Aidilfitri : Didik Diri Memaaf dan Melupakan

INDAH Aidilfitri bukan sekadar pada pelita yang terpasang  atau juadah yang terhidang namun ia  juga terletak pada hati yang syukur menyahut kemenangan berada sebulan dalam kursus Ramadan. Ramadan yang lalu menatijahkan pembersihan hati dan ketenangan jiwa buat umat yang benar-benar menghayati erti kejayaan sebenar. Justeru, kehadiran Syawal memberi nikmat kelapangan dada dan kebersihan jiwa.

Jiwa yang bersih sudah pasti memudahkan diri untuk memaafkan dan jauh lebih hebat akan melahirkan rasa diri kerdil dan berdosa. Dosa bukan sahaja pada Pencipta tetapi juga dosa kepada sesama manusia. Justeru, akan lahir ungkapan maaf, memaafkan malah melupakan segala silap salah sesiapa pun yang pernah hadir dalam kehidupan.

Elemen memaafkan itu mudah terutama di hari lebaran kerana sudah menjadi kebiasaan untuk saling maaf memaafkan. Hanya yang menjadi persoalan adalah keikhlasan. Dikhuatiri, maaf memaafkan sekadar di bibir dan tidak sampai ke hati kerana terasa janggal untuk tidak memaafkan  kala budaya sedang berserakan dan semua orang melakukan. Oleh itu, belajarlah dari Ramadan yang lalu, saat kemahuan utama di harapkan iaitu pengampunan dari tuhan. Sanggup bersengkang mata, menahan nafsu hanya kerana mendambakan pengampunan dan kemaafan daripada Allah Yang Maha Pengampun. Maka, untuk memaafkan seseorang adalah jauh lebih mudah terutama jika benar-benar faham dengan memaafkan akan mengundang bahagia bagi pihak yang meminta maaf dan menyalur nikmat tenag bagi yang memaafkan.

Jadilah individu yang pemaaf. Didik, tekan dan sesahlah jiwa agar mampu memaafkan kerana berlapang dada terhadap kesalahan orang merupakan amal soleh yang keutamaannya besar dan sangat dianjurkan dalam Islam sepertimana firman Allah mafhumnya : “Jadilah engkau pemaaf dan suruhlah orang mengerjakan perbuatan baik, serta berpisahlah dari orang-orang yang bodoh”. (Surah al-A’raf, ayat 199).

Dalam ayat lain, SWT berfirman: “Maka disebabkan rahmat dari Allah-lah, kamu berlaku lemah-lembut terhadap mereka. Sekiranya kamu bersikap keras lagi berhati kasar, tentulah mereka menjauhkan diri dari sekelilingmu. Karana itu, maafkanlah mereka, mohonkanlah ampun bagi mereka, dan bermusyawarahlah dengan mereka dalam urusan itu.” (Surah Ali Imran, ayat 159).

Belajar untuk ikhlas dalam memberi kemaafan kerana itu tanda seseorang itu berjaya memperoleh takwa dalam puasanya yang lalu. Allah berfirman yang membawa maksud: “(Orang-orang yang bertakwa adalah) mereka yang menafkahkan (hartanya) baik di waktu lapang maupun sempit dan orang-orang yang menahan amarahnya serta (mudah) memaafkan (kesalahan) orang lain. Allah menyukai orang-orang yang berbuat kebajikan.” (Surah Ali-Imran, ayat 134).

Begitu juga, orang yang memohon maaf di atas kesalahan yang telah dilakukan. Mereka ini juga dijanjikan syurga oleh Allah di Akhirat kelak seperti yang telah termaktub di dalam al-quran Allah berfirman : “Dan juga orang-orang yang melakukan perbuatan keji, atau menganiaya diri sendiri, mereka segera ingat kepada Allah lalu memohon ampun akan dosa mereka. Dan sememangnya tidak ada yang mengampunkan dosa-dosa melainkan Allah. Mereka juga tidak meneruskan perbuatan keji yang mereka telah lakukan itu, sedang mereka mengetahui (akan salahnya dan akibatnya). Orang-orang yang demikian sifatnya, balasannya ialah keampunan dari Tuhan mereka, dan syurga-syurga yang mengalir di bawahnya beberapa sungai, mereka kekal di dalamnya; dan yang demikian itulah sebaik-baik balasan (bagi) orang-orang yang beramal.” (Surah Ali-Imran, ayat 135-136).

Jelas bahawa perbuatan memohon maaf dan memberi maaf adalah perbuatan mulia yang dianjurkan oleh agama Islam. Ianya wajib dan berpahala pula bila dilafazkan dan diamalkan. Maka, mengapa tuntutan semulia ini kita amalkan secara sambil lewa sahaja?

Sebenarnya, memohon maaf dan memberi maaf bukanlah sukar untuk dilaksanakan dalam bulan Syawal ini setelah sebulan melengkapkan ibadat puasa. Sesungguhnya ibadah puasa telah mendidik diri untuk melawan hawa nafsu dan mengembalikan diri kepada fitrahnya yang suci bersih. Jiwa yang suci bersih adalah jiwa yang bebas dari sifat bangga diri, sebaliknya kaya dengan sifat pemurah dan berlapang hati. Ini memudahkan individu itu untuk mengakui kesilapan diri seterusnya memohon kemaafan. Maka, manfaatkanlah Aidilfitri ini ke arah itu dan sucikanlah dosa sesama insan dengan penuh keikhlasan.

Akhir sekali, belajar dan latih diri untuk melupakan setiap kesalahan sesudah memaafkannya. Sememangnya sukar, namun sebagaimana diri mengimpikan kemaafan sekaligus dilupakan kesilapan yang pernah dilakukan, itu juga harapan pihak yang memohon kemaafan. Tiada ruginya memaaf sekaligus melupakan kerana ia akan membuka tali temali yang membekukan hati dan percayalah ia akan memberikan ketenangan hati dan fikiran yang berpanjangan. Semoga didikan Ramadan yang lalu tidak dipersia dan Syawal ini menjadi kayu ukur nilaian diri atas keberkesanan dan kejayaan Ramadan sehingga bertemu Ramadan yang akan datang untuk menambah baik lagi mutu takwa dan iman.

Rencana ini telah disiarkan dalam segmen Agama akhbar Berita Harian edisi 8 Julai 2016
WhatsApp
Scroll to Top