PUTRAJAYA, 29 Julai (IKIM) – Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) menyambut baik pendedahan Laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) berkaitan Lembaga Tabung Haji (TH), yang disifatkan sebagai bukti komitmen berterusan kerajaan dalam memperkukuh ketelusan, akauntabiliti dan tadbir urus institusi Islam negara.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Dr. Zulkifli Hasan berkata, langkah mendedahkan laporan tersebut mencerminkan iltizam kerajaan untuk memastikan tadbir urus yang baik terus menjadi asas pengurusan TH.
Beliau berkata, sepanjang lebih enam dekad penubuhannya, TH telah memainkan peranan penting dalam menguruskan simpanan dan urusan haji jutaan umat Islam Malaysia, sekali gus mengukuhkan kedudukannya sebagai institusi Islam yang menjadi kebanggaan negara serta model pengurusan dana Islam yang diiktiraf di peringkat antarabangsa.
Menurut beliau, dapatan RCI perlu dilihat secara positif sebagai peluang untuk terus memperkukuh institusi berkenaan melalui pelaksanaan penambahbaikan yang menyeluruh.
Katanya, TH telah dan sedang melaksanakan syor-syor yang dikemukakan secara berperingkat bagi memastikan kepentingan pendeposit terus terpelihara, pematuhan terhadap prinsip Syariah diperkukuhkan serta kelestarian operasi institusi itu dapat dikekalkan.
Dalam masa sama, beliau berkata, TH terus mencatatkan prestasi kewangan yang memberangsangkan di samping mengekalkan reputasinya sebagai antara pengurus haji terbaik dunia, termasuk melalui kejayaan merangkul Anugerah Labbaytum kategori Diamond daripada Kerajaan Arab Saudi secara konsisten.
Zulkifli berkata, pelaksanaan syor-syor RCI bersama pencapaian cemerlang yang diraih akan menjadi pemangkin kepada TH untuk terus meningkatkan inovasi perkhidmatan dan memberikan pulangan yang optimum kepada para pendeposit.
Sehubungan itu, beliau menegaskan bahawa seluruh agensi agama di bawah Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) akan terus memberikan sokongan penuh bagi memastikan TH kekal mampan, terus diyakini umat Islam serta mengekalkan kedudukannya sebagai peneraju pengurusan haji negara.




