ISLAM amat menekankan pendidikan adab di kalangan umat manusia kerana dengan adab, seseorang mukmin akan menjadi manusia yang tinggi akhlak dan keperibadian diri. Islam menetapkan pelbagai adab seperti adab berguru, adab menjaga orang sakit, adab menziarah jenazah dan adab-adab dalam pergaulan seharian. Dengan setiap perbuatan yang berlandaskan adab dan akhlak yang baik maka seseorang itu dapat meraih kecintaan Allah SWT.
Menerusi rancangan Islam itu Indah, Ustaz Firdaus Subhi berkata dalam kitab nukilan Khatib al- Baghdadi banyak menekankan tentang peri pentingnya adab dalam kehidupan. Bahkan pengetahuan atau pemahaman tentang adab itu sendiri perlu diterjemahkan dalam setiap perbuatan yang mana apabila berbicara tentang adab seseorang mukmin perlu mengetahui tentang bagaimana adab mereka dengan Allah SWT, adab dengan Rasulullah SAW dan adab berhubung dengan makhluk di muka bumi ini.
Adab seseorang mukmin dengan Allah SWT misalnya, perlu difahami secara jelas bagaimana seseorang itu perlu bermuamalah dan melaksanakannya agar mendapat keredhaan Allah SWT. Para alim ulama menekankan bahawa adat bermuamalah dengan Allah SWT adalah dengan cara menyembahNya dengan penuh ketaatan dan bukan dengan cara melakukan kemungkaran. Tiada yang lebih besar dan berkuasa melainkan Allah SWT dan tidak ada sesuatu yang lain yang disembah melainkan Allah Taala. Ini adalah antara cara atau adab yang wajib dilakukan seseorang mukmin dalam menterjemahkan adab dengan Allah SWT.
Dalam hadis Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud “Apabila seseorang itu melakukan amalan-amalan yang disukai Allah SWT dalam perkara wajib atau fardhu dan diikuti amalan-amalan sunat yang dilaksanakan pastinya akan mendapat kecintaan dan kasih sayang Allah. Justeru apabila ketaatan kepadaNya telah bersemadi di dalam diri seseorang mukmin tentunya setiap doa yang dipohon akan dimakbulkanNya. Allah juga akan melindugi hambaNya yang taat akan suruhanNya dan meninggal segala laranganNya.
Menurut catatan tokoh ulama terbilang iaitu Sufyan ath-Thawri r.a, katanya para alim ulama terdahulu amat menitikberatkan soal adab kerana adab ini ialah pelita yang menerangi hidup pencari ilmu. Adab juga penyuluh jalan kehidupan manusia kerana tanpa adab, maka hilanglah keberkatan dalam mencari ilmu. Justeru katanya “bagi seseorang yang mahu menulis sesuatu hadis Rasulullah SAW, hendaklah dia menjaga adab dan perbanyakkan beribadah kepada Allah SWT sebelum menulis sesuatu hadis”. Dengan kata lain, para ilmuan dan alim ulama terdahulu mengambil masa dan mempelajari tentang adab sekurang-kurangnya 20 tahun sebelum mempelajari tentang ilmu.
Begitulah sifat dan adab para alim ulama yang perlu dituruti oleh mukmin pada hari ini. Kefahaman tentang adab yang diterjemahkan melalui akhlak dan tingkah laku inilah yang melahirkan keperibadian yang tinggi kerana sesuatu ilmu yang dipelajari berserta dengan adab yang baik mendapat kelebihan barakah dan kecintaan Allah SWT.
Kebaikan adab menunjukkan ketinggian budi dan akhlak seseorang mukmin. Apabila seseorang itu beradab baik, sudah pasti akhlaknya juga turut baik. Justeru, adab bercakap, berbudi dan bermuamalah sesama manusia sangat penting dalam kehidupan. Bersifat timbang rasa ketika berhubung sesama manusia merupakan adab yang dituntut dalam agama. Begitu juga dalam berbicara merupakan suatu budaya manusia yang melambangkan hati, sikap dan fikiran. Oleh itu, peliharalah tingkah laku, lidah dan ikutilah adab yang baik semasa bercakap atau berhubung dengan mukmin yang lain sungguhpun barangkali mereka itu bukan orang yang dikenali.
Kalam dari ulama Hassan Basri, katanya “Wahai anak adam, sesungguhnya siang kamu adalah tetamu dalam kehidupan kamu, justeru berbuat baiklah dengan ‘tetamu’mu, kerana jika kamu berbuat baik dengannya, ia akan pergi dengan sentiasa memujimu, tetapi jika kamu tidak berbuat baik kepadanya, ia akan pergi dengan mengecam kamu”. Oleh itu, beradablah dengan waktu dalam hidup ini dan beradablah dengan Allah setingginya agar dengan adab yang tinggi dalam menyantuni perintahNya akhirnya menghasilkan natijah yang didambarkan iaitu menghuni syurga Allah SWT buat selama-lamanya.
Rencana ini telah disiarkan dalam segmen Agama akhbar Berita Harian edisi 17 Januari 2018