ABIM SAMBUT BAIK GENCATAN SENJATA THAILAND-KEMBOJA, PUJI USAHA DIPLOMATIK MALAYSIA SEBAGAI PENGERUSI ASEAN

KUALA LUMPUR, 28 Julai (IKIM) – Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) menyambut baik kejayaan rundingan gencatan senjata antara Thailand dan Kemboja yang dimeterai hasil usaha diplomatik Malaysia selaku Pengerusi ASEAN, bagi menghentikan ketegangan di sempadan kedua-dua negara yang telah mengorbankan nyawa dan menjejaskan kestabilan serantau.

“Kejayaan penting ini diumumkan sendiri oleh YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim, Perdana Menteri Malaysia, yang bertindak selaku hos, pendamai dan Pengerusi ASEAN, serta turut menjadi sosok penting dalam Mesyuarat Khas Thailand–Kemboja yang berlangsung di Kompleks Seri Perdana, Putrajaya,” kata Presiden ABIM Ahmad Fahmi Mohd Samsudin dalam satu kenyataan hari ini. 

Beliau memuji tindakan proaktif Malaysia dalam mengembalikan kestabilan serantau melalui rundingan diplomatik yang tuntas, berprinsip dan inklusif dengan gencatan senjata bakal bermula tengah malam ini. 

“Kejayaan ini membuktikan bahawa ASEAN kekal relevan sebagai platform penyelesaian konflik serantau, manakala Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN berjaya menyatukan kekuatan politik serantau dengan sokongan kuasa besar seperti Amerika Syarikat dan China selaku penaja bersama rundingan,” tambah beliau. 

ABIM dalam pada itu menyeru agar semua pihak yang terlibat mematuhi sepenuhnya perjanjian gencatan senjata, menghentikan segala bentuk provokasi bersenjata serta tidak mengeksploitasi konflik demi kepentingan strategik masing-masing.

Ahmad Fahmi turut menyarankan agar ASEAN menubuhkan sebuah pasukan pemantau bebas bagi memastikan pelaksanaan gencatan senjata berjalan lancar, serta menyalurkan bantuan kemanusiaan segera kepada penduduk terjejas, termasuk mangsa perpindahan dan keluarga yang kehilangan tempat tinggal.

Menyentuh peranan masyarakat, ABIM menggesa rakyat Thailand dan Kemboja, termasuk komuniti digital, agar mengelakkan sebarang penyebaran provokasi dan naratif kebencian di media sosial yang boleh memburukkan lagi keadaan.

“Sebagai gerakan masyarakat madani, ABIM komited untuk bekerjasama dengan rangkaian masyarakat sivil di seluruh ASEAN bagi mengukuhkan budaya damai, menyantuni mangsa konflik, serta memastikan suara rakyat terus menjadi sebahagian daripada proses membina keamanan yang mampan termasuk melalui cadangan penubuhan Sidang Masyarakat Madani ASEAN untuk Keamanan Serantau sebagai ruang dialog dan rekonsiliasi, serta mencadangkan pelaksanaan Program Pendidikan Keamanan ASEAN, khususnya untuk komuniti sempadan dan golongan belia serantau,” ujar beliau. 

Thailand dan Kemboja bersetuju melaksanakan gencatan senjata serta-merta susulan ketegangan yang memuncak di sepanjang sempadan yang dipertikaikan, hasil satu mesyuarat khas yang diadakan di Putrajaya pada Isnin.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan persetujuan itu selepas mempengerusikan mesyuarat khas antara Thailand dan Kemboja di Kompleks Seri Perdana di Putrajaya.

WhatsApp
Scroll to Top