SEKIRANYA Allah SWT mahu memberikan kebaikan kepada seseorang individu itu, Allah SWT akan memberikan kefahaman ilmu dalam beragama, ini adalah antara mafhum Hadith Baginda SAW. Sekiranya Allah SWT ingin memberikan kebaikan kepada sesebuah ahli keluarga, Allah SWT akan memberikan kelembutan kepada seluruh ahli keluarga berkenaan dan sekiranya Allah SWT ingin memberikan kebaikan kepada sesebuah masyarakat, organisasi dan ummah, Allah SWT akan memberikan seorang pemimpin yang bertaqwa.
Apabila setiap diri diberi kefahaman ilmu dalam beragama, apabila sesebuah keluarga yang saling berkasih sayang diberikan kelembutan menyantuni antara satu sama lain, dan apabila sesebuah masyarakat yang dikurniakan pemimpin yang bertaqwa kepada Allah SWT, pastinya kehidupan ini akan dipenuhi dengan insan-insan yang saling menghargai antara satu sama lain.
Melalui rancangan Tarbiah yang disiarkan setiap Rabu, 10.15 pagi, Ustaz Pahrol Mohd Juoi menyatakan bahawa pemimpin yang tinggi ketaqwaan kepada Allah SWT akan dapat melahirkan sebuah masyarakat atau ummah yang dipenuhi dengan kerahmatan dan kebaikan kerana pemimpin yang tinggi iman terhadap Allah SWT akan dapat membina sebuah ahli masyarakat yang turut beriman kepada Allah SWT.
Harga diri sangat penting bagi seseorang individu kerana memiliki harga diri yang tinggi dalam diri akan melayakkan seseorang untuk memiliki nilai kasih sayang yang tinggi. Seseorang yang mempunyai hargai diri yang tinggi akan menghargai diri sendiri dan orang lain, manakala orang yang mempunyai kasih sayang yang tinggi akan menyayangi dirinya dan orang lain.
Sebab itu jika kita lihat seseorang yang menyayangi orang lain akan lebih mudah disayangi, manakala orang yang menghargai orang lain akan dihargai. Inilah elemen yang menjadikan seseorang yang tinggi nilai harga diri dapat melihat timbal balas melalui setiap kualiti diri yang dibangunkannya.
Menurut Ustaz Pahrol, manusia yang menyayangi diri sendiri bukan bererti seseorang yang mementingkan diri sendiri. Tetapi orang yang menyayangi diri sendiri akan sentiasa berusaha menjauhkan dirinya daripada perbuatan yang mengundang azab Allah SWT. Bahkan telah juga disaran didalam al-Quran supaya manusia memelihara dirinya dari azab api neraka yang sangat pedih.
Justeru manusia yang sayangkan dirinya akan memelihara kesucian diri dari terheret ke lembah kebinasaan. Oleh sebab itulah seseorang mukmin itu hendaklah sentiasa celik hati untuk melihat segala ciptaan Allah SWT yang maha hebat ini dengan pandangan mata hati yang indah agar segala takdir Allah SWT menjadi sesuatu yang baik bagi seseorang mukmin itu.
Allah SWT Yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang sentiasa memberikan kebaikan kepada manusia, manakala terpulang kepada seseorang mukmin itu untuk ‘mewarnai’ kehidupannya dengan warna yang cantik dan indah atau warna yang kelam dan hitam.
Sungguhpun ada manusia yang dilahirkan dengan nilai harga diri yang tinggi, dikurniakan dengan sifat lembut dan sabar, dan ada juga manusia yang dilahirkan dengan sifat pemarah dan panas baran tetapi Allah SWT yang maha adil memberi keupayaan kepada manusia untuk membuat pilihan dengan ilmu yang pastinya akan memupuk nilai murni di dalam diri mereka.
Hati yang memiliki keimanan yang tinggi terhadap Allah SWT hakikatnya akan dapat memupuk nilai baik dalam diri, justeru sifat semulajadi waima tabiat buruk sekalipun jika dimiliki oleh hati yang baik dan iman yang tinggi akan dapat diubah dan diperbaiki. Ini kerana setiap manusia itu diciptakan dengan kesempurnaan Allah SWT.
Oleh itu, seseorang yang dikurniakan nilai harga diri yang tinggi atau mendapat penghargaan tinggi sesama manusia perlu mengurus kualiti dirinya dengan baik, kerana bagi mereka yang gagal mengurus peribadi diri ianya boleh membawa kerosakan seperti ego, sombong dan bongkah.
Manusia yang memandang diri sendiri dengan pandangan yang tinggi dari sudut pandangan iman yang rendah akan melihat orang lain dari kacamata yang hina. Justeru orang sebegini akan mudah menjadi musih kepada yang lain, bahkan tinggi diri kerana dilingkari perasaan sombong dan ego akan memakan diri sendiri.
Begitu juga seseorang mukmin yang mempunyai nilai harga diri yang rendah sehingga membuatkan dirinya kurang keyakinan dan menjadi seorang yang hina diri. Bagi ibu bapa, hendaklah sentiasa ditanam perasaan keyakinan yang tinggi dalam diri anak-anak kerana jika anak-anak yang tidak didik dengan nilai penghargaan yang sewajarnya dibimbangi mereka menjadi insane lemah yang mudah berputus asa.
Bagi sesebuah organisasi yang mempunyai pekerja yang tidak ada keyakinan diri, sentiasa negatif dengan persekitaran, memiliki hati yang rapuh pastinya tidak akan mampu melahirkan sebuah organisasi yang produktif dan seterusnya tidak mendatangkan kejayaan kepada sesebuah organisasi itu sendiri.
Oleh itu, majikan yang mempunyai pekerja yang mudah hilang keyakinan diri, mudah berputus asa perlu dibimbing dengan contoh teladan yang baik sehingga boleh membina keyakinan yang tinggi. Majikan yang baik akan sentiasa menyokong kakitangannya dengan kata-kata semangat dan selalu menyokong mereka dengan sentuhan dan perkataan yang meningkatkan motivasi diri.
Rencana ini telah disiarkan dalam segmen Agama akhbar Berita Harian edisi 6 April 2016