PELBAGAI kisah telah dibentangkan oleh Allah SWT di dalam Al-Quran. Bukan sekadar ceritanya sahaja yang mahu kita ketahui, tetapi agar kita dapat jadikan pedoman dalam kita menghadapi kehidupan seharian kita.
Ustaz Muhammad Syaari Ab Rahman berkongsi melalui segmen Ibrah yang bersiaran di IKIMfm pada Hari Isnin, 5.15 petang minggu lalu, Ustaz menceritakan bagaimana kita dapat mengambil pengajaran daripada kisah dakwah nabi Ibrahim AS.
Telahpun kita ketahui bagaimana kesantunan Nabi Ibrahim AS, kefasihan, kepetahan dan kecerdasan akal fikiran Nabi Ibrahim AS ketika menghadapi kaumnya yang menyembah selain daripada Allah SWT.
Nabi Ibrahim AS apabila melihat kaumnya tidak mahu kembali kepada menyembah Tuhan yang sebenar, Allah SWT. Mereka memekakkan telinga, membutakan hati mereka serta tidak mengendahkan ajakan Nabi Ibrahim AS. Lantas Nabi Ibrahim AS berkata yang dirakamkan oleh Allah SWT di dalam Al-Quran menerusi Surah Al-Anbiyaa’ ayat 57 yang bermaksud : \”Dan demi Allah, aku akan jalankan rancangan terhadap berhala-berhala kamu, sesudah kamu pergi meninggalkan (rumah berhala ini)\”.
Tidak pernah terdetik dihati Baginda Nabi Ibrahim AS untuk berputus asa menyeru kepada kaumnya. Bahkan kita tidak mengetahui sudah berapa lama Baginda bersabar menyampaikan tauhid kepada kaumnya di Sandi Urfa.
Apabila kaumnya mendatangkan satu hujah dan keterangan yang tidak boleh diterima akal. Namun, Baginda Nabi Ibrahim AS bertenang dan bersabar serta tidak mudah berubah ke pelan yang berikutnya iaitu strategi untuk memecahkan berhala supaya mereka mengetahui bahawa berhala-berhala ini tidak boleh diangkat sebagai tuhan sama sekali.
Menurut ayat 57 surah Al-Anbiyaa’, pada permulaannya Nabi Ibrahim AS telah bersumpah sebanyak 2 kali bagi menyatakan kesungguhannya untuk melancarkan sesuatu dan tidak main-main dengan kaumnya. Apabila kaumnya tidak mahu menggunakan akal mereka utnuk berfikir, lalu baginda mahu bertukar pelan kepada pelan yang lebih kreatif agar mereka boleh menggunakan akal mereka walaupun sedetik.
Namun di antara peralihan daripada pelan lama kepada pelan yang baharu, Baginda Nabi Ibrahim AS tetap menyampaikan ucapannya yang benar-benar menggambarkan Baginda bersungguh-sungguh dan tidak berputus asa. Kepetahan turut kata dan kebijaksanaan penyampaikan ucapan Baginda dirakamkan oleh Allah SWT menerusi surah Asy-Syu’araa’ ayat 77 – 82 yang bermaksud : \”(Aku bertanya demikian) kerana sesungguhnya berhala-berhala itu ialah musuhKu, (aku tidak menyembah) melainkan Allah Tuhan sekalian alam; \”Tuhan yang menciptakan daku (dari tiada kepada ada), maka Dia lah yang memimpin dan memberi petunjuk kepadaku; \”Dan Tuhan yang Dia lah jua memberiku makan dan memberi minum, \”Dan apabila aku sakit, maka Dia lah yang menyembuhkan penyakitku; \”Dan (Dia lah) yang mematikan daku, kemudian Ia menghidupkan daku; \”Dan (Dia lah) yang aku harap-harapkan supaya mengampunkan dosaku pada hari kiamat;
Sekiranya diamati dialog-dialog Nabi Ibrahim AS ini, Baginda menceritakan dan menghuraikan tentang Tuhan sekalian alam. Pertamanya Baginda menyebut Dia yang mencipta kita lalu memberikan petunjuk. Menurut Hamka dalam menghuraikan maksud ayat ini, bagaimana berhala daripada hasil kerja tangan mereka yang mereka sembah itu mampu menghidupkan mereka sedangkan mereka yang mencipta tuhan mereka sendiri. Serta mengapa yang berotak memohon kepada yang tidak berotak.
Kemudian Nabi Ibrahim AS menyatakan dalam ayat berikutnya ‘Tuhan yang sama memberikan aku makan dan minum’. Menurut Hamka menghuraikan ayat ini, Allah SWT menumbuhkan padi dan gandum, menurunkan hujan menyuburkan bumi. Sedangkan berhala kalian, sebutir beras pun tidak mampu untuk dicipta.
Sekiranya dilihat dialog Nabi Ibrahim AS di dalam Surah Asy-Syu’araa’ ini, Nabi Ibrahim AS tidak berhenti-henti menyatakan kepada kaumnya kekuasaan Allah SWT. Sekalipun begitu, maklumbalas kaumnya terhadap ucapan yang disampaikan oleh Nabi Ibrahim AS hanya ringkas berbanding dengan apa yang dituturkan oleh Nabi Ibrahim AS.
Ini menggambarkan Allah SWT melihat kepada usaha yang kita lakukan berbanding daripada hasil atas usaha tersebut. Orang mendengar atau tidak atas setiap usaha dakwah yang kita sampaikan itu adalah perkara kedua. Sebaliknya kita harus berusaha untuk menyampaikan sesuatu itu pada tahap yang terbaik dan penuh kreatif.
Rencana ini telah disiarkan dalam segmen Agama akhbar Berita Harian edisi 7 Jun 2016