FIRMAN Allah SWT di dalam Surah Al-Naml, ayat 87-88 :”Dan (ingatkanlah) hari ditiup sangkakala, lalu terkejutlah, gerun gementar, makhluk-makhluk yang ada di langit dan yang ada di bumi, kecuali mereka yang dikehendaki Allah; dan kesemuanya akan datang kepada-Nya dengan keadaan tunduk patuh. Dan engkau melihat gunung-ganang, engkau menyangkanya tetap membeku, padahal ia bergerak cepat seperti bergeraknya awan; (demikianlah) perbuatan Allah yang telah membuat tiap-tiap sesuatu dengan serapi-rapi dan sebaik-baiknya; sesungguhnya Ia amat mendalam pengetahuan-Nya akan apa yang kamu lakukan.”
Ustaz Ahmad Dusuki Abdul Rani, menerusi slot Mau’izati di IKIMfm pada setiap Khamis, 5.15 petang, turut menjelaskan firman Allah di dalam surah Al-An’am, ayat 73: “Dan bagi-Nyalah kuasa pemerintahan pada hari ditiupkan sangkakala. Ia yang mengetahui segala yang ghaib dan yang nyata, dan Dialah yang Maha Bijaksana, lagi maha mendalam pengetahuan-Nya”. Rasulullah SAW menyebut jarak di antara satu tiupan dengan tiupan berikutnya mengambil masa selama 40, tanpa dapat dijelaskan oleh para sahabat sama ada 40 tahun, hari atau bulan. Tiupan sangkakala oleh malaikat Israfil yang kedua merupakan tiupan yang menyebabkan kematian seluruh makhluk yang berada di langit dan di bumi, kecuali mereka yang dikehendaki oleh Allah.
Ibnu Rafiq RA menyebutkan bahawa terbelahnya langit terjadi di antara dua tiupan, dan pada waktu itu bintang-bintang berhamburan dan jatuh berguguran, matahari dan bulan tidak lagi bersinar, maka suasana bertukar menjadi sebagaimana firman Allah di dalam Surah Ibrahim, ayat 48-50: “(Ingatlah) masa hari bumi ini diganti dengan yang lain, demikian juga langit; dan manusia semuanya keluar berhimpun menghadap Allah, Yang Maha Esa, lagi Maha Kuasa. Dan engkau akan melihat orang-orang yang berdosa pada ketika itu diberkas dengan belenggu. Pakaian mereka dari belangkin (minyak tar), dan muka (serta seluruh badan) mereka diliputi oleh jilatan api neraka.”
Tiupan ketiga ialah tiupan yang membangkitkan semula seluruh penghuni untuk menghadap Allah SWT. Surah Az-Zumar, ayat 68-70: “Dan sudah tentu akan ditiup sangkakala, maka pada waktu itu matilah makhluk-makhluk yang ada di langit dan di bumi, kecuali sesiapa yang dikendaki Allah (terkemudian matinya); kemudian ditiup sangkakala sekali lagi, maka dengan serta-merta mereka bangun berdiri menunggu (kesudahan masing-masing). Dan akan bersinar terang-benderanglah bumi (hari Akhirat) dengan cahaya Tuhannya; dan akan diberikan kitab suratan amal (untuk dibicarakan); dan akan dibawa nabi-nabi serta saksi-saksi; dan akan dihakimi di antara mereka dengan adil, sedang mereka tidak dikurangkan balasannya sedikitpun. Dan akan disempurnakan bagi tiap-tiap seorang – balasan apa yang telah dikerjakannya, dan Allah lebih mengetahui akan apa yang mereka telah lakukan.”
Manusia yang mengalami ketakutan yang amat sangat ini merupakan azab oleh Allah SWT. Di antara ujian yang Allah turunkan kepada umat manusia ialah perasaan takut, termasuklah ketika melihat suasana di padang Mahsyar itu sendiri. Surah Al-Haj, ayat 1-2: “Wahai umat manusia, bertaqwalah kepada Tuhan kamu! Sesungguhnya gempa kiamat itu suatu perkara yang amat besar. Pada hari kamu melihat (peristiwa-peristiwa yang mengerikan) itu, tiap-tiap ibu yang menyusukan akan melupakan anak yang disusukannya, dan tiap-tiap perempuan yang mengandung akan gugurkan anak yang dikandungnya; dan engkau melihat manusia mabuk, padahal mereka sebenarnya tidak mabuk, tetapi azab Allah amatlah berat, mengerikan. Rasulullah SAW menjelaskan mereka itu terus diazab selama mana yang dikehendaki Allah yang tidak dapat dibayangkan oleh manusia.
Apabila semua makhluk dimatikan, malaikat maut (Izrail) datang menghadap Allah SWT dan menyebut: “Wahai Allah, penghuni langit dan bumi semuanya telah mati kecuali mereka yang Kamu kehendaki sahaja.” Lalu Allah bertanya, “Siapakah yang masih hidup?” Malaikat Izrail berkata: “Wahai Tuhanku, yang hidup adalah Engkau, yang Maha Hidup dan tidak akan mati, dan juga para malaikat yang menjaga Arasy-Mu, Jibril, Mikail dan diriku. Allah berfirman: “Matilah Jibril dan Mikail”. Allah menjadikan Arasy boleh berkata-kata, “Ya Tuhanku, benarkan Jibril dan Mikail itu mati.” Allah membentak kepada malaikat penjaga Arasy, “Diam kamu! Sesungguhnya Aku telah menetapkan kematian siapa sahaja yang berada di bawah Arasy-Ku, oleh kerana itu kedua-duanya mesti mati. Lalu dicabut nyawa mereka dan datang semula malaikat Izrail menghadap Allah dan berkata: “Ya Allah, Jibril dan Mikail sudah dimatikan, tinggal diriku dan malaikat yang menjaga Arasy”. Allah memerintahkan pula malaikat menjaga Arasy dimatikan. Kemudian Arasy diperintahkan oleh Allah supaya mencabut sangkakala daripada tangan Israfil dan dia pula yang memegangnya. Malaikat Izrail datang bertemu Allah semula dan memberitahu bahawa malaikat penjaga Arasy juga telah mati. Akhirnya malaikat Izrail juga dicabut nyawanya disertai tempikannya yang amat mengerikan. Yang tinggal hanyalah Allah SWT yang kemudiannya menggulungkan langit dan bumi bagaikan menggulung lembaran-lembaran kertas dan melipatnya dengan tiga kali lipatan. Lalu Allah bertanya dengan tiga kali tempikan,“ Di manakah raja-raja dan pembesar-pembesar serta mereka yang berkuasa di atas dunia dahulu?, milik siapakah pada hari ini? Lalu Allah SWT menyebut, “Hari ini hari Allah yang memiliki segala sesuatu.”
Rencana ini telah disiarkan dalam segmen Agama akhbar Berita Harian edisi 19 Mei 2016