NILAI, 29 Julai (IKIM) – Seramai 165 pelajar sekolah menengah daripada 22 buah sekolah di seluruh negara menyertai ASEAN Islamic Science Camp (AISC) 2026 anjuran Kolej PERMATA Insan, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) bagi memperkasakan generasi saintis muda Islam yang berdaya saing serta berteraskan nilai-nilai Islam.
Program yang berlangsung selama tujuh hari bermula 17 hingga 23 Julai lalu itu memberi pendedahan menyeluruh kepada peserta berusia antara 13 hingga 17 tahun dalam bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) serta Ulumuddin.
Bertemakan “Empowering Young Muslim Scientists for a Sustainable Future”, AISC 2026 memfokuskan kepada penerapan Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) serta pendidikan dan pengurusan halal, dengan matlamat melahirkan saintis muda yang mampu mengintegrasikan ilmu Naqli dan Aqli dalam menangani cabaran semasa.
Penganjuran edisi kali ini turut mencipta sejarah apabila Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM) tampil sebagai rakan strategik program. Melalui kerjasama tersebut, Pengarah Pusat Kajian Sains dan Alam Sekitar (KIAS) IKIM, Prof Madya Ts. Dr. Zul Ilham Zulkiflee Lubes telah dijemput menyampaikan syarahan bertajuk “Islamic Principles in Sustainability Strategies” selain mengetuai Modul INSAN-Yale berkaitan tenaga solar.
Sepanjang kem berlangsung, peserta mengikuti tiga modul utama iaitu INSAN-Yale, Halal Action for Young Scientist (HALFYST) dan Modul Biologi Marin, yang dirangka bagi menggabungkan pembelajaran teori, aplikasi praktikal serta kesedaran terhadap isu kelestarian alam sekitar.

Modul INSAN-Yale memberi penekanan kepada pendidikan kelestarian merangkumi beberapa Matlamat Pembangunan Mampan termasuk Kelaparan Sifar (SDG 2), Tenaga Bersih dan Berpatutan (SDG 7), Bandar dan Komuniti Mampan (SDG 11), Tindakan Iklim (SDG 13) serta Pendidikan Berkualiti (SDG 4).
Sementara itu, Modul HALFYST memperkenalkan peserta kepada konsep pengurusan halal melalui aspek penggunaan dan pengeluaran yang bertanggungjawab, pemuliharaan alam sekitar serta kepentingan sumber air bersih selaras dengan SDG 12, SDG 15 dan SDG 6.
Bagi memperkukuhkan pengalaman pembelajaran, peserta turut menjalani latihan lapangan menerusi Modul Biologi Marin di Aquaria KLCC hasil kerjasama dengan Aquawalk Group Berhad. Mereka didedahkan kepada usaha konservasi terumbu karang dan penyelidikan marin yang menyokong aspirasi SDG 14 iaitu Kehidupan di Bawah Air.
Penganjuran AISC 2026 diharap dapat meningkatkan kesedaran generasi muda mengenai kepentingan kelestarian alam sekitar dan pengurusan halal berasaskan sains serta syariah, sekali gus melahirkan pakar masa depan yang mampu menghubungkan ilmu wahyu dengan penemuan saintifik dan cabaran global.
Majlis penutupan program telah disempurnakan oleh Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek. Sebagai simbol komitmen terhadap pemuliharaan biodiversiti, beliau turut menyempurnakan gimik melepaskan ikan ke dalam akuarium sebagai tanda sokongan terhadap usaha memelihara spesies ikan air tawar tempatan yang semakin terancam akibat pencerobohan spesies ikan invasif.
Penganjur berharap usaha meningkatkan kesedaran dan kawalan terhadap spesies ikan invasif dapat diperkasakan bagi memastikan keseimbangan ekosistem akuatik negara terus terpelihara, selaras dengan aspirasi pembangunan mampan.




