TH SAMBUT BAIK PENDEDAHAN LAPORAN RCI, KOMITED LAKSANA SYOR PENAMBAHBAIKAN

KUALA LUMPUR, 29 Julai (IKIM) – Lembaga Tabung Haji (TH) menyambut baik keputusan kerajaan untuk mendedahkan Laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) berhubung pengurusan TH kepada umum, sambil menegaskan komitmennya untuk terus melaksanakan syor-syor penambahbaikan yang dikemukakan.

Dalam satu kenyataan hari ini, TH memaklumkan bahawa syor-syor RCI berkenaan merujuk kepada isu-isu yang berlaku sebelum tahun 2018, dan sejak itu institusi berkenaan telah mengambil pelbagai langkah pembaharuan bagi memperkukuh tadbir urus serta meningkatkan prestasi organisasi.

Menurut TH, sebanyak 75 peratus daripada syor yang dikemukakan oleh RCI telah berjaya dilaksanakan, manakala baki syor kini berada dalam pelbagai peringkat pelaksanaan.

TH turut memaklumkan bahawa institusi itu telah berjaya memulihkan kedudukan kunci kira-kira, membina rizab kewangan yang lebih kukuh serta meningkatkan kadar agihan keuntungan kepada 3.5 peratus bagi tahun kewangan 2025, iaitu kadar tertinggi dalam tempoh lapan tahun.

Selain itu, TH berjaya mengekalkan kos haji pada kadar RM33,300 seorang bagi jemaah Muassasah untuk tiga tahun berturut-turut, sekali gus mencerminkan usaha berterusan dalam memastikan kebajikan bakal haji terus terpelihara.

Menurut kenyataan itu lagi, TH kekal komited untuk melindungi kepentingan lebih sembilan juta pendeposit, memperkukuh keyakinan masyarakat terhadap institusi tersebut serta memastikan setiap urusan dilaksanakan dengan penuh integriti, ketelusan dan tanggungjawab.

TH menegaskan akan terus bekerjasama dengan semua pihak berkepentingan dalam memperkukuh tadbir urus korporat dan memastikan institusi itu kekal mampan demi manfaat pendeposit serta umat Islam di negara ini.

WhatsApp
Scroll to Top