Aidilfitri Peluang Tingkatkan Taqwa dan Silaturrahim

SETELAH sebulan berpuasa, maka tibanya satu syawal untuk kita menyambut Hari Raya. Kedatangan satu syawal hendaklah diraikan oleh seluruh umat Islam. Ia adalah hari menyambut kemenangan kerana telah berjaya melaksanakan ibadah puasa dan amalan-amalan lain dalam bulan Ramadan al-mubarak Banyak hikmah dan kelebihan yang diperoleh daripada amalan pada bulan Syawal ini. Antaranya ia bukan saja mampu merapatkan hubungan silaturrahim malah menaut kembali ikatan persaudaraan yang telah lama putus. Ada yang menyebut “yang jauh didekatkan, yang rapat dimesrakan, yang bersengketa didamaikan” dan akhirnya terbentuklah satu ikatan kasih sayang yang mengeratkan sesama insan.

Secara lazimnya, pada bulan Syawal yang mulia ini, umat Islam masih lagi dalam tempoh merayakan Hari Raya Aidilfitri. Walaupun ia bukanlah anjuran dalam Islam untuk meraikan sepanjang sebulan, namun disebabkan pada 1 Syawal masyarakat kita ramai yang pulang ke kampung halaman dan ziarah menziarahi rakan sekerja tidak dapat dilakukan pada 1 Syawal, maka menjadi semacam adab masyarakat kita menyambutnya sepanjang Syawal dengan majlis yang dikenali sebagai Ruma Terbuka.

Sambutan rumah terbuka sama ada ia diadakan secara besar-besaran mahupun sederhana ianya amat baik sekali mengeratkan lagi hubungan silaturrahim dan saling memberi hadiah antara satu sama lain sesuai dengan Sabda Baginda SAW “saling memberi hadiahlah, nescaya kamu akan saling kasih mengasihi”. (HR Bukhari).

Sepanjang sambutan Hari Raya ini juga sepatutnya kita melupakan sebarang bentuk persengketaan dan saling bermaafan. Sepanjang tahun kita asyik bertelagah kerana perbezaan pandangan atau ideologi politik kepartaian, maka sewajarnyalah di bulan Syawal ini kita saling bermaafan ini sesuai denga firman Allah SWT yang bermaksud: “Sebenarnya orang beriman itu bersaudara maka damaikanlah di antara dua saudara kamu itu; dan bertaqwalah kepada Allah agar kamu beroleh rahmat.” (Surah Al-Hujurat, ayat 10). Islam sangat menggalakkan umatnya menghubungkan silaturahim dalam kalangan keluarga dan umat Islam keseluruhannya. Perpaduan umat juga boleh ditingkatkan bermula hari raya tanpa memikirkan perbezaan parti politik, kedudukan dan pangkat. Nabi Muhammad SAW bersabda yang bermaksud: Tidak masuk ke syurga pemutus silaturahim. (HR al-Bukhari dan Muslim)

Dengan menyemarakkan budaya ziarah-menziarahi pada bulan Syawal  akan terbentuklah satu ikatan kasih sayang yang mengeratkan sesama insan. Ini disebabkan asal kejadian manusia daripada keturunan yang sama iaitu Nabi Adam AS dan dengan sebab itulah, Islam mengajak manusia saling kenal-mengenal antara satu sama lain, hormat-menghormati, saling bekerjasama dan faham-memahami sesama insan. Bagaimanapun, dalam keghairan dan kegembiraan kita meraikan Hari Lebaran dengan mengadakan rumah terbuka dan kunjung-mengunjung bagi mengeratkan ukhuwah antara satu sama lain, perlu diingatkan agar menjaga tingkahlaku dan adab.

Antara perkara-perkara yang yang perlu diberi perhatian oleh umat Islam sebagai seorang tetamu ialah mestilah berniat baik atas kunjungannya, tidak memilih-milih tempat untuk berkunjung seperti rumah orang berharta, berpangkat dan berkedudukan tinggi dalam masyarakat. Waktu berkunjung pula hendaklah memilih masa yang sesuai. Janganlah berkunjung pada waktu awal pagi, tengah hari dan larut malam kerana kebiasaan pada waktu tersebut pihak tuan rumah sedang beristirahat.Sebagai tetamu juga, adalah tidak sepatutnya bebas melakukan apa sahaja di rumah orang kerana perbuatan sedemikian akan mengganggu dan tidak disenangi tuan rumah. Jagalah mata, elakkanlah  meninggikan suara sepanjang menjadi tetamu dan segera pulang apabila diminta.

Melalui tarbiah dalam bulan Ramadhan, umat Islam mempunyai kelebihan untuk meneruskan amal ibadat sebagi bukti keberhasilan amalan sepanjang Ramadhan kerana momentum dan semangat Ramadhan masih. Anugerah takwa yang diraih menerusi tarbiah Ramadan sewajarnya menjadi pembimbing kepada umat Islam dalam mengekalkan momentum Ramadan bagi menempuhi kehidupan  sepanjang hayat. Sama-samalah kita sebagai  umat islam mewarnai bulan Syawal ini dengan menambah lagi pahala dan merapatkan hubungan silaturrahim sesama kita serta Manfaatkanlah ruang dan peluang yang masih ada dalam kehidupan ini untuk selalu menjadi orang yang bertaqwa dengan cara menanamkan rasa takut kepada perintah Allah, berterusan melakukan apa yang diperintahkan, bersegera menjauhi dan juga meninggalkan perkara yang dilarang serta mendekatkan diri kita kepada Allah.

Rencana ini telah disiarkan dalam segmen Agama akhbar Berita Harian edisi 29\"\" Jun 2017
WhatsApp
Scroll to Top