syurga, padahal mereka ingin sangat memasukinya. Dan apabila dialihkan pandangan mereka ke arah ahli neraka, mereka (berdoa dengan) berkata: \”Wahai Tuhan kami! Janganlah Engkau jadikan kami bersama orang-orang yang zalim”.

Menurut Imam al-Qurtubi, al-a’raaf dari segi bahasa ialah tempat yang mulia atau ditinggikan dan dapat melihat orang yang melalui titian sirat untuk memasuki syurga atau neraka. Perkongsian melalui slot Mau’izati di IKIMfm, Ustaz Ahmad Dusuki Abdul Rani menceritakan bahawa Rasulullah SAW menyebut, pada suatu hari akan dikumpulkan manusia pada hari Kiamat dan akan diperintah agar penghuni syurga untuk masuk ke dalam syurga manakala penghuni neraka masuk ke dalam neraka. Kemudian penghuni a’raaf akan dipanggil Allah lalu ditanya kepada mereka, “Apakah yang kamu lihat?” dan dijawab, “Kami melihat apa yang Kamu sebut, benar-benar terjadi ya Allah.” Lalu dikatakan kepada mereka, “Sesungguhnya kebaikan kalian melampaui batas untuk dimasukkan ke dalam neraka. Tetapi untuk memasuki syurga, ada kesalahan yang kalian lakukan. Oleh itu masuklah kalian ke dalam syurga dengan pengampunan dan kasih sayang Allah SWT.

Di dalam kitab K’ab al-Ahbar menceritakan, ada dua orang lelaki yang bersahabat ketika di dunia. Salah seorangnya berjalan menemui sahabatnya yang sedang menuju ke neraka. Lalu dia berkata kepada sahabatnya itu, “Demi Allah, tidak ada yang tinggal padaku  kecuali satu kebaikan yang boleh menyelamatkanku. Ambillah wahai saudaraku, mungkin kamu akan selamat dan kita menjadi penduduk al-a’raaf.” Kemudian Allah memerintahkan agar kedua-duanya dimasukkan ke dalam syurga. Pendapat ulama menyatakan, ini adalah di antara orang-orang yang digambarkan dengan ahli syurga yang paling miskin sekali di Akhirat nanti ialah al-a’raaf.

Abu Hamid menceritakan di dalam kitabnya Kasyhful Ulum al-Akhirah, seorang lelaki dibawa pada hari Kiamat, namun tiada satupun kebaikan memberatkan timbangannya yang sama berat di antara amal baik dan  amal buruknya. Allah memerintahkannya agar mencari satu lagi kebaikan agar melayakkan kamu memasuki syurga. Lalu lelaki ini mula mencari ke seluruh alam mereka yang akan memberikan amalan baik mereka kepadanya. Setiap orang yang ditemuinya menyatakan kebimbangan mereka  amalan kebaikan akan berkurangan, sedang mereka lebih memerlukannya berbanding lelaki itu. Lama-kelamaan lelaki itu mula berputus asa, lalu datang seorang lelaki lain bertanya apakah yang dicarinya.  Dijawab bahawa dia sedang mencari satu sahaja lagi amal kebaikan bagi membolehkannya memasuki syurga Allah. Lelaki itu pula berkata kepadanya bahawa dia telah bertemu dengan Allah dan mempunyai hanya satu amalan baik dan tidak membawa manfaat kepadanya kerana dia akan dihumban ke dalam neraka. Lalu dia memberikan amal baiknya kepada lelaki yang memerlukan satu lagi amal kebaikan untuk memasuki syurga itu. Kemudian dia dipanggil dan disoal Allah kenapa amal baiknya diberikan kepada lelaki itu dan Allah berfirman, “Demi kemuliaan-Ku, lebih luas daripada kemuliaan kamu, ambillah tangan saudaramu yang telah kamu berikan amal baikmu kepadanya tadi, dan masuklah kamu berdua ke dalam syurga.”

Demikian juga dengan orang yang timbangan amalnya sama berat. Allah berfirman kepadanya, “Kamu bukan penghuni syurga dan bukan penghuni neraka.” Lalu pemilik lembaran itu meletakkan kitab mizannya, dan keluar kalimah derhaka (Cis!) yang pernah disebutkan kepada ibu bapanya, yang dosanya seberat seberat gunung. Dan kerana dosanya itu maka dia dihumbankan ke neraka. Setelah dibawa ke neraka, lelaki itu meminta agar dibawa semula untuk menemui Allah. Dia menyatakan ketika berada di sana, dilihat ayahnya juga menjadi ahli neraka dan meminta Allah menambah siksaan kepadanya dan menyelamatkan bapanya dengan pahalanya sebelum ini. Abu Hamid menyebut di dalam kitabnya bahawa Allah berfirman, “Di dunia kamu menderhakainya tetapi di Akhirat kamu berbuat baik kepadanya. Ambillah tangan bapamu dan masuklah kamu berdua ke dalam syurga.” Riwayat Huzaifah mengisahkan, penjaga al-mizan pada hari Kiamat adalah malaikat Jibril AS dan penduduk al-a’raaf adalah mereka yang paling rendah darjatnya di sisi Allah.

Rencana ini telah disiarkan dalam segmen Agama akhbar Berita Harian edisi 3 November 2016
\"2016-11-03\"
Scroll to Top