Mengapa Hati Tidak Tenang (Bahagian 2)

DALAM setiap kondisi manusia hakikatnya diuji. Setiap itu memberi implikasi terhadap kehidupan dan memerlukan kekuatan bukan sekadar luaran malah dalaman. Nilaian akhir bergantung cara kerja dalaman diri mengatasi segala liku ujian yang akan dilaksana oleh jasad seseorang.
Ketika ujian melanda Allah SAW menghantar malaikat untuk melihat malumbalas hamba itu terhadap ujian yang menimpa. Oleh itu, Ustaz Pahrol Mohd Juoi menerangkan menerusi Islam Itu Indah di IKIMfm yang bersiaran pada pukul 10.15 pagi Rabu lalu bahawa ujian boleh menerpa tanpa mengira keadaan. Begitu juga ketenangan, hadir beserta ujian tanpa mengira situasi dan kondisi.
Miskin, kaya, sakit mahupun sihat punya cabaran tersendiri dalam berdepan ujian dan solusi mendapat ketenangan kerana segalanya berpunca pada hati. Justeru, penting untuk punya hati yang kuat dengan bekalan zikir kerana lupa Allah adalah musibah yang sebenar dan dalam urusan agama ia merupakan sebesar-besar musibah yang menimpa seorang hamba di dunia dan membawa kepada kesengsaraan dan kebinasaan di akhirat kelak.
Mengimbas kembali zaman salaful soleh, ketidakhadiran diri menunaikan solat subuh berjamaah di masjid di anggap musibah sehingga membawa mereka melawat rakan yang tidak hadir untuk diucapkan takziah kerana mereka percaya sahabat itu sedang di landa musibah kerana tidak menunaikan solat subuh berjamaah di masjid. Ia berbeza dengan senario hari ini. Mengikut kajian, 80 peratus rakyat Malaysia bukan sekadar tidak solah subuh berjamaah malah tidak mendirikan solat.
Oleh itu, dalam keadaan aman mahupun peperangan tetap di uji mengikut medan tersendiri. Amat malang, saat aman untuk beribadah tetapi keingkaran menjadikan hati resah. Sedang, kala keseluruhan harta dan keluarga habis dibedil, ketenangan hadir detik mengaku diri kerdil. Sungguh Allah itu Maha Adil pada mereka yang sering ingat dan membesarkan Allah, segala yang lain menjadi kecil dan mudah. Penderitaan yang terlihat dari mata zahir tidak mampu mengatasi ketenangan yang terasa oleh mata hati.
Dunia hari ini, di sesetengah Negara dirundung masalah terlebih makan yang mengundang mudarat yang bukan sedikit. Timbul gejala malas beribadah, nafsu melimpah- ruah, akhlak yang parah dan akhirnya menghadapi kematian dengan sakit asbab terlebih pada perkara yang tidak sewajarnya. Berbeza bagi sesetengah Negara Islam yang sedang bergolak. Segala kekuranggan membawa diri hampir denganNya dan pengakhiran usia dengan syahid. Antara mati syahid dalam peperangan menegakkan agama dan mati sakit tawar dalam mujahid menentang nafsu memakna maksud ujian dan ketenangan yang di raih.
Ustaz Pahrol berpesan agar menjadikan zikrullah sebagai agenda utama kehidupan kerana ia refleksi hubungan diri dengan PenciptaNya. Percayalah, jika zikrullah dilupakan bermakna mengusir ketenangan daripada hati. Allah SWT menegaskan menerusi firmanNya: “Orang-orang yang beriman dan hati mereka menjadi tenteram dengan berzikir (mengingat) Allah. Ingatlah, hanya dengan mengingat Allah hati menjadi tenteram” (Surah Ar-Ra’du, ayat 28).
Syarat utama untuk tenang adalah tahap iman dalam diri. Iman adalah makanan utama bagi hati dan zikrullah pula makanan sampingannya. Semakin tinggi keimanan seseorang, bertambah lazat zikir dan semakin berganda ketenangan hati yang di peroleh. Umpama kad ATM, hanya akan berfungsi untuk mengeluarkan wang jika ada wang di dalam akaun pemiliknya. Begitu juga ketenangan hati, hanya akan berfungsi jika ada zikir di dalamnya.
Iktibar teladan daripada salaful soleh, setiap kalimah memuji Allah memberi kesan mendalam pada hati dan kehidupan mereka. Dibanding umat hari ini, mengungkap kalimah yang sama memberi natijah yang berbeza kerana kurang penghayatan. Kalimah zikir mahupun doa hanya meniti di bibir tanpa menyangkut lintasan di hati. Sekadar membaca zikir atau doa tanpa di kepilkan rasa hina diri tika tasbih diungkap atau rasa hiba saat khusyuk berdoa.
Petunjuk hati bersih dan tenang adalah saat bisa memaafkan, diikuti melupakan dan menyayangi individu yang menyakitkan. Jika lidah sudah melafazkan kemaafan tetapi hati masih rasa sebak dan tidak lega, berkemungkinan besar kemaafan masih belum disusuli dengan melupakan. Hanya segelintir daripada yang memaaf mampu melupakan seterusnya menyayangi. Itu tanda hati masih kotor. Terlalu jauh beza dengan sifat Allah yang Maha Pemaaf, Maha Pengampun dan Maha Penyayang. Sungguh, Allah SWT lebih suka mengampun daripada menyiksa hamba-hambaNya yang melakukan dosa. Sehingga dinyatakan bahawa Allah sangat cintakan kemaafan malah mudah untuk melupakan malah amat Penyayang.

Rencana ini telah disiarkan dalam segmen Agama akhbar Berita Harian edisi 22 Februari 2017
\"\"
Scroll to Top