DALAM bahasa kita mengenal istilah \”hawa nafsu\”. dari dua perkataan iaitu \”Hawa\” dan \”Nafsu\”. Namun demikian, jika dirujuk ke dalam bahasa Arab, ternyata padanan istilah ini kurang tepat. Antara hawa dan dan nafsu adalah dua kata yang sama sekali berbeza. Secara sederhana \”hawa\” bermaksud keinginan,kehendak atau hasrat. Istilah \”hawa\” ini lebih dekat dengan istilah \”syahwat\”. Sedangkan nafsu secara sederhana adalah \”jiwa\” atau \”diri\” manusia. Ustaz Muhammad Abdullah al Amin dalam rancangan Pesona D\’Zahra yang bersiaran di IKIMfm pada Isnin minggu lalu jam 10.15 pagi menyeru agar umat Islam menjadikan ibadah puasa pada bulan Ramadhan sebagai platform untuk menyucikan jiwa dan mengekang hawa nafsu.
Menerusi perbincangan bertajuk ‘Kenalii Ramadhan” Muhammad berkongsi kisah mengenai Perang Badar yang terjadi pada tanggal 7 Ramadhan, dua tahun setelah hijrah. Ini adalah peperangan pertama yang mana kaum Muslim (Muslimin) mendapat kemenangan terhadap kaum Kafir dan merupakan peperangan yang sangat terkenal karena beberapa kejadian yang ajaib terjadi dalam peperangan tersebut. Rasulullah SAW telah memberikan semangat kepada kaum Muslimin untuk memerangi kaum Quraisy yang akan kembali ke Mekkah dari Syam.
Puasa mendidik nafsu manusia kerana nafsu dikatakan amat payah untuk tunduk kepada perintah Allah sejak ia mula-mula diciptakan lagi. Dalam membentuk diri kita menjadi seorang yang beriman kepada-Nya, sewajarnya perlu melihat bulan Ramadhan sebagai bulan yang diperintahkan untuk berpuasa dan mendidik nafsu supaya mengikut perintah Allah dan meninggalkan segala larangan- Nya.
Apabila berpuasa, kita tidak mengikut keinginan nafsu seperti makan dan minum sebaliknya kita mengikut perintah Allah supaya berpuasa pada bulan Ramadhan. Maka dengan itu, nafsu telah dididik untuk berpuasa dan mengikut segala perintah Allah. Gunakanlah masa dengan sebaik mungkin pada bulan Ramadhan untuk mendidik nafsu kita dengan memperbanyakkan amalan soleh bagi meraih keberkatan dan ganjaran yang ditawarkan pada bulan yang mulia ini. Nafsulah yang menghalang diri manusia daripada bertakwa.
Oleh itu langkah pertama untuk bertaqwa ialah memerangi hawa nafsu itu. Nafsu mengajak kita lupa akan Allah SWT , lalai akan-Nya, tidak peduli akan-Nya, tidak menyembah-Nya dan melanggar perintah-Nya. Nafsu menghalang kita daripada bersyukur kepada Allah, daripada sabar dengan Allah, daripada redha dengan Allah, daripada tawakal dan berharap kepada Allah. Maka lawanlah nafsu kita agar hati tidak dikuasainya, supaya kita syukur, sabar, redha, tawakal dan sentiasa berharap kepada Allah.
Nafsu mendorong kita bersifat sombong, takabur, hasad, dengki, dendam kesumat, buruk sangka, bakhil, cinta dunia, pemarah, kasar, ujub, riyak dan sifat-sifat mazmumah yang lain. Oleh kerana sifat nafsu yang asal (ammarah) itu sentiasa mengajak, mendorong atau menyuruh ke arah kejahatan, maka nafsu itu perlu dilawan, dikalahkan dan dilumpuhkan segala kehendaknya. Ajakannya mesti kita lawan.
Kita ajak hati kita berazam untuk menjadi hamba Allah yang sedar dirinya hamba, punya sifat kehambaan dan berakhlak sebagai hamba seperti merendah diri, berkasih sayang dengan orang mukmin, pemurah, berbaik sangka, pemaaf, lemah lembut dan lain-lain. Berjanjilah dengan diri dan bersungguh-sungguhlah untuk membuang sifat mazmumah supaya diganti dengan sifat mahmudah itu. Kalau nafsu kita tidak terdidik dan sentiasa mengancam kita, bagaimana kita hendak mendidik nafsu orang lain? Masalahnya, bagaimana mereka dapat membetulkan orang lain jika mereka belum mampu membetulkan diri mereka sendiri. Jika tidak berjaya mendidik diri, mereka tidak akan berjaya mendidik orang lain.
Sesungguhnya bulan Rejab untuk menanam, Sya’ban untuk menyiram dan Ramadhan untuk menyemai”. Puasa adalah salah satu rukun Islam, maka dari itu wajiblah bagi kita untuk melaksanakan puasa dengan ikhlas tanpa paksaan dan mengharap balasan daripada orang lain. Jika kita berpuasa dengan niat agar mendapat balasan atau pujian daripada orang lain, maka ibadah puasa yang ditunaikan tidak memberi sebarang makna. Dalam erti kata lain, kita hanya mendapatkan rasa lapar dan haus dan tidak mendapat pahala dari apa yang telah kita kerjakan. Puasa ini hukumnya wajib bagi seluruh umat Islam sebagaimana telah diwajibkan kepada umat terdahulu.
Sebagaimana firman Allah swt yang bermaksud: “Wahai orang-orang yang beriman! Diwajibkan atas kamu berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang-orang sebelum kamu agar kamu bertaqwa” (Surah al-Baqarah, ayat 183 ). Maka dari itu, janganlah sesekali kita sebagai umat Nabi Muhammad SAW meninggalkan ibadah puasa, kerana ia memiliki fadhilatnya tersendiri.
Rencana ini telah disiarkan dalam segmen Agama akhbar Berita Harian edisi 6 Jun 2016