PERMULAAN hidup disetiap hari dimulakan dengan fikiran bersangka baik yang dapat mengingati ALLAH SWT walaupun terdapat ujian kesakitan, kesusahan, masalah dan cabaran terhadap peristiwa atau kejadian yang berlaku dalam hidup.Tidak mungkin boleh bersangka baik kepada manusia, tanpa bersangka baik kepada ALLAH SWTterlebih dahulu. Sunnah Rasulullah SAW telah mendidik umat Islam dengan ucapan ‘Hamdalah’ iaitu bermaksud Alhamdulillah (Segala Puji Bagi Allah) bererti permulaan hidup yang mengingati ALLAH SWT, memuji segala kebesaran-Nya. InsyaAllah, dengan mengingati-Nya moga ALLAH SWT akan mengurniakan segala perkara yang baik-baik dalam setiap hidupan manusia. Oleh itu, Ustaz Pahrol Mohd Juoi yang bersiaran di IKIMfm menerusi rancangan ‘Islam Itu Indah’ disetiap hari Rabu jam 10.15 minit pagi yang lalu membicarakan topik ‘Ada Hak Manusia Dalam Ibadah Kepada Allah SWT’.
Dalam sebuah hadis riwayat At-Tirmizi, “Bahawa yang banyak memasukkan seseorang manusia kedalam syurga ialah takwanya kepada ALLAH SWT dan akhlaknya sesama manusia”. Iman seseorang yang soleh berkait rapat dengan takwanya yang membawa kepada akhlak yang baik. Ibadah solat yang merupakan perhubungan dengan ALLAH SWT turut mempunyai perkaitan dengan amalan zakat yang membawa kepada pertalian sesama manusia. Kecenderongan dan fokus ibadah yang dilaksanakan didunia ini tidak hanya tertumpu kepada ALLAH SWT sahaja, malah ianya perlu seimbang untuk mempunyai perhubungan sesama manusia melalui erti kata ‘Hablun Minallah, Hablun Minannas’. Sebagai contoh perlaksaan ibadah Haji merupakan sebuah perjalanan ibadah yang menuju kepada ALLAH SWT. Namun, pada masa yang sama ibadah tersebut juga menghubungkan pertalian komunikasi sesama manusia dimana ia melibatkan sebuah perhimpunan jutaan umat Islam disuatu tempat yang diberkati ALLAH SWT.
ALLAH SWT berfirman dalam surah Ali ‘Imran ayat 133 hinga 134 yang bermaksud, “Dan segeralah kamu kepada (mengerjakan amal-amal yang baik untuk mendapat) keampunan dari Tuhan kamu, dan (mendapat) Syurga yang bidangnya seluas segala langit dan bumi, yang disediakan bagi orang-orang yang bertaqwa;Iaitu orang-orang yang mendermakan hartanya pada masa senang dan susah, dan orang-orang yang menahan kemarahannya, dan orang-orang yang memaafkan kesalahan orang. Dan (ingatlah), Allah mengasihi orang-orang yang berbuat perkara-perkara yang baik”. Penerangan melalui surah tersebut memfokuskan beberapa aspek penting dimana ALLAH SWT suka kepada manusia yang mengerjakan amal kebaikan kepada-Nya serta menjaga kesempurnaan perhubungan semasa manusia dengan menderma, menahan kemarahan dan memberi kemaafan. Ertinya kehidupan manusia perlu dipenuhi dengan konsep hidup yang seimbang bersama Maha Pencipta-Nya dan sesama manusia.
Sebuah kisah daripada Sirri As Siqthi yang mengisahkan tentang tangisannya selama 30 tahun kerana ucapan Alhamdulillah. Beliau merupakan seorang peniaga yang menjual barangan di komplek di Bahgdad. Suatu ketika berlakunya kebakaran di kawasan tempat berniaganya menyeba bkan kemusnahan tetapi yang tinggal hanya kedainya sahaja yang tidak terbakar. Sirri As Siqthi terus megucapkan Alhamdulillah dan dalam masa yang sama beliau terfikir apakah beliau gembira kerana hanya kedainya sahaja yang terselamat dari kebaran itu sedangkan Rasulullah SAW pernah bersabda “Barang siapa yang bangun waktu pagi tanpa memikirkan urusan muslim yang lain ianya tidak tergolong dalam kalangan muslim”. Oleh kerana ucapan Alhamduillah yang dilafaskan oleh beliau itu merasakan seperti gembira atas kesedihan orang lain, menunjukkan juga seperti mementingkan dirinya sendiri, beliau telah menangis selama 30 tahun menyesal atas perbuatan ucapan tersebut.
Keutamaan yang diberikan kepada perkara yang lebih utama merupakan sesuatu yang lebih bernilai dalam sebuah kehidupan, apatah lagi ianya berlandaskan kepada keimanan, ketakwaan dan tidak melupakan jalinan kehidupan sesama manusia. Semangat bantu membantu dan ingat-mengingati diantara satu sama lain amat dituntut dalam agama Islam. Oleh itu, perlaksanaan kebaikan itu mempunyai pembahagian yang seimbang bersama ketakwaan kepada ALLAH SWT disamping mempunyai peribadi yang mulia dan berakhlak baik sesama insan. Keredhaan ALLAH SWT bukanlah hanya terdapat di surau, masjid atau ditempat suci, tetapi keredhaan ALLAH SWT itu hadir apabila manusia memberikan sumbangan di telapak tangan anak yatim, di tempat orang-orang yang dalam kesusahan, memerlukan bantuan. Kehidupan yang lengkap adalah kehidupan yang diredhai oleh ALLAH SWT dan kehidupan yang penuh kasih sayang antara manusia.
Rencana ini telah disiarkan dalam segmen Agama akhbar Berita Harian edisi 28 September 2016