Rahmat Allah Tidak Terhenti

KITA perlu sentiasa muhasabah kembali adakah setiap kali kita membaca dan melintasi ayat-ayat Allah SWT yang berkisarkan tentang syurga dan neraka, setiap kali itu juga adakah kita benar-benar faham dan menghayati intipatinya. Allah SWT menceritakan perihal syurga dan neraka di dalam al-Quran agar kita benar-benar memahami dan merasainya. Allah SWT menggambarkan syurga bukan satu perkara yang sia-sia. Bahkan untuk kita bersemangat dan sentiasa mentaatinya agar syurga menjadi milik kita.

Ustaz Muhammad Syaari Ab Rahman menerusi segmen Ibrah yang bersiaran di IKIMfm pada hari Selasa, 5.15 petang minggu lalu, meneruskan siri pengembaraan ibrah kisah ahli syurga. Kali ini, Ustaz Syaari membawa kisah bagaimana ahli syurga diperlihatkan tentang perihal ahli-ahli neraka dan berdialog sesama mereka.

Kisah ahli syurga berdialog bersama ahli neraka ini diceritakan oleh Allah SWT menerusi Surah Al’-A’raaf, ayat 44 yang bermaksud: Dan (apabila ahli-ahli Syurga itu berada di tempat masing-masing), berserulah mereka kepada ahli neraka dengan berkata: \”Sesungguhnya kami telah dapati apa yang telah dijanjikan kepada kami oleh Tuhan kami, semuanya betul. Maka adakah kamu juga telah dapati apa yang telah dijanjikan oleh Tuhan kamu itu semuanya betul?\”. Mereka menjawab: \”Benar ada\”. Kemudian berserulah penyeru (malaikat) di antara mereka (kedua-dua puak itu) menyatakan: \”Bahawa laknat Allah tertimpa ke atas orang-orang yang zalim\”.

Sedang ahli syurga dan ahli neraka saling berdialog sesama mereka, Allah SWT menceritakan, kisah ini ditonton oleh segolongan manusia iaitu Ashab al-A’raaf yang belum lagi mengetahui nasib mereka samada syurga mahupu neraka. Timbangan amalan mereka sama dan menyebabkan mereka berada di tengah-tengah antara syurga dan neraka sambil melihat ahli syurga dan neraka berdialog.

Ahli syurga dan neraka dipisahkan oleh satu tembok yang sangat tinggi. Tembok ini membolehkan ahli syurga mampu melihat ahli neraka dan begitulah sebaliknya. Perihal ini adalah bagi menambah kenikmatan ahli syurga serta menambah kesengsaraan ahli neraka.

Kisah ini diceritakan oleh Allah SWT menerusi Surah Al-A’raaf, ayat 46  yang bermaksud : Dan di antara keduanya (Syurga dan neraka) ada tembok \”Al-A\’raaf \”(yang menjadi) pendinding, dan di atas tembok Al-A\’raaf itu ada sebilangan orang-orang lelaki yang mengenal tiap-tiap seorang (dari ahli-ahli Syurga dan neraka) itu, dengan tanda masing-masing. Dan mereka pun menyeru ahli Syurga (dengan memberi salam, katanya): \”Salaamun Alaikum\” (salam sejahtera kepada kamu). Sedang mereka, sendiri belum lagi masuk Syurga, padahal mereka ingin sangat memasukinya.

Menurut Sheikh Mutawalli Sya’rawi, tembok ini menyebabkan ahli neraka tidak boleh memanjat untuk menuju ke syurga. Allah SWT mencipta neraka ini bukan hanya azabnya menjadikan ahli neraka sengsara dan menderita. Bahkan mereka juga boleh melihat nikmat syurga sehinggakan mereka mahu ke sana. Manakala bagi ahli syurga pula, mereka boleh melihat keadaan dan kesengsaraan ahli neraka. Apabila mereka melihat, ia akan menambahkan kesyukuran buat mereka diselamatkan daripada azab pedih di neraka.

Kemudian Ustaz Syaari menyambung kisah mengenai golongan manusia yang berada di atas tembok antara syurga dan neraka. Mereka melihat nikmat ahli syurga lalu mereka memberi salam kepada ahli syurga. Mereka ini tidak mampu masuk ke syurga, tetapi mahu sangat masuk ke dalamnya. Kemudian Allah SWT palingkan muka mereka ke arah neraka walaupun mereka tidak mahu memandangnya. Lalu Allah SWT berfirman di dalam Surah Al-A’raaf ayat 47 yang bermaksud : Dan apabila dialihkan pandangan mereka ke arah ahli neraka, mereka (berdoa dengan) berkata: \”Wahai Tuhan kami! Janganlah Engkau jadikan kami bersama orang-orang yang zalim\”.

Bukan mereka sengaja tidak mahu memandang ke arah neraka, tetapi betapa dahsyatnya azab neraka sehinggakan mereka tidak sanggup untuk memandang neraka. Kemudian Allah SWT tunjukkan kepada mereka keadaan ahli neraka lalu mereka berdoa kepada Allah SWT agar tidak digolongkan mereka bersama orang-orang yang zalim.

Selain berdoa kepada Allah SWT, mereka turut menuturkan dialog kepada ahli neraka. Perkara ini disebutkan di dalam Surah al-A’raaf ayat 48 yang bermaksud : Dan orang-orang yang berada di atas tembok Al-A\’raaf menyeru beberapa orang (Ketua kaum kafir) yang mereka kenal dengan tandanya, dengan berkata: \”Nampaknya kumpulan kamu yang ramai (atau kekayaan kamu yang besar) dan juga segala apa yang kamu sombongkan dahulu – tidak dapat menolong kamu\”.

Ayat ini menjelaskan, sekalipun kekayaan yang dikumpulkan di dunia, tetap tidak mampu menyelamatkan ahli neraka untuk keluar daripada neraka. Kemudian ahli Al-A’raaf ini berkata lagi kepada ahli neraka. Dialog mereka dirakamkan menerusi ayat 49 Surah Al-A’raaf yang bermaksud :

(Mereka bertanya pula kepada Ketua-ketua kaum kafir itu dengan berkata): \”Itukah orang-orang yang kamu ejek-ejek dahulu dan kamu bersumpah bahawa mereka tidak akan beroleh rahmat dari Allah? (Sekarang dikatakan kepada mereka): ` Masuklah kamu ke dalam Syurga, tidak ada kebimbangan (dari berlakunya sesuatu yang tidak baik) terhadap kamu, dan kamu pula tidak akan berdukacita”.

Ayat ini menjelaskan kepada kita bahawa Allah SWT maha pengasih dan maha penyayang. Allah SWT mahukan kita sentiasa berikhtiar untuk mendapatkan syurgaNya. Ayat ini memberitahu kita, wujudnya ikhtiar ahli Al-A’raaf ketika mereka berada di antara syurga dan neraka iaitu mempertahankan ahli syurga dan mengutuk perbuatan ahli neraka. Kerana perbuatan inilah menurut Sheikh Mutawalli Sya’rawi, ahli Al-A’raaf masuk ke dalam syurga dengan rahmat dan kasih sayang Allah SWT.

Semoga dengan rahmat Allah SWT, segala ikhtiar kita dipandang oleh –Nya dalam meraih syurgaNya.

Rencana ini telah disiarkan dalam segmen Agama akhbar Berita Harian edisi 15 Mac 2016
WhatsApp
Scroll to Top