DARIPADA Umar Bin Al Khattab r.a. Bahawa Nabi Muhammad S.A.W. bersabda: “Sesungguhnya Allah mengangkat martabat beberapa golongan dan merendahkan martabat yang lain dengan sebab al-Quran”(Hadis Riwayat Muslim). Menerusi perkongsian dalam segmen Hayatus Sahabah yang bersiaran di IKIMfm pada hari Isnin jam 5.15 petang, Ustaz Mohd Hazri Hasyim al-Bindany berkongsi mengenai seorang sahabat yang hidupnya banyak diisi dengan membaca al-Quran.
Ustaz berkongsi mengenai tokoh yang terkemuka di kalangan orang-orang Ansar. Sekiranya kita menyemak sejarah umat Nabi Muhammad SAW, kita akan dapati kisah seorang yang sangat kuat beribadah malam serta seorang yang sangat sedap lantunan bacaan al-Quran. Beliaulah Saidina Abbad bin Bisyr. Manakala sekiranya kita menyelak kisah-kisah sejarah kepahlawanan umat ini, kita akan dapati Abbad bin Bisyr merupakan salah seorang terkemuka dalam kepahlawanan Islam. Sekiranya kita menyemak pula dalam aspek ketokohan kepimpinan, kita akan dapati Abbad bin Bisry juga merupakan seorang yang kuat dan beramanah menjaga urusan dan tadbir urus harta orang muslim.
Sayyidatina ‘Aisyah pernah berkata, tiga orang daripada orang-orang Ansar, tiada seorang pun yang dapat menandingi ketokohan mereka. Mereka ialah Saad bin Muaz, Usaid bin al-Hudair dan Saidina Abbad bin Bisyr. Abbad bin Bisry al-Asyhali merupakan seorang pemuda yang muda belia ketika sampainya ajaran Islam ke Madinah al-Munawwarah melalui pendakwah pertama yang diutuskan oleh Rasulullah SAW, Saidina Mus’ab bin Umair. Jiwa mudanya yang ingin mengetahui tentang agama baharu yang dibawa oleh Nabi Muhammad SAW itu membuatkan jiwanya meronta-ronta ingin mengetahui apakah yang akan dibicarakan oleh Mus’ab bin Umair.
Pada satu hari, beliau berkumpul dalam satu majlis Saidina Mus’ab dan saat itu beliau sudah bersedia untuk mendengar dan mengambil tahu apa yang akan dibicarakan. Maka, tatkala bacaan ayat-ayat al-Quran yang dibacakan oleh Mus’ab itu telah meresap dan menyentuh hati Abbad, lantas bertautlah kasih sayang keimanan antara Abbad dan Mus’ab sehinggakan mereka menjadi dua saudara yang sangat rapat kerana nikmat iman dan Islam yang dikecapi oleh Abbad bin al-Bisyr. Beliau bukan sekadar tertarik dengan al-Quran, bahkan dikatakan begitu asyik dengan al-Quran. Sehinggakan hatinya, siang mahupun malam sangat kuat berpegang erat dengan al-Quran. Para sahabat akan mendapati dan menemui beliau dalam dua keadaan, sama ada membaca al-Quran mahupun berperang di jalan Allah SWT.
Beliau dikenali di kalangan para sahabat sebagai imam kepada mereka kerana seringkali dilantik mengimami solat para sahabat. Pada satu malam, saat Rasulullah SAW sedang bertahajjud, Baginda terdengar suara Abbad bin Bisyr sedang membaca al-Quran. Maka, Rasulullah SAW mendapatkan kepastian daripada Sayyidatina ‘Aiysah r.ha adakah itu benar-benar suara Abbad. Maka ‘Aisyah pun menjawab, Benar Ya Rasulallah. Lantas Rasulullah SAW mendoakan Abbad dengan doa “Ya Allah, Ampunkanlah dosanya”. Begitu beruntungnya Abbad didoakan oleh Rasulullah SAW.
Abbad bin Bisyr menyertai peperangan demi peperangan dan hampir kesemua peperangan disertai oleh Abbad bin Bisyr. Beliau merupakan seorang yang sangat setia dan kuat majahadahnya ketika berperang. Suatu yang indah dalam hidup Abbad bin Bisyr adalah, walau di mana sahaja beliau berada, al-Quran tidak pernah lekang daripada kehidupannya. Setiap selang waktu yang beliau ada, pasti beliau akan lengkapkan dengan membaca al-Quran.
Pernah berlaku saat Rasulullah SAW pulang dari peperangan Zat al-Riqaaq, Baginda singgah pada satu lembah untuk mereka berehat. Maka, pada waktu itu Baginda bertanya kepada para sahabat, siapakah yang akan berjaga demi menjaga keselamatan. Lantas Abbad bin Bisyr dan saudaranya Ammar bin Yaasir bangun menyatakan kesanggupan mereka untuk berjaga. Ammar bin Yaasir dan Abbad bin Bisyr adalah dua orang yang dipersaudarakan oleh Rasulullah SAW selepas peristiwa hijrah Baginda. Maka, saat yang lainnya berehat dan tidur, Abbad dan Ammar berjaga demi mengawasi keselamatan semua yang berada dalam rombongan.
Maka, Abbad bertanya kepada Ammar siapakah yang akan bermalam dahulu. Ammar memilih untuk tidur dahulu. Lantas Abbad berkata “Saya akan berkawal terlebih dahulu, maka kamu berehatlah”. Malam terus berlalu dengan sunyi dan tenang. Suasana malam kelam yang begitu tenang itu, menyemarakkan lagi rasa untuk Abbad beribadah kepada Allah SWT. Beliau merupakan seorang yang sangat kuat dengan ibadah malam. Sama ada dengan solatnya, begitu juga dengan tilawah al-Qurannya.
Sedang Abbad khusyuk dengan ibadah malamnya, datang seorang daripada angkatan musuh musyrikin mendekati kumpulan Rasulullah SAW dan dilihatnya seorang sedang mengerjakan solat. Lalu, diambilnya panah dan terus memanah ke arah Abbad yang sedang solat lantas tepacaklah anak panah itu terus ke bahu Saidina Abbad bin Bisyr. Beliau yang sedang khusyuk itu lantas mencabut panah yang melekat pada tubuhnya dan terus membaca ayat-ayat suci al-Quran. Maka musuh tadi memanah lagi Abbad sehingga terkena di tubuh Abbad dan begitu jugalah beliau mecabut anak panah itu daripada tubuhnya. Kemudian beliau meneruskan bacaan surah al-Kahfi.
Saat anak panah ketiga hinggap di badan Abbad, maka darah terus mengalir dan beliau kemudian menghentikan solatnya lantas mengejut Ammar. Ketika itu, mush tadi bergegas lari meninggalkan mereka kerana bimbang akan diserang balas. Saat Ammar bangun, beliau terus bertanya kepada Abbad “Wahai saudaraku Abbad, mengapakah kamu tidak mengejutku saat pertama kali kamu dipanah?” maka Abbad menjawab “Demi Allah, pada saat itu akan sedang membaca ayat-ayat Allah SWT. Aku sanggup sampai nyawaku tercabut daripada tubuhku daripada aku memberhentikan bacaan al-Quran”. Kalau bukan kerana kebimbangan Abbad terhadap keselamatan Rasulullah SAW dan angkatan yang lain, pasti beliau tidak akan memberhentikan solat dan bacaan al-Quran.
Mengikuti kisah Abbad ini, dapat kita lihat bagaimana jiwa-jiwa mereka yang Allah SWT muliakan dengan al-Quran. Dapat kita hayati dan muhasabah akan perjalan hidup kita. Bagaimanakah kita sentiasa menjadikan al-Quran sebagai pendamping kita dan begitu akrab dengan kita. Semoga kita dapat menjadikan para sahabat sebagai contoh dalam kita mendekatkan diri kepada Allah SWT.
Rencana ini telah disiarkan dalam segmen Agama akhbar Berita Harian edisi 21 Februari 2017