Berita Benar Tetapi Bahaya

TANDA-TANDA munafik itu ada tiga, jika ia bicara berdusta, jika ia berjanji mengingkari dan jika ia diberi amanah ia khianat.” (Hadith Riwayat  Bukhari). Ustaz Muhamad Abdullah al-Amin dalam rancangan Pesona D\’ Zahra yang bersiaran di IKIMfm pada Isnin minggu lepas  jam 10.15 pagi berkata daripada Abu Hurairah RA daripada Nabi  SAW, Baginda bersabda, mafhumnya “Sesungguhnya seorang hamba berbicara dengan suatu kata-kata yang diredhai Allah tanpa dia menaruh perhatian padanya maka Allah mengangkatnya lantaran ucapannya itu beberapa darjat. Dan sesungguhnya seorang hamba berbicara dengan kata-kata yang dimurkai Allah tanpa memikirkannya maka ia menjerumuskannya ke dalam Neraka Jahannam.” (Riwayat Al-Bukhari). Perkongsian berkaitan berita benar tetapi bahaya menurut ‘Ustaz Muhamad  ada lima, di antaranya adalah:

Pertama, Pandangan Islam Terhadap Kaedah Muslihat Dalam Peperangan

Dalam Islam, muslihat mempunyai kaedahnya yang dibenarkan sama ada bersifat strategi ataupun taktikal. Semua itu bergantung kepada alternatif yang dibenarkan oleh syara\’. Di dalam al Quran sendiri, terdapat banyak kalimah sinonim  dengan muslihat – makar – “tipu daya” ataupun “perencanaan helah” yang bukan sahaja dinisbahkan kepada musuh-musuh Islam, tetapi juga dinisbahkan kepada Allah . Begitupun maksud ayat-ayat tersebut adalah Allah mengatur kesemua urusan hamba-Nya kerana Dia merupakan Pemilik Yang Mengurus dan tiada satu pun pengurus berada di luar pengurusan-Nya.

Kedua, benda-benda yang mudarat hendaklah dihapuskan

Segala kemudaratan yang berlaku wajib dihilangkan dan dihapuskan. Kaedah ini merupakan salah satu kaedah berkenaan masalah kemudaratan. Ada antara kaedah yang menghalang kemudaratan itu daripada dilakukan manakala kaedah ini pula menerangkan tentang kewajipan untuk menghilangkan kemudaratan tersebut apabila ia berlaku. Olehitu, kaedah ini menunjukkan bahawa apabila berlaku sesuatu kemudaratan yang menimpa mana-mana pihak, maka kemudaratan itu wajib dihilangkannya daripada terus ditanggung. Kemudaratan itu harus dihilangkan dengan membawa pengertian bahawa kemudaratan telah terjadi.

Ketiga, yang boleh menyebabkan pergaduhan atau “Menjadi Batu Api”

Cuba kita lihat seterusnya prinsip dan panduan hidup umat Islam lain yang diajarkan oleh Rasulallah SAW .  Sesiapa yang menjadi ‘batu api’ tidak masuk syurga. Jika kita sentiasa melakukan sesuatu atau menyebut sesuatu semata-mata untuk menimbulkan kekacauan antara orang, maka kita menjadi batu api. Kita penyebab berlakunya pertengkaran atau perbalahan. Maka, tidak ada gunanya pada kita. Malah kita menempah kedudukan yang amat merugikan  di akhirat kelak.

Keempat, sembunyikan aib orang, Allah sembunyikan aib kita

Allah swt berfirman yang bermaksud : Dan janganlah kamu mengintip atau mencari-cari kesalahan dan keaiban orang; … (Surah Al-Hujuraat ,ayat 12) Ayat ini menjelaskan larangan umum untuk mencari-cari keburukan orang lain, mencakupi berbagai macam jenis tajassus (mencari-cari kesalahan, mengintai, mencuri dengar, mencuri pandang dan yang seumpamanya) Menurut ulama tafsir, tajassus adalah mencari-cari aib dan aurah kaum muslimin. Bererti kita dilarang mencari-cari aib saudara sesama muslim, malah diperintah menutupinya. \”Dan barangsiapa yang menutupi aib seorang muslim, Allah akan menutupi aibnya pada hari kiamat\”. (Hadith Riwayat, Bukhari & Muslim). Jika dilihat budaya di Malaysia, orang ramai mungkin lebih kenal perkataan gosip daripada aib. Sebabnya gossip sudah ada tempat tersendiri dalam dunia media . Sudah diangkat jadi rancangan TV, ada blog tersendiri, disediakan kolum khas di surat khabar mahupun  majalah.

Kelima, hal-hal yang negetif yang boleh mendatangkan keburukan

Hendaklah seseorang memberikan nasihat secara diam-diam, tidak terang-terangan di hadapan orang lain. Sebab, manusia pada umumnya tidak mahu menerima nasihat apabila diberikan di hadapan orang lain kerana hal itu dapat memalukannya, Pada hakikatnya kematangan bukanlah terletak pada umur malah kematangan seseorang itu adalah dapat dilihat daripada cara pemikirannya, cara percakapannya dan secara langsung adalah dengan cara perbuatannya iaitu akhlaknya. Dari segi cara percakapan mereka juga amat berbeza, kerana kematangan seseorang ini juga mampu mengubah dari segi cara percakapannya yang mana mereka akan menggunakan bahasa-bahasa yang lembut yang mana mereka pandai menyesuaikan diri dengan cara bercakap dalam keadaan hormat kepada si pendengar terutama sekali orang yang lebih tua berbanding mereka. Dan orang yang matang juga tidak akan bercakap dalam bahasa yang kasar malah mereka pandai menjaga hati dan perasaan orang lain. Akhir sekali adalah dengan cara perbuatan mereka yang mana tindakan atau akhlak mereka adalah sangat baik kerana orang yang matang adalah orang yang sangat menjaga akhlak dan sangat bijak dalam mengambil tindakan yang mana mereka ini adalah orang yang menjaga diri dan sentiasa tidak mengenal erti kalah dan sentiasa berusaha jika mereka fikir akan tindakan yang mereka ambil itu adalah tindakan yang boleh membuahkan hasil yang cukup berkesan.

Kesimpulannya, Rasulullah saw pernah ditanya tentang sebab yang paling banyak mengakibatkan orang masuk syurga, Nabi menjawab, takwa kepada Allah dan akhlak mulia. Nabi juga ditanya tentang sebab yang paling banyak mengakibatkan orang masuk neraka, maka Nabi menjawab, mulut dan kemaluan.(Hadith Riwayat,  Tirmidzi). Sebab itu kita lahir dengan 2 mata, 2 telinga tetapi hanya 1 mulut supaya kita lebih banyak melihat dan mendengar daripada bercakap. Pepatah melayu pun ada mengatakan “kerana mulut badan binasa”. Pesan Rasulullah SAW mafhumnya, “Berhati-hatilah dengan sangkaan, kerana bicara yang paling dusta ialah berlandaskan sangkaan…” [Hadith Riwayat Bukhari & Muslim]

Rencana ini telah disiarkan dalam segmen Agama akhbar Berita Harian edisi 11 April 2016
\"2016-04-11\"
Scroll to Top