Virus Al-Wahnu

DARIPADA Tsauban RA, sabda Rasulullah SAW “Begitu hampir waktunya orang-orang kafir saling menyeru untuk menyerang kamu semua dari segala penjuru sebagaimana orang-orang lapar mengerumuni dulang berisi makanan.” Para sahabat bertanya, “Wahai Rasulullah, adakah pada ketika itu bilangan kami sedikit?” Nabi menjawab, “Tidak, sebaliknya pada ketika itu bilangan kamu amat ramai, tetapi kamu seperti buih-buih di air laut. Sesungguhnya Allah akan mencabut rasa takut dari hati musuh-musuh kamu terhadap kamu. Dan Allah mencampakkan dalam hati kamu al-Wahn.” Para sahabat bertanya, “Wahai Rasulullah, apa yang dimaksudkan dengan al-Wahn?” Rasulullah menjawab, “Cintakan dunia dan takutkan mati.” (Hadis Riwayat Abu Dawud).

Itulah telahan Rasululah SAW 1400 tahun dahulu berkenaan umat Baginda di akhir zaman yang telah di jadikan topik perbincangan Usrah Nurani minggu lalu yang bersiaran pada pukul 5.15 petang bersama naqib Ustaz Zul Ramli M. Razali serta rakan-rakan Usrah dikonti Ustaz Hafiz Fandani dan Saudara Norul Iman A. Rahman bagi meneliti serta membenarkan butir bicara Rasulullah itu sebahagai muhasabah diri sekaligus mencari cara terbaik meletakkan dunia hanya di dalam genggaman tangan bukannya disemat di dalam hati yang akan membebaskan umat Islam era ini daripada terus dibelenggu dengan kesukaran dan penindasan yang berpunca daripada kelemahan umat Islam ini sendiri.

Keadaan al-wahn ini telah di jangka oleh Rasulullah SAW akan berlaku tidak lama selepas zaman baginda dan zaman para sahabat. Di kala umat Islam meninggalkan agama dan tiada lagi goncangan takut serta gerun di hati kaum kafir terhadap umat Islam. Ketika zaman sahabat dan orang-orang soleh terdahulu, segalanya berlaku atas kekuatan iman umat Islam yang jauh berbeza dengan Umat Islam hari ini. Setelah kejatuhan Empayar Uthmaniyah, saban hari dapat dilihat siri rentetan kesakitan demi kesakitan umat Islam. Negara-negara Arab mula dipecah satu persatu oleh penjajahan barat sehingga lewat ke daerah nusantara yang tidak ketinggalan dalam siri jajahan mereka. Tidak terhenti di situ, kekejaman dan penindasan terhadap umat Islam berlarutan sehingga ke hari ini.

Lihatlah dunia ini dengan pandangan yang betul. Jika diteliti, penyakit al-wahn semakin membarah dalam umat hari ini. Ciri-ciri al-wahn semakin jelas terlihat saat mereka semakin kasihkan dunia seolah-olah ingin menongkat dunia tanpa mahu meninggalkannnya. Leka dan lupa bahawa akan ada satu alam lain nanti yang lebih lama dan kekal abadi. Atas dasar itu, mereka rakus melakukan kemungkaran dan kerosakan walau peringatan melalui penderitaan-penderitaan yang di alami oleh umat Islam di setiap penjuru dunia telah dipamerkan.

Walau umat Islam semakin hari semakin bertambah jumlahnya, namun ia hanya sekadar kuantiti sedang kualitinya semakin rapuh berbanding umat-umat terdahulu yang teguh dan kukuh kualiti imannya kerana mereka percaya Umat Nabi Muhammad SAW adalah umat yang menangguhkan kenikmatan untuk akhirat kelak dan bukannya mengagung-agungkan dunia umpama tiada pengakhirnya. Sesungguhnya dunia adalah sementara, tanah untuk bermusafir yang secara adatnya, pemusafir tidak akan tinggal lama pada satu-satu tempat. Sampai masa akan beralih ke tempat lain dengan bekalan secukupnya dan pastinya tidak banyak bagi memudahkan perjalanan.

Dunia ini dilihat dari pelbagai persepsi tertakluk kepada individu. Diharap agar Allah lorongkan untuk melihatnya dengan pandangan yang betul. Dunia sepatutnya memberikan ketenangan dan bukan cetusan rasa tidak tentu arah, rakus dan tamak di kalangan umat megatasi manusia yang tidak punya iman di dada. Dihkuatiri, sifat itu memberikan gambaran negatif terhadap umat Islam keseluruhannya oleh mereka yang belum punya iman dan Islam.

“Dijadikan indah pada (pandangan) manusia kecintaan kepada apa-apa yang diingini, yaitu: wanita-wanita, anak-anak, harta yang banyak dari jenis emas, perak, kuda pilihan, binatang-binatang ternak dan sawah ladang. Itulah kesenangan hidup di dunia, dan di sisi Allahlah tempat kembali yang baik (syurga)”. (Surah Ali Imran, ayat14). Dari firman Allah SWT itu jelas wujud bermacam jenis kesenangan duniawi.  Ia indah pada pandangan manuasia, sehingga mengakibatkan manusia tergila-gila pada kenikmatan itu sehingga takut kehilangannya.

Sungguh, kenikmatan dunia umpama fatamorgana sebagaimana firman Allah SWT mafhumnya: “kehidupan dunia itu tidak lain hanyalah kesenangan yang memperdayakan.” (Surah Ali-Imran, ayat 85). Allah telah memperingatkan tentang godaan tersebut menerusi  firmannya: “Dan ketahuilah, bahwa hartamu dan anak-anakmu itu hanyalah sebagai cubaan dan sesungguhnya di sisi Allahlah pahala yang besar.” (Surah Al-Anfal, ayat 28).

Itulah dunia yang tiada nilai di sisiNya yang maha pencipta. Begitu juga seharusnya manusia memandang dunia ini. Oleh itu, Allah melarang manusia terlalu takjub dan taksub dengan dunia dan telah menjadikan kematian sebagai batas sempadan. “Dan janganlah engkau menujukan pandangan kedua matamu dengan keinginan kepada apa yang telah Kami berikan kepada beberapa golongan dari mereka yang kafir itu menikmatinya, yang merupakan keindahan kehidupan dunia ini, untuk Kami menguji mereka padanya; sedang limpah kurnia Tuhanmu di akhirat lebih baik dan lebih kekal”. (Surah Taha, ayat 131).

Rencana ini telah disiarkan dalam segmen Agama akhbar Berita Harian edisi 8 April 2016
\"2016-04-08\"
WhatsApp
Scroll to Top