Sinari Aidilfitri dengan Kemaafan

AIDILFITRI hadir dengan falsafah kemaafan sesama umat manusia. Perdamaian hati tanpa ada rasa dendam kesumat, amarah dan sakit hati terlerai pada saat syawal tiba. Kemaafan dihulur sesama ahli keluarga seperti suami isteri, ibu ayah, adik beradik, sanak saudara, atau sesiapa jua adalah tuntutan agama yang wajib dilaksanakan.

Indahnya Islam dapat dilihat melalui didikan selama sebulan pada bulan Ramadan yang merupakan bulan tarbiah untuk menghisab kekhilafan diri lalu terbit pada bulan syawal sebagai seorang insan yang bebas dari noda dan dosa. Bahkan bulan syawal adalah lambang kemenangan mengekang hawa nafsu yang selama ini membelenggu diri setiap insan.

Justeru semangat dan roh saling memohon kemaafan pada bulan syawal melalui sambutan hari raya Aidilfitri adalah untuk melengkapkan jadual ibadah agar terus istiqamah dalam melaksanakan ibadat kepada Allah SWT. Ia juga sebahagian dari ketaatan terhadap ajaran agama yang menganjurkan umatnya untuk sentiasa memelihara silaturahim sesama manusia.

Kesempatan di Aidilfitri wajar diambil dan digunakan untuk melupakan sebarang sengketa dengan memohon kemaafan. Malahan bulan syawal yang mulia ini selain meraikan hari kemenangan dengan amalan-amalan sunah, turut terisi dengan nilai-nilai murni yang akan memaknakan lagi sambutan aidilfitri di bulan yang penuh kemuliaan ini.

Amalan saling bermaaf-maafan adalah ruang dan kesempatan yang amat indah digunakan kerana budaya bermaafan ini akan memandu manusia untuk mengukuhkan hubungan sesama insan, dan secara tidak langsung membina semangat persaudaraan sesama agama. Malahan orang-orang yang selalu memohon maaf dan memberi maaf akan mendapat ganjaran pahala dunia dan ganjaran syurga di akhirat kelak.

Hal ini bertepatan dengan pesanan Baginda Rasulullah SAW kepada Uqbah bin Amir dengan sabdanya “Wahai Uqbah! Mahukah aku nyatakan padamu sebaik-baik akhlak penduduk dunia dan akhirat? Iaitu kamu memaafkan orang yang telah menganiaya dirimu. Kamu memberi atau menolong orang yang telah memutuskan pemberiannya kepada kamu dan kamu menghubungkan silaturahim dengan orang yang telah memutuskan perhubungan denganmu. (HR al-Hakim)

Indahnya hidup ini kerana adanya nilai kemaafan. Sama ada orang yang meminta maaf atau orang yang memberi maaf, menjadikan setiap kesilapan dan kesalahan dapat dilupakan. Persengketaan dapat diluputkan dan dendam kesumat dapat dileraikan. Kecil atau besar kesalahan bukanlah ukurannya, tetapi sejauhmana setiap orang itu mampu menitipkan ucapan maaf dan menghulurkan salam perdamaian itu yang meletakkan harga diri yang tinggi bagi seseorang manusia.

Amat wajar apabila berada pada bulan yang mulia di Aidilfitri, digunakan untuk melupakan kekhilafan yang pernah dilakukan. Bahkan Allah SWT sangat mengasihi orang-orang yang mempunyai akhlak yang terpuji sebagaimana firman Allah yang bermaksud Dan bersegeralah kamu kepada (mengerjakan amal-amal yang baik untuk mendapat) keampunan dari Tuhan kamu, dan (mendapat) Syurga yang bidangnya seluas segala langit dan bumi, yang disediakan bagi orang-orang yang bertaqwa; Iaitu orang-orang yang mendermakan hartanya pada masa senang dan susah, dan orang-orang yang menahan kemarahannya, dan orang-orang yang memaafkan kesalahan orang. Dan (ingatlah), Allah mengasihi orang-orang yang berbuat perkara-perkara yang baik” (Ali Imran : 133-134)

Sungguhpun amalan bermaaf-maafan bukan hanya disyariatkan di bulan Syawal semata, namun pada bulan yang penuh kebaikan ini eloklah digunakan untuk membuang mana yang keruh dan mengambil mana yang jernih, apatah lagi amalan bermaafan yang dilakukan di bulan syawal ini tidak kelihatan ganjil kerana budaya bermaafan ini sejak dahulu telah berlaku dalam budaya masyarakat kita.

Justeru, gunalah bulan yang mulia ini melalui amalan bersalaman dan bermaafan sesama kita sebagaimana pesan Nabi Muhammad SAW dengan sabdanya yang bermaksud “Sesungguhnya seorang mukmin apabila berjumpa seorang mukmin, lalu dia memberi salam kepadanya serta berjabat tangan dengannya maka gugurlah dosa-dosa mereka berdua seperti gugurnya dedaun yang kering. (HR Tabrani).

Rencana ini telah disiarkan dalam segmen Agama akhbar Berita Harian edisi 28 Jun 2017
\"\"
Scroll to Top