Mengukuh Pendidikan Kemasyarakatan di Hati Anak-anak

DI sepanjang kehidupan manusia tidak dapat dinafikan sama sekali kepentingan pendidikan yang bersifat kemasyarakatan agar dapat dielakkan implikasi terbentuknya masyarakat yang pincang serta tidak mempunyai kekuatan. Apa yang perlu di tanam di dalam diri anak-anak yang bakal membesar sebagai seorang remaja dan seterusnya menempuhi alam kedewasaan ialah sifat taqwa iaitu sentiasa mengikut perintah Allah SWT dan meninggalkan segala yang dilarang-Nya. Selain itu harus sentiasa menjadi peringatan kepada umat manusia bahawa hidup ini tidak dimuliakan Allah kerana harta benda yang dimiliki, kedudukan dan darjat yang tinggi atau kecantikan rupa paras manusia tetapi mulianya manusia bergantung kepada ketaqwaannya kepada Allah.

Ustaz Ahmad Dusuki Abdul Rani menerusi slot Mau’izati di IKIMfm yang bersiaran pada hari Khamis jam 5 petang, berkongsi doa yang seharusnya menjadi amalan agar dianugerahkan Allah dengan pasangan hidup yang baik, zuriat yang menyenangkan pandangan mata dan tergolong di kalangan manusia yang bertaqwa kepada Allah SWT. Pernah ditanya oleh Saidina Umar al-Khattab kepada Ubai bin Qa’ab mengenai taqwa, lalu beliau berkata, “Pernahkah kamu melalui jalan yang dipenuhi duri?” dan diakui oleh Saidina Umar. Ubai bertanya lagi, “Bagaimanakah keadaan kamu pada ketika itu?” Umar menjawab bahawa dia akan berhati-hati dan peka dengan keadaan sekelilingnya pada setiap waktu, lalu Ubai bin Qa’ab mengatakan bahawa itulah yang dimaksudkan dengan taqwa. Namun apa yang dilihat berlaku kini, ramai di kalangan manusia yang hanyut dan leka dengan duniawi tanpa menyedari masa yang dilalui untuk menjalani kehidupan semakin singkat sehingga terperangkap dengan muslihat musuh tanpa dilindungi sifat taqwa. Seharusnya ia menjadi panduan kepada manusia di dalam menjalanikehidupan sebagai seorang mukmin.

Selain itu tanamkan sifat persaudaraan dan kasih sayang di kalangan umat manusia terutamanya di antara sesama mukmin. Islam sendiri tidak menggalakkan semangat kebangsaan bagi sesuatu bangsa atau assabiyah yang menyanjung bangsa tertentu di kalangan masyarakat. Seharusnya orang mukmin saling kuat-menguatkan serta mempertahankan di antara satu sama lain walaupun berbeza kedudukan, jawatan dan sebagainya. Umat manusia pada asalnya memusuhi di antara satu dengan lain, namun hati mereka disatukan oleh Allah menerusi kalimah syahadah walau di bumi mana mereka berada. Di dalam Islam, bagi sesiapa yang mengucapkan kalimah syahadah ini maka akan dipupuk di dalam jiwa mereka dengan tali persaudaraan sehinggalah berakhirnya kehidupan di dunia ini dan kembali menghadap Allah pada Hari Akhirat kelak. Rasulullah SAW mengingatkan manusia bahawa orang Islam adalah bersaudara dan dilarang sama sekali mereka menzalimi dan mengkhianati saudara mereka yang lain.

Hilangnya kekuatan ikatan persaudaraan di kalangan umat turut diakibatkan oleh dorongan yang kuat ke arah sifat-sifat kebendaan di dunia atau materialistik. Situasi ini terbukti apabila masyarakat tidak lagi mengenali di antara satu sama lain, walaupun jiran tetangga yang tinggal berhampiran kerana terlalu asyik dengan kesibukan bekerja dan rutin harian. Begitu juga pertelagahan di antara keluarga akibat perebutan memliki harta pusaka sehingga hilangnya kasih-sayang.

Perasaan rahmat dan belas kasihan juga perlu dididik di dalam jiwa setiap anak-anak yang sedang membesar. Mengambil contoh dan iktibar terhadap golongan yang teraniaya di Palestin, Rohingya, Syria dan di tempat-tempat lain yang ditindas penduduknya, zahirkan perasaan simpati dan rahmat kepada mereka. Rasululah SAW mengingatkan bahawa orang yang merahmati orang lain akan turut dirahmati Allah SWT. Luahkan rasa belas-kasihan terhadap semua makhluk di atas muka bumi ini kerana sesungguhnya sekalian makhluk yang berada di langit akan turut mengasihi mereka yang menunjukkan sifat kasih dan sayangnya. Walau bagaimanapun perasaan rahmat ini akan tercabut di dalam diri manusia yang keras hatinya, malah setiap manusia tidak dianggap beriman sehinggalah adanya perasaan rahmat di dalam diri mereka.

Memiliki sifat mengutamakan orang lain melebihi kepentingan diri sendiri adalah sifat yang perlu ditanam di dalam diri anak-anak. Sebagaimana kisah yang berlaku untuk dijadikan panduan sehingga turunnya surah al- Hasyr, ayat 9: “Dan orang-orang (Ansar) yang mendiami negeri (Madinah) serta beriman sebelum mereka, mengasihi orang-orang yang berhijrah ke negeri mereka, dan tidak ada pula dalam hati mereka perasaan berhajatkan apa yang telah diberi kepada orang-orang yang berhijrah itu; dan mereka juga mengutamakan orang-orang yang berhijrah itu lebih daripada diri mereka sendiri, sekalipun mereka dalam keadaan kekurangan dan amat berhajat. Dan (ingatlah), sesiapa yang menjaga serta memelihara dirinya daripada dipengaruhi oleh tabiat bakhilnya, maka merekalah orang-orang yang berjaya.”

Amalkan juga di kalangan masyarakat agar mempunyai sifat mudah memaafkan di antara satu sama lain tanpa menunggu waktu-waktu tertentu  sahaja, iaitu pada Hari Raya misalnya. Walaupun mengetahui diri sering diumpati serta dicela, ingatkan kepada anak-anak bahawa mereka juga akan menempuhi situasi yang sama terutamanya apabila hidup di dalam golongan manusia yang mempunyai kerenah yang pelbagai. Oleh itu didik mereka agar memaafkan insan lain kerana dengan sifat tersebut membuatkan diri sangat dekat dengan sifat taqwa kepada Allah SWT.

Rencana ini telah disiarkan dalam segmen Agama akhbar Berita Harian edisi 18 Januari 2018
\"\"
Scroll to Top