PUTRAJAYA, 29 Julai (IKIM) – Jemaah Menteri hari ini bersetuju supaya Laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) berhubung Tabung Haji (TH) bagi tempoh 2014 hingga 2020 diklasifikasikan semula dan didedahkan kepada umum, selain siasatan terhadap sebarang pelanggaran undang-undang yang dikenal pasti dalam laporan itu diteruskan serta-merta.
Jurucakap Kerajaan, Datuk Seri Fahmi Fadzil berkata, keputusan itu dibuat selepas Jemaah Menteri menerima taklimat daripada pengurusan tertinggi TH dan memperhalusi laporan RCI berkenaan.
Beliau berkata, laporan tersebut turut akan dibentangkan dan dibahaskan dalam satu sidang khas Dewan Rakyat dalam masa terdekat.
Menurut Fahmi, laporan itu menggariskan sebanyak 25 syor tindakan penambahbaikan, dengan pengurusan tertinggi TH telah berjaya melaksanakan 75 peratus daripada keseluruhan syor berkenaan.
Jemaah Menteri turut mengambil maklum bahawa TH telah mengumumkan kadar agihan keuntungan sebanyak 3.5 peratus bagi tahun kewangan 2025, sekali gus mencerminkan pengurusan institusi itu kini berada dalam keadaan yang lebih baik.
Dalam pada itu, kerajaan memutuskan supaya badan-badan penguat kuasa meneruskan siasatan berdasarkan dapatan dalam laporan RCI tersebut.
Mana-mana pihak yang didapati melakukan pelanggaran undang-undang akan dibawa ke muka pengadilan mengikut peruntukan undang-undang yang berkuat kuasa.




