Hati Bersih Teknologi Canggih

UNTUK berinteraksi dengan ilmu jangan tunggu sehingga masa lapang, tetapi selalu lapangkan waktu untuk memperolehi ilmu. Ini kerana ilmu yang luas akan membantu kita meningkatkan iman dan amalan kepada Allah SWT dan dalam masa yang sama dapat meningkatkan kasih sayang bagi membina tali ukhwah sesama kita.

Melalui rancangan Islam Itu Indah yang disiarkan di radio IKIMfm setiap rabu, jam 10.15 pagi, Ustaz Pahrol Muhamad Juoi menyingkap tentang ibrah persitiwa Israk Mikraj yang memberi pengajaran besar bagi umat mnausia melalui beberapa peristiwa penting yang berlaku dalam peristiwa berkenaan.

Antara perkara- perkara yang dapat kita ambil untuk menjadi pengajaran dalam hidup adalah melalui peristiwa Rasulullah SAW dibedah buat kali kedua dalam peristiwa tersebut. Sungguhpun 12 tahun Rasulullah diangkat menjadi Rasul, baginda terus juga dibedah sebagai satu lambang pembersihan hati untuk membersihkan hati Baginda SAW daripada sebarang kekotoran syaitan dan nafsu yang merosakkan. Hati Baginda SAW dibedah untuk diisi dengan iman, ilmu dan hikmah, baharulah baginda menaiki buraj dan menuju ke langit.

Hakikatnya dalam kehidupan ini kita amat memerlukan semangat yang kuat untuk membersihkan hati dari segala kekotoran dek nafsu dan hasutan syaitan yang boleh merosakkan kenersihan hati kita.

Oleh itu, kita hendaklah sentiasa bermujahadah dalam melawan segala godaan yang mengajak kita untuk berbuat perkara-perkara yang akan mengotorkan hati. Sebagai seorang muslim yang sentiasa mencari kebaikan dalam hidup, kita hendaklah selalu berusaha untuk menyucikan jiwa dengan melakukan amal ibadah yang diredhai Allah SWT.

Dalam usaha untuk membina hati yang bersih kita perlu sentiasa berfikir dan berbuat perkara-perkara yang baik seperti bercakap sopan santun, menggunakan perkataan yang menyenangkan dalam perbualan, banyakkan berzikir, membaca al-Quran dan mengingati Allah SWT serta selalu berbuat perkara-perkara yang boleh membina nilai positif dalam diri.

Bahkan, para ahli psikologi mengajurkan kepada manusia yang mahukan sesuatu yang baik dan positif, jangan berbuat perkara yang menjurus kepada kesan yang negatif seperti bercakap perkara yang buruk, mengumpat, dengki dan irihati dan sebagainya. Dalam bahasa psikologi menyebut ‘don’t talk negatively about others” kerana sifat negatif ini akan meresap tenaga kebaikan yang ada dalam diri kita.

Justeru, sebagai seorang Islam yang akan bertemu Allah SWT di akhirat nanti, kita hendaklah sentiasa mempersiapkan diri, membersihkan hati dengan tindakan dan perbuatan yang baik supaya apabila kita menuju kepada Allah kelak dalam keadaan hati yang bersih.

Sebagaimana kita membersihkan diri dari segala kekotoran lahiriah, menyucikan diri dengan mengangkat hadas, mengambil wudhuk sebelum menunaikan solat, dan membersihkan diri sebelum menghadap Allah SWT, begitu juga dengan hati kita juga perlu disucikan sebelum kita mempersembahkan kepada Allah SWT apabila tiba waktunya.

Secara perumpamaan, seseorang yang mahu menanam pokok bunga di halaman rumah, perlu membersihkannya terlebih dahulu sebelum ditanam dengan pokok-pokok kesukaan kita. Begitu juga dengan hati kita, sebelum kita ‘menanam’nya dengan perkara-perkara yang baik, kita perlu membuang dahulu kekotoran dalam hati supaya sifat-sifat baik itu mudah untuk memekar subur dalam hati kita. Kita tidak akan menanam pokok di kawasan yang penuh dengan lalang dan pohon-pohon yang akan merosakkan tanaman kita dan menjadikan tanaman kita tidak subur.

Dalam kaedah tasawuf, disebutkan bahawa terdapat tiga proses yang perlu dilalui untuk membersihkan hati. Proses tersebut adalah Takhalli, Tahalli dan Tajalli. Takhalli ialah usaha-usaha yang dilakukan untuk membuang segala sifat mazmumah yang ada di dalam diri, kemudiaan Tahalli iaitu berusaha untuk menanam sifat mahmudah manakala Tajalli pula ialah mengekalkan kebaikan di dalam diri dan buah daripada kebaikan yang telah tertanam.

Namun jika kita gagal membersihkan hati atau membiarkan hati kotor dengan sifat negatif atau mazmumah pada saat kemudahan teknologi canggih hari ini yang memudahkan kita untuk memperolehi ilmu, bermakna ianya amat bertentangan dengan konsep Israk Mikraj. Ini kerana konsep Israk Mikraj, Nabi Muhammad SAW membersihkan hati baginda sebelum menaiki Buraq untuk menuju ke langit bertemu Allah SWT.

Justeru, mari sama-sama kita menggunakan kemudahan teknologi canggih ke arah kebaikan yang akhirnya akan membawa kita lebih dekat dengan Allah SWT. Sesungguhnya dengan membawa hati yang bersih mudah-mudahan kita menjadi hamba yang mendapat keredhaan Allah SWT di dunia dan akhirat.

Rencana ini telah disiarkan dalam segmen Agama akhbar Berita Harian edisi 18 Mei 2016
\"1805206\"
WhatsApp
Scroll to Top