KUALA LUMPUR, 29 Julai (IKIM) – Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) menyambut baik pendedahan Laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) berkaitan Lembaga Tabung Haji (TH) sebagai manifestasi komitmen Kerajaan dalam memperkukuh prinsip ketelusan, akauntabiliti dan tadbir urus yang baik.
JAKIM dalam satu kenyataan memaklumkan, Tabung Haji merupakan institusi Islam yang menjadi kebanggaan negara serta diiktiraf di peringkat antarabangsa sebagai antara model terbaik dalam pengurusan haji dan dana Islam.
Menurut kenyataan itu, sepanjang lebih enam dekad penubuhannya, TH telah memainkan peranan penting dalam menguruskan simpanan umat Islam serta menyempurnakan urusan haji jutaan jemaah Malaysia sehingga menjadi rujukan kepada banyak negara Islam.
Sehubungan itu, JAKIM berpandangan laporan RCI berkenaan perlu dilihat sebagai satu peluang untuk terus memperkukuh institusi tersebut agar kekal berdaya tahan, telus dan diyakini masyarakat.
JAKIM turut menyeru semua pihak agar meneliti laporan itu secara menyeluruh dan objektif serta memberi ruang kepada kerajaan dan pihak Tabung Haji untuk melaksanakan syor-syor yang dikemukakan secara teratur.
Langkah itu menurut JAKIM, penting bagi memastikan kepentingan para pendeposit terus terpelihara, pematuhan terhadap prinsip Syariah diperkukuhkan dan kelestarian institusi Tabung Haji dapat dikekalkan.
Dalam masa sama, JAKIM menegaskan semua agensi agama di bawah Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) akan terus menyokong segala usaha memperkukuh integriti, tadbir urus dan kecemerlangan Tabung Haji supaya institusi itu kekal diyakini, mampan serta terus menjadi kebanggaan negara.




