TANJONG MALIM, 30 Julai (IKIM) – Seorang mahasiswa Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) mengharumkan nama Malaysia apabila berjaya meraih tempat ketiga keseluruhan pada Kejohanan Dunia Adobe Certified Professional (ACP) yang berlangsung di Anaheim, California, Amerika Syarikat.
Muhammad Fawwaz Haiqal Mohd Fuaad, pelajar Fakulti Komputeran dan META Teknologi (META), menewaskan persaingan 203 peserta dari 45 negara dalam pertandingan berprestij anjuran Certiport International itu.
Pelajar Program Ijazah Sarjana Muda Pendidikan (Teknologi Maklumat) itu membawa pulang hadiah wang tunai berjumlah USD2,000 selepas mempamerkan kreativiti dan kemahiran menghasilkan reka bentuk poster menggunakan perisian Adobe Photoshop, Illustrator dan InDesign.
Kejayaan tersebut turut didorong oleh bimbingan pensyarah Jabatan Sains Komputer dan Teknologi Digital, Fakulti META, Ahmad Nurzid Rosli.
Naib Canselor UPSI, Profesor Dato’ Dr. Md Amin Md Taff berkata pencapaian Muhammad Fawwaz bukan sahaja membuktikan keupayaannya dalam bidang reka bentuk digital, malah mengangkat nama UPSI dan Malaysia sebagai antara negara yang berpotensi melahirkan bakat digital bertaraf dunia.
Beliau berkata UPSI akan terus memperkukuh usaha melahirkan lebih ramai bakat digital melalui latihan serta pensijilan profesional, selain berharap lebih banyak institusi pendidikan berganding bahu membangunkan modal insan bagi menjadikan Malaysia peneraju kreativiti dan inovasi digital di rantau ini.
Sementara itu, Pengurus Kontinjen Malaysia, Natalie Sit menyifatkan edisi 2026 sebagai pencapaian terbaik negara dalam sejarah penyertaan Kejohanan Dunia ACP.
Menurut beliau, buat pertama kali Malaysia berjaya membawa pulang tiga pengiktirafan utama menerusi kejayaan Muhammad Fawwaz meraih tempat ketiga, manakala Muhammad Nafiz Asyraaf Mohd. Nazrin dari Universiti Teknologi MARA (UiTM) Sarawak memperoleh tempat keempat serta anugerah People’s Choice Award.
Kejayaan itu sekali gus menandakan tahun kelima berturut-turut Malaysia berjaya mencatat kedudukan podium dalam Kejohanan Dunia Adobe Certified Professional, sekali gus memperlihatkan perkembangan positif negara dalam melahirkan bakat kreatif digital yang mampu bersaing di peringkat antarabangsa.




