SAAT di damping si pesakit jiwa, dengan aroma menjengkel hati bersama penampilan menjelek pandangan. Automatik, secara maknusiawinya akan menimbulkan rasa kurang selesa kerana sesuatu yang kotor duduk hampir dengan diri. Ironinya, pada situasi berbeza. Saat perkara kotor dan busuk hadir pada diri dalam keadaan tidak terhidu busuknya tidak terlihat cela hodohnya. Bahkan, kotoran tersebut bukan di samping tetapi di dalam diri, melekat dan kekal di dalam hati.
Membersihkan hati dan menyucikan jiwa termasuk amalan fardu paling utama dan menjadi kewajipan Ilahi di sebalik perintah-Nya sepertimana firman-Nya yang bermaksud: “Katakanlah: “Sesungguhnya Tuhanku hanya mengharamkan perbuatan yang keji, sama ada yang nyata atau yang tersembunyi; dan perbuatan dosa; dan perbuatan menceroboh dengan tidak ada alasan yang besar.” (Surah al-A’raf, ayat 33). Itu antara intipati pertemuan Usrah Nurani Jumaat lalu bersama naqib al-Fadhil Ustaz Zul Ramli M.Razali beserta ahli usrah di konti Hj Shamsul Ghau ghau dan Saudara Mohd Syubailli.
Penyakit hati adalah faktor utama yang menjauhkan manusia daripada Allah yang mengakibatkan jauhnya diri daripada syurga dan menjerumuskannya ke dalam neraka selepas. Pelepasan diri daripada jajahan syaitan ini lebih mustahak daripada pelepasan diri daripada jajahan sesama manusia kerana jika diri sudah terlepas daripada jajahan syaitan, maka jalan di hadapannya semakin luas dan nyata, dan dengan sendirinya akan menyedari untuk menghancurkan semua belenggu buatan syaitan. Dalam sebuah hadis yang masyhur yang telah diriwayatkan dari Abu Hurairah Abdirrahman bin Syahrin RA, Rasulullah SAW bersabda, “Sesungguhnya Allah tidak melihat kepada tubuh kalian dan tidak pula kepada rupa kalian, tetapi Dia melihat kepada hati kalian.” (Hadis Riwayat Muslim).
Penyucian jiwa adalah masalah yang sangat penting dalam Islam, bahkan merupakan salah satu tujuan utama diutusnya Nabi Muhammmad SAW.
Imam Ibnu Qayyim Al Jauziyyah mengatakan, “Orang-orang yang menempuh jalan (untuk mencari keredhaan) Allah SWT, meskipun jalan dan kaedah yang mereka tempuh berbeza-beza, namun pasti mereka sepakat mengatakan bahawa nafsu manusia adalah penghalang utama bagi hati untuk sampai kepada redha Allah. Sehingga seorang hamba tidak akan mencapai kedekatan kepada Allah melainkan setelah berusaha menentang dan menguasai nafsunya (dengan melakukan tazkiyatun nufus)”
Muhasabah adalah proses menghisab diri yang hadir hasil keinsafan dan kesedaran dalam diri dengan menyesali perlakuan terdahulu dan ingin kembali sebagai manusia yang hanya sekadar hamba kepada Sang Pencipta. Akibat kekurangan ilmu, pengaruh nafsu, rasa berdosa yang tinggi mendorong manusia untuk kembali.
Penyucian dan pembersihan jiwa memerlukan rawatan yang sifatnya rohaniah.
Kekuatan dalaman diri manusia menjadi sesuatu yang paling utama diperkukuhkan supaya kekuatan rohaniah menjadikan asbab semakin dekat dan hamper kepada ALLAH SWT.
Ia selari dengan maksud hadis Rasulullah SAW mengisahkan dalam diri manusia ada seketul daging. Baik daging itu baiklah diri manusia dan begitu juga jika sebaliknya berlaku. Baik dan tidak baik merujuk kepada akhlak manusia yang merupakan natijah daripada pekerjaan hati.
Hati manusia mudah tercemar dengan runtunan hawa nafsu dan hasutan syaitan dan iblis. Ia menyebabkan manusia hilang fitrah diri dan hatinya cenderung kepada perkara-perkara yang mungkar. Focus yang menjadi pertimbangan dalam hidup ialah kepuasan zahiri bukannya batini. Ia menyebabkan gelagat manusia tidak lagi makruf dan berada dalam keadaan berdosa.
Sifat-sifat terpuji disandarkan kepada keyakinan yang tinggi terhadap kehadiran Allah yang Maha Melihat dan Maha Mengetahui. Itulah kayu ukur atau pedoman terbaik menjadikan manusia insaf bahawa melakukan kemungkaran natijah akhirnya adalah dosa dan melakukan sesuatu yang berpahala menatijahkan syurga Allah SWT.
Islam tidak saja mendidik manusia untuk memiliki aqidah tauhid yang kental, mengakui hakikat kewujudanNya malah menjadikan hambaNya menginsafi bahawa Allah SWT adalah zat Yang Maha Berkuasa ke atas segala dan Pemberi Rahmat kepada semua. Tanpa keyakinan ini manusia akan berasakan sesuatu itu sifatnya lepas bebas tanpa ikatan dosa dan pahala.
Islam hadir atas nama kesejahteraan dan kedamaian. Manusia pada fitrahnya memerlukan keadaan yang sedemikian supaya kasih sayang terbina, rasa persaudaraan terjalin dan membangun jiwa rukuk dan sujud sebagai tamsilan kehambaan. Jiwa kehambaan menjadikan ahli ibadah memiliki sifat patuh, akur, tunduk dan taat kepada suruhan dan larangan Allah. Ia menyebabkan manusia menjalani hidup di bawah Sunnatullah. Sebagai khalifah Allah SWT sifat amanah menjadi tanggungjawab yang utama. Kala jiwa kehambaan menyubur ke dalam diri, ia bakal mencorakkan sahsiah dan akhlak yang sempurna.
Sebagai khalifah, akhlak ini sangat penting kerana khalifah bakal mengurus diri dan sistem. Dan daripadanya manusia berada dalam kedudukan amal soleh yang memberi manfaat kepada diri dan orang lain. Semoga akhirnya nanti akan kembali kepadaNya dengan hati yang suci dan tenang dengan seruan yang yang menjadi idaman sebagaimana firman Allah SWT mafhumnya, “Wahai jiwa yang tenang datanglah kepada Tuhanmu dengan keadaan ridha dan diridhai” (SurahAl Fajr, ayat 27-28 ).
Rencana ini telah disiarkan dalam segmen Agama akhbar Berita Harian edisi 29 April 2016