Menangis Memadamkan Api Neraka

MENANGIS dalam istilah bahasa Arab adalah al-Buka\’, berasal dari kata Bakaa – yabkii – bukaa-an yang bermaksud mengalirkan air mata kerana berduka atau sedih. Berdasarkan sebabnya, menangis terbahagi kepada dua iaitu menangis kerana sedih dan menagis kerana bahagia. Ustaz Muhamad Abdullah al Amin dalam rancangan Pesona D\’Zahra yang bersiaran di IKIMfm pada Isnin minggu lalu jam 10.15 pagi berkata saat dilanda musibah, banyak orang yang berputus asa lalu berpaling dari kebenaran. Sebahagian orang menyifatkan menangis itu adalah sesuatu yang hina, ia merupakan tanda lemahnya seseorang.

Bangsa Yahudi selalu marah apabila anaknya menangis kerana dikatakan tidak akan mampu melawan musuh-musuhnya. Orang Jepun akan memarahi anaknya jika mereka menangis kerana dianggap tidak tabah menghadapi hidup. Menangis adalah sesuatu yang hanya dilakukan oleh mereka yang tidak mempunyai prinsip hidup. Bagi seorang Islam yang mukmin, menangis merupakan sebuah kelembutan hati  dan petanda kepekaan jiwanya terhadap peristiwa yang menimpa dirinya mahupun umatnya. Rasulullah SAW menitiskan air matanya ketika anaknya Ibrahim, meninggal. Abu Bakar selalu digelarkan oleh anaknya Aisyah  sebagai “Rajulun Bakiy” (Orang yang selalu menangis).

Beliau sentiasa menangis, dadanya bergetar  semasa solat dibelakang Rasulullah SAW kerana mendengar ayat-ayat Allah. Abdullah bin Umar pada suatu ketika melewati sebuah rumah yang didalamnya ada seseorang sedang membaca Al Qur’an. Ketika sampai pada ayat: Hari (ketika) manusia berdiri menghadap Tuhan semesta alam” (Surah  Al Muthaffifin,ayat 6). Pada saat itu beliau diam, berdiri tegak dan merasakan dirinya seakan-akan sedang menghadap Tuhan, kemudian beliau menangis. Lihatlah betapa Rasulullah SAW dan para sahabatnya benar-benar memahami dan  merasakan getaran-getaran dalam jiwa mereka.

Ustaz Muhamad turut  menjelaskan bahawa “Maka hendaklah mereka tertawa sedikit dan menangis banyak, sebagai pembalasan dari apa yang selalu mereka kerjakan.” (Surah At Taubah ,ayat 82). Seorang mukmin sejati akan menangis secara bersendirian di kala berdoa kepada Tuhannya. Sedar betapa beratnya tugas hidup yang harus dipikulnya di dunia ini. Kita tidak akan melihat seorang mukmin bersenang-senang dan bersuka ria ketika jirannya mengalami kesedihan, ditimpa berbagai ujian, cubaan, dan fitnah.

Mukmin yang sebenar akan bersedia membantu meringankan segala beban saudaranya. Ketika seorang mukmin tidak mampu menolong dengan tenaga ataupun harta, dia akan berdoa memohon kepada Tuhan semesta alam. Menangis merupakan sebuah bentuk pengakuan terhadap kebenaran. “Dan apabila mereka mendengarkan apa yang diturunkan kepada rasul (Muhammad), kamu lihat mata mereka mencucurkan air mata disebabkan kebenaran (Al Qur’an) yang telah mereka ketahui (dari kitab-kitab mereka sendiri) seraya berkata: “Ya Rabb kami, kami telah beriman, maka catatlah kami bersama orang-orang yang menjadi saksi (atas kebenaran Al Qur’an dan kenabian Muhammad)”. (Surah  Al Maidah,ayat 83).

Selain itu Ustaz Muhamad menghuraikan  bahawa antara jenis-jenis tangisan yang dibenarkan malah digalakkan dalam Islam ialah:

Pertama, Ketika melahirkan rasa kesyukuran kepada Allah. Orang-orang yang beriman dan bertaqwa akan sentiasa bersyukur dengan apa yang dikurniakan oleh Allah kepadanya. Sebagai contoh, dalam satu riwayat oleh Anas bahawa Rasulullah berkata kepada Ubay bin Ka\’ab: “Allah menyuruh membacakan kepadamu Surah al-Bayyinah ayat 1, \”Orang-orang kafir iaitu ahli kitab dan orang-orang musyrik (mengatakan bahawa mereka) tidak akan meninggalkan (agamanya) sebelum datang kepada mereka bukti yang nyata, \’\’Ubay bertanya : Apakah Allah menyebut namaku?\’\’ Nabi menjawab ya, lalu menangislah Ubay (kerana mendengar berita gembira itu).

Kedua, kerana menyesali perbuatan dan dosa yang dilakukan. Hal ini dijelaskan oleh Allah dalam ayat 82 Surah al-Taubah, \”Maka hendaklah mereka sedikit tertawa dan banyak menangis sebagai pembalasan dari apa yang mereka telah kerjakan.\’\’

Ketiga, apabila bertambah keimanan kepada Allah. Tangisan seperti ini merupakan tangisan yang tinggi nilainya kerana merupakan campuran antara rasa kesedaran dan keimanan yang tidak berbelah hingga mengalir air matanya tercurah akibat rasa iman yg tinggi sebagaimana Firman Allah SWT : \”Dan apabila dibacakan kepada mereka ayat-ayat Tuhan Yang Pemurah, mereka segera sujud dan menangis.\’\'(QS;Maryam;58)

Keempat, timbul dari rasa khusyuk dan tawaduk. Tangisan seperti ini boleh terjadi apabila seseorang itu khusyuk dalam beribadat. Air mata yang menitis itu bukan kerana perasaan sedih tetapi kerana menyedari betapa diri yang begitu kerdil ketika berhadapan dengan Allah swt. “Dan mereka bersujud sambil menangis dan maka bertambahlah atas mereka perasaan khusyu\’ ”  (Surah Al-Isra, ayat 109)

Kelima, Bimbang terputusnya rahmat Allah. Suatu hal yang menyedihkan hati dan amat dibimbangi oleh orang-orang yg beriman adalah terputusnya kebajikan dan rahmat Allah. Apabila keadaan ini berlaku, ia boleh mengubah suasana hati dan perasaan sehingga menjadi sedih dan terharu.

Kesimpulannya, tidak salah jika kita mengalirkan air mata. Namun air mata yang paling berharga adalah air mata yang keluar kerana harap dan takut kepada Allah. Barangkali di antara kita yang belum pernah menangis, maka menangislah di saat membaca Al Qur’an. Menangislah ketika berdoa di sepertiga malam terakhir. Menangislah kerana melihat keadaan umat yang hancur. Atau tangisilah dirimu kerana tidak dapat menangis ketika mendengar ayat-ayat Allah. Semoga dapat melembutkan hati kita. Ingatlah hari ketika manusia banyak menangis dan sedikit tertawa kerana dosa-dosa yang dibuatnya selama di duniaMaka mereka sedikit tertawa dan banyak menangis, sebagai pembalasan dari apa yang selalu mereka kerjakan”. (QS At Taubah: 82).

Rencana ini telah disiarkan dalam segmen Agama akhbar Berita Harian edisi 2 Mei 2016
WhatsApp
Scroll to Top