Akhlak Cerminan Agama

UMAT Islam merupakan duta-duta kecil yang membawa nama Islam kemana sahaja mereka berada. Orang yang beramal dengan agama Islam juga mempamerkan kesucian agama itu yang turut akan dilihat oleh orang lain. Setiap perbuatan dan sifat-sifat yang ditunjukkan oleh agama yang dikuti itu juga menonjolkan perkara-perkara yang dituntut dalam agama tersebut. Oleh yang demikian, segala bentuk perbuatan seseorang individu muslim itu, adalah berpandukan kepada akhlaknya yang dibentuk melalui agama itu sendiri. Melalui kepentingan akhlak keperibadian itu, Ustaz Rusydi Al-Jauhari bersiaran menerusi rancangan ‘Islam Itu Indah’ di IKIMfm pada hari Rabu jam 10:15 pagi yang lalu telah membincangkan topik ‘Akhlak Cerminan Agama’.

Agama mempunyai beberapa asas tertentu iaitu akidah, syariat dan akhlak. Akhlak dari sudut bahasa membawa pengertian Ad-Deen iaitu merupakan cara hidup yang meliputi setiap aspek kehidupan. Agama dari sudut bahasa sanskrip bermaksud ‘tidak kacau’. Oleh itu, agama dan akhlak tidak dapat dipisahkan dimana pengertiannya yang lebih jelas adalah apabila seseorang yang beragama (Islam) dan berakhlak, mereka tidak akan mengganggu orang lain.

Jika akhlak yang baik dipelihara dan diamalkan oleh umat Islam, seluruh kehidupan manusia akan menjadi aman dan tenteram serta tiada persengketaan. Selain itu, orang yang beragama turut mempunyai ketenteraman jiwa kerana hidupnya mempunyai matlamat dan merasakan Allah SWT sentiasa melihatnya dan menjaga akhlaknya. Secara lebih utama, akhlak merupakan sifat dalaman dari seseorang dimana ia menunjukkan kepada kebaikan ataupun keburukkan yang dilakukan.

Kesinambungan daripada istilah akhlak merupakan juga sebuah maruah kehormatan. Jika diteliti pada maksud maruah itu, ianya merupakan sesuatu yang diperlihatkan kepada orang lain berdasarkan sifat dan amalan seseorang. Menurut hadis, Rasulullah SAW menyebut “Sesungguhnya aku diutus untuk memuliakan akhlak manusia” (Hadis Riwayat Bukhari). Kehadiran Rasulullah SAW menyampaikan agama Islam dan mengeluarkan manusia daripada kesesatan merupakan suatu anugerah dari Allah SWT untuk membentuk sebuah agama yang mempunyai umat berakhlak mulia.

Oleh itu, Allah SWT telah mengingatkan juga umat Islam dalam surah Al-Ahzab ayat 21 yang bermaksud, “Demi sesungguhnya, adalah bagi kamu pada diri Rasulullah itu contoh ikutan yang baik, iaitu bagi orang yang sentiasa mengharapkan (keredaan) Allah dan (balasan baik) hari akhirat, serta ia pula menyebut dan mengingati Allah banyak-banyak (dalam masa susah dan senang)”. Ustaz Rusydi Al-Jauhari memberitahu bahawa berdasarkan kitab Syamail Muhammadiyah, Rasulullah SAW memilik sifat yang tidak akan membalas perbuatan buruk dari orang lain walaupun perbuatan buruk dilakukan terhadap peribadi Baginda sendiri. Baginda adalah seorang yang bersifat pemaaf. Walaubagaimanapun jika sesuatu itu berkaitan dengan hukum-hukum agama Islam, baginda akan lebih tegas dan marah sekiranya tidak mentaati perintah Allah SWT.

Agama Islam merupakan sebuah agama yang selamat, aman dan tenteram dan menyerah diri kepada ALLAH SWT. Orang Islam yang sebenar adalah orang yang melaksanakan tindakan yang tidak menyakiti orang lain. Seseorang individu muslim yang memiliki akhlak mulia adalah mengikuti sifat-sifat akhlah diri Rasulullah SAW. Akhlak Rasulullah SAW adalah sebaik-baik rasul yang juga selari dengan beberapa buah hadis. Antaranya yang telah diriwayatkan oleh Saidatina Aisyah semasa beliau ditanya tentang akhlak Nabi Muhammad SAW, beliau menjawab “Sesungguhnya akhlak Baginda ialah al-Quran (Hadis Riwayat Muslim). Oleh yang demikian, jika umat Islam berakhlak seperti akhlak Rasulullah SAW, mereka akan dipandang mulia dan hidup penuh peradaban sesama manusia.

Munurut sebuah kisah di zaman Rasulullah SAW, Ustaz Rusydi Al-Jauhari menceritakan pada suatu ketika seorang arab badwi menarik rida (Selendang) Rasulullah SAW yang diperbuat daripada kain yang kasar sehingga meninggalkan kesan di leher baginda. Orang arab badwi itu juga mengatakan kepada baginda berikan padaku harta yang bukan daripada harta ibu dan ayahmu yakni harta daripada Allah SWT yang telah diberikan kepadamu. Susulan dari sikap orang arab badwi itu yang berkelakuan kurang sopan dan biadap, Rasulullah SAW tidak sama sekali membalas dengan perkara yang tidak baik malah baginda memberikan hadiah dua guni gandum buat orang arab badwi itu.  

Disebutkan bahawa ada riwayat yang menyebut Nabi SAW pernah bersabda, mafhumnya “Sesungguhnya Allah mengadabkan Aku dan memperelokkan adabku”. Walaupun sesetengah para ahli hadith ada yang berpandangan hadith ini lemah, namun di sana dari segi maknanya benar kerana akhlak dan adab merupakan unsur penting dalam pendidikan dan selari dengan Firman Allah SWT “ Sesungguhnya pada dirimu (Muhammad) memiliki akhlak yang agung”. (Surah al-Qalam:4). Ustaz Rusydi Al-Jauhari turut memberikan contoh rujukan dari kisah akhlak Rasulullah SAW dimana apabila baginda selalu keluar beribadah di masjid, terdapat seorang perempuan yahudi sering meletakkan duri dan najis dalam perjalanan baginda.

Rasulullah SAW tidak membalas perbuatan tersebut malah turut menyucikan najis tersebut. Sehinggalah suatu hari Rasulullah SAW hairan kerana tiada lagi halangan dan najis diletakkan semasa perjalanan baginda. Lantas Rasulullah SAW pergi menziarah perempuan yahudi itu dan mendapati perempuan tersebut tidak sihat (sakit). Oleh itu, Rasulullah SAW turut memberikan makanan kepadanya. Diatas sifat perbuatan yang mulia dari Rasulullah SAW itu, perempuan yahudi itu memeluk agama Islam dan mengikuti amalan mulia yang diamalkan oleh baginda.

Orang yang mempunyai ciri-ciri mukmin yang sebenar adalah orang yang mempunyai perwatakan akhlak kehidupannya yang baik mengikut syariat Islam. Taqwa dari setiap amalan dan perbuatan didunia merupakan cerminan di akhirat nanti yang juga mempamerkan sebuah kebaikan agama Islam untuk melahirkan ummah yang soleh. Oleh yang demikian, seorang mukmin perlu benar-benar ikhlas dan selalu meningkatkan amal ibadahnya kepada Allah serta berusaha melipatgandakan ketaatan kepada Allah kerana tidak ada yang paling bahagia dalam hidup ini tanpa kehidupan yang mendapat keredhaan-Nya.

Rencana ini telah disiarkan dalam segmen Agama akhbar Berita Harian edisi 2 November 2016
\"2
Scroll to Top