KUALA LUMPUR, 29 Julai (IKIM) – Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM) menyambut baik keputusan Kerajaan mendedahkan dan menerbitkan laporan penuh Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) berkaitan Lembaga Tabung Haji (TH) sebagai manifestasi komitmen terhadap prinsip ketelusan, akauntabiliti dan tadbir urus yang baik.
Ketua Pengarah IKIM, Prof. Madya Dato’ Dr. Mohamed Azam Mohamed Adil berkata, langkah itu turut memenuhi hak masyarakat, khususnya para pendeposit, untuk memperoleh penjelasan yang menyeluruh berhubung pengurusan sebuah institusi amanah umat Islam di Malaysia.
Beliau berkata, Tabung Haji bukan sekadar sebuah institusi kewangan, malah merupakan institusi Islam yang menjadi kebanggaan negara serta diiktiraf di peringkat antarabangsa sebagai antara model terbaik dalam pengurusan simpanan dan operasi haji.
“Selama lebih enam dekad, Tabung Haji memainkan peranan penting membantu umat Islam menyimpan secara teratur bagi menunaikan ibadah haji serta menguruskan operasi jemaah Malaysia dengan cekap sehingga menjadi rujukan banyak negara,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Menurut beliau, laporan RCI perlu dilihat sebagai peluang untuk mengambil iktibar, mengenal pasti kelemahan serta memperkukuh pembaharuan institusi dan bukannya dijadikan bahan polemik atau penghukuman awal terhadap mana-mana pihak.
Sehubungan itu, katanya, setiap dapatan dan syor yang dikemukakan wajar diteliti secara menyeluruh, objektif dan berasaskan fakta bagi memastikan sebarang tindakan yang diambil benar-benar memberi manfaat kepada institusi dan para pendeposit.
Mengulas dari perspektif Islam, beliau berkata pengurusan simpanan pendeposit merupakan amanah besar yang perlu dilaksanakan berteraskan prinsip hifz al-mal (pemeliharaan harta), keadilan, ketelusan dan integriti.
Justeru, beliau berkata pelaksanaan syor-syor RCI hendaklah mengutamakan kepentingan pendeposit, pematuhan Syariah, pengurusan risiko secara berhemah serta menjamin kemampanan Tabung Haji.
Dalam pada itu, IKIM menyeru semua pihak agar memberi ruang kepada Kerajaan dan pihak Tabung Haji untuk melaksanakan penambahbaikan secara teratur supaya institusi itu terus kekal diyakini, mampan dan menjadi kebanggaan negara.




