Akal Dalam Islam (Bhgn 2)

DALAM rancangan Agama dan Peradaban yang bersiaran di radio IKIMfm hari Rabu jam 12.15 tengahari, Timbalan Ketua Pengarah IKIM, Dr. Mohd. Zaidi Ismail bercakap tentang “Aqal Dalam Islam: Satu Tinjauan Epistemologi”. Jika dalam perbincangan lepas, beliau telah mengupas peri pentingnya aqal dalam Islam dan kedudukan aqal berdasarkan perintah Allah SWT agar manusia menggunakan aqal untuk merenung, bertadabbur dan mengambil pengajarannya. Susulan daripada itu, beliau mengupas kedudukan aqal dari sudut epistemologi. Epistemologi merupakan cabang ilmu falsafah yang membicarakan tentang teori ilmu, hakikat kebenaran, pegangan kepercayaan, rasional dan justifikasi sesuatu perkara. Dalam tradisi Islam, kebenaran terhadap sesuatu hakikat itu adalah pasti, bukan sesuatu khayalan, dongeng atau ilusi atau sesuatu yang bersifat relatif sepertimana faham anutan sesetengah golongan skeptis dan relativis. Bahkan bukan sahaja hakikat kebenaran itu pasti, kemampuan insan untuk mengetahui hakikat tersebut juga diakui oleh Islam.

Masyarakat adakalanya kurang didedahkan kepada apakah sumber saluran ilmu yang benar dalam Islam sehingga ada yang berpegang kepada ungkapan kononnya hanya apabila melihat sahaja maka ia boleh diyakini atau disebut dengan ungkapan Inggeris “seeing is believing”.  Sedangkan dalam Islam, kebenaran bukan perlu kepada “melihat” semata-mata tetapi boleh juga dengan saluran-saluran lain. Dalam kitab-kitab aqidah seperti kitab Aqaid al-Nasafi menyebut bahawa saluran ilmu dalam Islam itu adalah melalui tiga hal. Pertama, melalui pancaindera yang sihat sejahtera (al-hawas al-salimah). Kedua, melalui khabar yang benar (al-khabar al-sadiq) dan ketiga melalui aqal.

Ketiga-tiga saluran itu bukanlah berlawanan atau bertentangan antara satu sama lain tetapi sebaliknya saling lengkap dan melengkapi. Perbezaan antara tradisi ilmu Islam dan tradisi ilmu bangsa lain ialah dalam memahami dan menerima ketiga-tiga saluran tersebut. Ada tradisi yang hanya menerima dua daripada tiga, ada yang hanya menerima satu sahaja. Justeru kerana itu, sudah pasti berlaku pertentangan dan perbalahan apabila usaha untuk mensepadankan antara dapatan tradisi ilmu Islam dan dapatan tradisi bangsa lain. Yang lebih rumit lagi apabila ada umat Islam sendiri yang terpengaruh dengan tradisi ilmu bangsa asing lalu cuba memaksakannya ke dalam Islam.

Ketika Baginda SAW memerintahkan para sahabat agar solat sepertimana Baginda SAW solat. Itu juga menunjukkan bahawa pancaindera yang sejahtera boleh menjadi sumber hujah dan dalil dalam beribadat, setelah contohnya tersedia dibuat oleh Baginda SAW. Kekuatan hujah aqal para Sahabat generasi awal Islam untuk berdepan dengan sekalian cerdik pandai bangsa dari tamadun lain ternyata terbukti ampuh apabila Islam yang asalnya hanya bertapak di Jazirah Arab kemudiannya tersebar ke serata alam. Tersebarnya Islam bukan kerana peperangan atau mata pedang, tetapi kerana kekuatan hujah aqal mereka yang mampu mengalahkan hujah musuh Islam. Sebab itu dalam kitab-kitab ulama silam dicatatkan inti perdebatan itu dengan ungkapan “mereka berkata begini…”  “lalu kami menjawab begini…” hinggalah akhirnya hilang hujah di pihak lawan. Islam adalah ajaran yang dibangunkan atas hujah dan bukan ikutan membuta tuli tanpa sebab. Perbahasan-perbahasan dari segi aspek ketuhanan ini banyak dirakamkan dalam kitab-kitab aqidah atau disebut juga kitab Usuluddin atau kitab ilmu kalam. Di Nusantara ini, kita berpegang kepada manhaj Ahlul Sunnah wal Jamaah di mana apabila disebut aqidah ianya merujuk kepada manhaj yang disusun oleh Imam Abul Hasan al-Ashaari atau disebut Ashairah. Manakala ada satu lagi mazhab aqidah yang terkenal iaitu Maturidi selain Hanabilah.  Manakala dari segi fikah pula, ia merujuk kepada mazhab Shafie, Maliki, Hanafi dan Hanbali. Di sini, kita dapati Hanbali mempunyai kedua-duanya iaitu dari segi fikah dan juga dari segi manhaj aqidah. Namun, disebabkan mazhab Hanbali ini kuat menggunakan dalil naqli, perkembangannya tidak sehebat mazhab Asha’ari atau Maturidi hingga tidak ramai yang mengetahuinya wujudnya manhaj aqidah Hanabilah ini.

Rencana ini telah disiarkan dalam segmen Agama akhbar Berita Harian edisi 20 Februari 2018
\"\"
WhatsApp
Scroll to Top