PERANAN akademik ialah menggali ilmu dan mencerahkan ilmu bagi tujuan bermanfaat. Daripada ilmu itu juga dibina sesuatu yang baharu dan baik; menyatakan yang benar dan membetulkan yang salah.
Tujuan ilmu yang luhur ialah mendekatkan diri manusia kepada al-Khaleq. Al-Ghazali dalam kitabnya, Ihya’ Ulumiddin menulis, “pendidiklah yang bekerja menyempurnakan, membersihkan, mensucikan dan membawakan hati itu mendekati Allah ‘Azza wa jalla”.
Walaupun merujuk kepada peranan pendidik, sudah tentu ia merangkum semua mereka yang mempunyai ketinggian ilmu. Dalam istilah semasa ia merangkum ahli akademik, para pensyarah atau para ilmuwan yang berada dan sedang menyumbang ilmu di peringkat tinggi, kata orang lama, menara gading.
Dalam menyampaikan ilmu, tidak kira kepada siapa ilmu itu ditujukan, asal ia memberi manfaat, maka seseorang itu dikatakan telah memberikan manfaat ilmu. Sumbangan ilmu bukan semata-mata terikat kepada tulisan yang diterbitkan dalam jurnal-jurnal terbitan antarabangsa atau mana-mana penerbitan ekslusif sahaja.
Akademik yang menulis bahan ilmiah dengan pendekatan popular (diistilahkan sebagai ilmiah popular) dan berkongsi ilmu dengan khalayak awam serta pembuat polisi menghadapi cabaran besar dalam menyampaikan manfaat ilmu. Adakalanya cabaran yang dihadapinya itu lebih besar daripada menyampaikan syarahan di dewan kuliah atau membuat kajian dalam dunia atau disiplinnya atau menerbitkan karya dalam jurnal-jurnal.
Akademik yang berada di ruang ilmiah popular lebih bersifat aktivis (saya pendekkan sebagai akademik aktivis). Akademik aktivis ini dimaksudkan sebagai akademik yang aktif dalam masyarakat. Akademik aktivis ini bukan sahaja memerlukan kebolehan ilmiah yang tinggi, tetapi juga perlu memantapkan kreativiti dalam menyampaikan ilmu yang tinggi kepada khalayak yang terdiri daripada pelbagai lapisan, dimensi dan persepsi.
Penyampaian tersebut hendaklah disesuaikan atau diseimbangkan antara ilmu dan kefahaman khalayak. Dalam menyampaikan ilmunya kepada pembuat dasar pula, akademik aktivis juga harus tajam penglihatan dan pengamatan tentang sesuatu perkara serta dapat meneliti dari kaca mata pembuat polisi tersebut.
Pendek kata, akademik aktivis hendaklah berkebolehan untuk mengimbangi kebolehan sebagai penggali ilmu, pemikir, dan pada masa sama menzahirkan idea, teori dan pemikiran dalam bentuk realiti dan amalan.
Berat untuk saya sebut, tetapi saya perlu akui. Tidak semua akademik mampu menghadapi khalayak atau para pembuat polisi dengan hujah-hujah realistik tentang dapatan kajian (walaupun jumlah matawang untuk geran-geran penyelidikan sangat besar). Kebanyakan hasil kajian diterbitkan dalam jurnal-jurnal akademik, tempatan atau antarabangsa, dengan istilah disiplin masing-masing. Maka, hanya mereka yang berkepakaran sahaja yang memahaminya.
Hakikatnya tidak mudah untuk khalayak dan pembuat polisi merujuk kepada penerbitan dalam jurnal-jurnal, yang penuh dengan jargon atau istilah yang susah dan khusus untuk sesuatu disiplin. Realitinya juga, bukan mudah untuk orang awam atau pembuat polisi untuk mengakses bahan dalam pengkalan maklumat, walaupun semuanya dibuat atas talian. Mungkin faktor yuran langganan yang mahal dan mungkin kurang kepakaran dalam mencari bahan.
Menulis rencana ilmiah popular di akhbar atau majalah, bercakap secara langsung di corong-corong radio dan menjawab secara langsung persoalan daripada khalayak, atau mengadap kamera secara langsung atau rakaman bagi rancangan ilmiah telivisyen atau siaran media atas talian juga merupakan cabaran yang tidak mudah dihadapi oleh akademik. Tidak semua ahli akademik mampu melakukannya; bukan kerana rendah ilmunya, sebahagian besarnya kerana sukar menjana kreativiti penyampaian.
Oleh itu, sumbangan akademik aktivis hendaklah diberikan perhatian sewajarnya; mereka tidak perlu diukur dengan ketat tentang jumlah geran penyelidikan atau citation index. Saya tidak menolak kepentingan geran penyelidikan atau penerbitan dalam jurnal-jurnal akademik terpilih atau kepentingan citation bagi tujuan peningkatan dan kematangan ilmu, tetapi pengiktirafan kepada sumbangan akademik aktivis dalam menyampaikan manfaat ilmu tidak boleh dipandang sebelah mata oleh pentadbir universiti. Sehingga kini terdapat beberapa universiti yang sudah membuat pengiktirafan kepada akademik aktivis ini; tetapi belum semua.
Sajak Saidina Ali RA bermaksud, “Tidaklah kebanggaan selain bagi ahli ilmu, mereka memberi petunjuk kepada orang yang meminta ditunjuk…Nilai manusia adalah dengan kebaikan yang dikerjakannya… Menanglah engkau dengan ilmu, hiduplah lama!. Orang lain mati, ahli ilmu tetap hidup”.
Rencana yang disiarkan ini merupakan pandangan peribadi penulis sendiri