Wahai Pemuda, Beradablah (Bhgn 2)

ISLAM menjadi indah dan cantik bukan hanya kerana kekuatan ilmu tetapi juga adab yang baik oleh golongan pemuda dan pemudinya. Adab yang dimaksudkan datangnya daripada Rasulullah SAW, lalu sekiranya akhlak dan adab tidak dibentuk pada usia muda, maka ditakuti akan buruk akhlak dan tingkah lakunya pada masa akan datang kelak. Adalah penting jika ilmu itu mampu melahirkan adab yang baik, kerana tanpanya akan rosaklah peribadi individu tersebut, malah ramai di kalangan manusia kini berilmu namun hilang adab termasuk di dalam perihal adab makan dan minum, memberi salam, meminta izin dan lain-lain.

Di dalam pergaulan manusia adalah penting dididik adab meminta izin. Contohnya adab bagi seorang anak yang meminta izin daripada kedua ibu-bapanya sebelum masuk ke dalam bilik kerana ada waktu tertentu mereka dilarang untuk melakukan demikian. Sebagaimana panduan yang boleh diperolehi melalui Surah an-Nur, ayat 58-59: “Wahai orang-orang yang beriman, hendaklah hamba-hamba kamu dan orang-orang yang belum baligh dari kalangan kamu, meminta izin kepada kamu (sebelum masuk ke tempat kamu), dalam tiga masa; (iaitu) sebelum sembahyang subuh, dan ketika kamu membuka pakaian kerana kepanasan tengah hari, dan sesudah sembahyang Isyak; itulah tiga masa bagi kamu (yang biasanya terdedah aurat kamu padanya). Kamu dan mereka tidaklah bersalah kemudian daripada tiga masa yang tersebut, (kerana mereka) orang-orang yang selalu keluar masuk kepada kamu, dan kamu masing-masing sentiasa berhubung rapat antara satu dengan yang lain. Demikianlah Allah menerangkan kepada kamu ayat-ayatNya (yang menjelaskan hukum-hukumNya); dan (ingatlah) Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Bijaksana. Dan apabila kanak-kanak dari kalangan kamu telah baligh, maka hendaklah mereka meminta izin sama seperti cara orang-orang (yang telah cukup umur) yang tersebut dahulu, meminta izin. Demikianlah Allah menerangkan kepada kamu ayat-ayatNya (yang menjelaskan hukum-hukumNya) dan (ingatlah) Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Bijaksana.”

Adab sewaktu duduk dalam majlis juga melibatkan grup Whatsapp dan perlu mempunyai akhlak di antara setiap ahlinya. Sewajarnya untuk menjemput seseorang untuk menjadi ahli di dalam kumpulan tersebut memerlukan keizinan di kalangan setiap ahli yang sedia ada, termasuklah memohon izin untuk meninggalkan kumpulan tersebut. Ketika menghadiri sesuatu majlis pula, seharusnya memberi salam dan memperkenalkan diri kepada ahli di dalam majlis itu.  Rasulullah SAW memberi panduan, ketika dua orang muslim berjumpa, masing-masing hulurkan salam dan mengucap alhamdulillah kerana dapat bertemu lalu memohon keampunan, akan digugurkan Allah dosa mereka. Apabila menghadiri sesuatu majlis, apabila ditunjukkan oleh tuan rumah untuk duduk di sesuatu tempat, maka duduklah di situ kerana mereka lebih mengetahui tempat yang sesuai untuk para tetamunya. Duduklah berhampiran dengan ahli majlis tersebut dan elakkan duduk berjauhan di antara satu sama lain. Selain itu mintalah izin untuk duduk dan berbual sekiranya terdapat kumpulan atau dua orang yang sedang berbincang di dalam majlis tersebut. Mereka yang sampai lewat perlu duduk di belakang majlis dan elakkan berbisik-bisik di antara satu sama lain. Sekiranya ingin keluar daripada majlis, juga harus meminta keizinan terlebih dahulu dan berdoalah dengan doa kaffarah sebelum bersurai.

Adab yang wajar dibentuk di kalangan golongan muda sebagaimana yang dianjurkan oleh Ustaz Ahmad Dusuki Abdul Rani menerusi slot Mau’izati yang ke udara di IKIMfm pada hari Khamis jam 5 petang ialah adab bercakap menggunakan bahasa yang baik. Adalah digalakkan untuk bertutur menggunakan bahasa Arab yang fasih, atau sekurang-kurangnya bahasa tempatan yang dikuasai dengan baik agar setiap percakapan dapat dilakukan dengan lancar dan tersusun serta mudah difahami oleh orang lain. Latih diri untuk menyusun kata-kata tanpa paksaan kerana Rasulullah SAW tidak menyukai orang yang berpura-pura fasih bercakap seolah-olah perlakuan seekor lembu yang mengunyah-ngunyah lidahnya. Elakkan menggunakan bahasa-bahasa yang tidak difahami sebagaimana pesanan Rasulullah, “Kami golongan nabi ini telah diperintahkan oleh Allah untuk bercakap di atas kadar pemikiran manusia.” Sekiranya tidak dapat difahami apa yang ingin disampaikan, berhentilah kerana dikhuatiri akan menimbulkan salah faham terhadap maksud sebenar sesuatu perkara tersebut. Pastikan ucapan itu tidak terlalu ringkas sehingga tidak tercapai maksudnya atau terlalu panjang sehingga membosankan mereka yang mendengar pada ketika itu.

Ketika bergurau sekalipun terdapat adab-adab yang perlu dijaga kerana disebalik gurauan itu ada kebaikan dan keburukannya. Gurauan akan mengeratkan perhubungan tetapi pada masa yang sama ia juga akan melukakan hati seseorang jika tidak kena caranya. Oleh itu berguraulah tanpa melewati batasan atau elakkan berlebih-lebihan. Di dalam kitab Al-adab Al-mufrad yang dikarang oleh Imam al-Bukhari, diriwayatkan daripada al-Baihaqi daripada Anas RA bahawa Rasulullah SAW bersabda: “Bukan di kalangan kita golongan yang suka mempermain-mainkan kita ataupun yang melalaikan, dan keduanya tidaklah sebahagian daripada aku.” Perlakuan yang dilarang juga termasuklah gurauan dengan cara menyembunyi atau mengambil barang-barang yang dimiliki oleh orang lain kerana ia akan mendatangkan kesusahan kepada pemiliknya dan tindakan ini tidak sekali-kali disukai oleh Baginda.

Rencana ini telah disiarkan dalam segmen Agama akhbar Berita Harian edisi 22 Februari 2018
Scroll to Top