Kisah Umar dan Surah Al-Haaqqah

ALANGKAH indahnya sekiranya kita mempunyai masa untuk mendalami dan menghayati  apa yang kita dengar tentang ayat-ayat Allah SWT. Semoga setiap apa yang kita dengar tentang kisah-kisah di dalam Al-Quran mahupun yang mempunyai kaitan dengannya, dapat menjadikan kita hamba yang lebih dekat kepada Allah SWT.

Jarang kita mendengar kisah-kisah di luar Al-Quran yang mempunyai kaitan dengan ayat-ayat Al-Quran itu sendiri. Pada minggu lalu, Ustaz Muhammad Syaari Ab. Rahman menerusi segmen Ibrah yang bersiaran di IKIMfm pada Isnin, 5.15 petang, Ustaz berkongsi kisah Saidina Umar R.A yang tidak disebutkan di dalam Al-Quran tetapi mempunyai perkaitan dengan Surah Al-Haaqqah.

Ustaz membawakan kisah yang diriwayatkan oleh Imam Ahmad bin Hanbal dalam musnadnya, mengenai kisah Saidina Umar R.A sebelum bertahun-tahun masuk Islam. Kisah bagaimana Islam itu tersebar dengan cepat. Beliau melihat bagaimana pada ketika itu jumlah sahabat yang memeluk Islam hanya sedikit dan kuat sokongan mereka kepada Islam dan Baginda Nabi Muhammad SAW.  

Sekalipun pelbagai cacian, maki hamun dan fitnah yang datang kepada Baginda Nabi SAW ketika zaman Baginda SAW menyebarkan Islam, ia tetap tidak melunturkan semangat para sahabat dan kepercayaan mereka kepada Baginda Nabi Muhammad SAW. Mereka tetap utuh memeluk agama Islam dan tidak berpaling darinya.

Bahkan ketika itu orang-orang Quraisy juga telah mengenakan boikot dan ancaman fizikal kepada para sahabat. Sehinggakan Baginda Nabi Muhammad SAW mencadangkan kepada para sahabat pada bulan Rejab, tahun ke-5 kenabian agar mereka berhijrah ke Negara Habsyah kerana di situ terdapat seorang raja yang tidak menzalimi rakyatnya dan mereka boleh kekal tinggal di sana sehingga Allah SWT memutuskan apa yang terbaik antara mereka.

Maka pada peringkat awal, terdapat 11 lelaki dan 4 orang wanita telah pergi ke Habsyah. Beberapa bulan selepas itu, jumlah para sahabat yang berhijrah bertambah mencecah 33 orang lelaki dan 11 wanita. Sehinggakan yang tinggal di Makkah pada ketika itu, hanyalah 40 orang para sahabat dan juga Baginda Nabi  SAW. Ini berdasarkan kisah-kisah sejarah dan sirah Rasulullah SAW.

Sampailah ke satu detik, anak saudara kepada Saidina Umar RA, yang bernama Laila anak kepada Hafnah. Beliau menceritakan detik-detik beliau berhijrah. Beliau mengatakan semasa beliau mengemas barang-barangnya sebelum berhijrah ke Habsyah bersama suaminya ‘Amar bin Rabiah, telah datang kepadanya Saidina Umar RA lalu bertanya “Kamu mahu turut sama berhijrah?”. Lalu jawab Laila “Demi Allah! Kerana kamu telah menyeksa kaum kami, maka bumi Allah ini luas wahai Umar. Maka kami akan pergi ke bumi yang Allah sediakan untuk kami”.

Lalu pada waktu itu, berubah air muka Umar menjadi sedih lantas berkata “Semoga Allah bersama kamu”. Ini menunjukkan Umar berasa sedih juga atas apa yang berlaku kerana kali ini bukan sekadar orang-orang yang begitu rapat dengan Abu Jahal sendiri yang telah masuk Islam, tetapi kini berlaku kepada orang yang begitu rapat dengan Umar sendiri. Lalu Umar berfikir panjang dan memutuskan ingin bertemu Nabi Muhammad SAW untuk menyatakan ketidak puasan hatinya.

Lalu Umar Al-Khattab sendiri menceritakan dan hal ini disebutkan dalam Tafsir Ibn Katsir merujuk ayat 40 Surah Al-Haaqqah. Kata Umar “Aku pernah pergi kepada Nabi Muhammad SAW sebelum aku menjadi muslim dan apabila aku hendak masuk ke Masjidil Haram untuk menunggu dan bertemu Nabi Muhammad SAW, Baginda telah berada di dalam masjid di hadapan Kaabah. Pada waktu aku ingin mendekati Nabi Muhammad SAW, aku mendengar secara kebetulan Nabi Muhammad SAW membaca surah Al-Haaqqah. Apabila tiba pada ayat ke 40, sesungguhnya aku merasakan benarlah ini adalah sihir dan ahli sihir yang disebutkan oleh Quraisy sebelum ini”.

Pada ketika Saidina Umar RA mengatakan sebegitu di dalam hatinya, dan pada waktu itu Rasulullah SAW membaca ayat ke 40-42 Surah Al-Haaqqah yang bermaksud : Bahawa sesungguhnya Al-Quran itu ialah (wahyu dari Kami) yang disampaikan oleh Rasul yang mulia. Dan bukanlah Al-Quran itu perkataan seorang penyair (sebagaimana yang kamu dakwakan. Tetapi sayang!) amatlah sedikit kamu beriman. Dan juga bukanlah Al-Quran itu perkataan seorang pawang (sebagaimana yang kamu katakan. Tetapi sayang!) amatlah sedikit kamu mengambil peringatan.

Lalu terkejut Saidina Umar RA yang pada ketika itu mengintip untuk mendengar apa yang dibaca oleh Rasulullah SAW dan ternyata segala persoalan Saidina Umar RA ketika itu dijawab oleh Allah SWT melalui bacaan Al-Quran oleh Rasulullah SAW. Lalu Saidina Umar RA berkata “Aku rasa Islam itu telah menyelinap masuk ke hati sanubariku”.

Namun begitu, menurut ahli sejarah, Saidina Umar RA masih tidak memeluk Islam pada ketika itu kerana beliau masih berfikir panjang tentang apa yang berlaku dan keajaiban itu.

Persoalan demi persoalan yang bermain di fikiran Saidina Umar RA pada ketika itu mengenai sihir yang ditulis oleh Nabi Muhammad SAW yang disebut-sebut oleh kaum Quraisy telah dijawab oleh Allah SWT menerusi Surah Al-Haaqqah ayat 44- 47 yang bermaksud : Dan kalaulah (Nabi Muhammad yang menyampaikan Al-Quran itu) mengatakan atas nama Kami secara dusta – sebarang kata-kata rekaan, -Sudah tentu Kami akan menyentapnya, dengan kekuasaan Kami, -Kemudian sudah tentu Kami akan memutuskan tali jantungnya (supaya ia mati dengan serta-merta); Maka tidak ada seorangpun di antara kamu yang dapat menghalang (tindakan Kami itu) daripada menimpanya.

Inilah kisah Saidina Umar RA yang sangat luar biasa yang tersentuh hatinya tatkala mendengarkan ayat-ayat Allah SWT dan setelah beberapa peristiwa akhirnya masuk Islam apabila mendengarkan ayat-ayat Al-Quran. Wahyu yang Rasulullah SAW sampaikan menerusi ayat-ayat Allah SWT adalah sesuatu yang mengubah perilaku orang-orang yang berada di sekelilingnya menjadi baik.

Untunglah kita sekiranya kita dilorongkan oleh Allah SWT untuk membaca, mendengar dan menghayati ayat-ayat di dalam Al-Quran. Semoga kita tidak menjadi hamba Allah SWT yang menjadikan Al-Quran sepertimana yang dilakukan oleh Kaum Quraisy. Apabila kita melihat Al-Quran, semoga kita dapat mengangkat martabatnya walaupun apabila mendengar dan membaca hanya satu ayat kerana kita tahu hakikatnya diturunkan oleh Allah SWT.

Rencana ini telah disiarkan dalam segmen Agama akhbar Berita Harian edisi 5 April 2016
\"2016-04-05\"
WhatsApp
Scroll to Top